KUALA LUMPUR: Malaysia mencipta satu lagi pencapaian penting apabila dipilih sebagai lokasi pertama pusat pembangunan global syarikat teknologi kewangan berpangkalan di China, Ant International sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap kestabilan negara serta dasar ekonomi yang jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Ant International itu merupakan detik penting dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi digital dan teknologi kewangan di rantau ini.
“Kita bersyukur kerana Ant International telah memilih Malaysia bukan sahaja sebagai salah satu destinasi, malah sebagai lokasi pertama dalam rancangan mereka untuk membangunkan sebuah pusat pembangunan global bertaraf dunia.
“Kita tentunya harus menggunakan dan memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya,” katanya berucap pada majlis pelancaran pusat pembangunan global Ant International di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, pemilihan Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh kestabilan negara, kejelasan dasar kerajaan serta komitmen semua pihak dalam merealisasikan agenda transformasi digital.
“Saya yakin keputusan ini didorong kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara stabil, mempunyai dasar jelas serta kesungguhan daripada kepimpinan negara, penjawat awam, sektor swasta dan golongan profesional muda untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan pusat pembangunan global itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan menerusi kerjasama erat dengan universiti dan pusat penyelidikan, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dalam sektor teknologi tinggi.
Menurutnya, teknologi, kewangan dan inovasi bukan matlamat semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan, peningkatan produktiviti, pengukuhan keupayaan tempatan serta peluasan akses kepada perkhidmatan kewangan.
“Teknologi mesti menghasilkan nilai sebenar kepada ekonomi dengan menjana pekerjaan berkualiti, memperkukuhkan keupayaan tempatan, memperluaskan peluang kepada perniagaan dan memastikan tiada mana-mana komuniti yang tercicir daripada menikmati manfaat pertumbuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) bagi melengkapkan kerangka perundangan sedia ada termasuk Akta Keselamatan Siber dan undang-undang perlindungan data.
Beliau berkata, pembangunan AI perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan memastikan kepercayaan digital, keselamatan data serta pertimbangan manusia terus menjadi teras kepada setiap keputusan.
Perdana Menteri turut memaklumkan, penggunaan mata wang ringgit dan yuan dalam urus niaga perdagangan antara Malaysia dengan China terus diperluaskan dengan peratusan terkini mencecah 18 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.
Beliau berkata, langkah itu bukan bertujuan mengetepikan dolar AS, sebaliknya mewujudkan sistem perdagangan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan. – UTUSAN










