Kastam tumpaskan sindiket dadah RM300 juta

Kastam tumpaskan sindiket dadah RM300 juta

AMRAN Ahmad (tengah) menunjukkan bungkusan dadah yang dibungkus dalam plastik makanan untuk diseludup ke pasaran antarabangsa dalam sidang akhbar Kejayaan JKDM Menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM, Nilai, Seremban semalam.- UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Di­raja Malaysia (JKDM) menum­paskan sindiket pengedaran da­dah antarabangsa melibatkan­ rampasan pelbagai jenis da­dah seberat 4.83 tan bernilai RM300.72 juta menerusi lima kes sepanjang April hingga Jun lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, ke­semua kes melibatkan sindiket berbeza yang menggunakan pel­bagai taktik untuk mengabu­ri pihak berkuasa.

Ini termasuk membuat pengisytiharan palsu terhadap dagangan dan menyembunyikan dadah dalam bungkusan barangan seperti makanan campuran, sabun, gel rambut serta span.

Menurutnya, rampasan ter­besar membabitkan heroin ber­nilai RM169.83 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 15 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena 40 kaki menemukan 18,870 kotak minuman jus yang mengandungi cecair disyaki heroin dengan kuantiti dianggarkan 3,396.6 liter.

“Dagangan itu dibawa ma­suk dari sebuah negara di Asia Barat secara transit sebelum dihantar ke Australia sebagai destinasi akhir dan kes masih dalam siasatan,” katanya da­lam sidang akhbar di Ibu Pe­jabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan Nilai, semalam.

Amran berkata, pada 18 Mei lalu, JKDM turut merampas cannabis bud seberat 161.39 kilogram (kg) yang bernilai RM12.91 juta di sebuah syarikat logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, Sepang, Selangor.

Katanya, dadah tersebut ditemukan dalam 11 daripada 41 kotak dagangan yang diisytiharkan sebagai makanan ke­ring untuk dihantar ke Eropah manakala dua ejen perkapalan warga tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an direman bagi membantu siasatan.

Menurutnya, JKDM turut me­rampas 220.30 kg pil disyaki MDMA bernilai RM33.045 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 12 Mei lalu yang di­sembunyikan dalam kotak berlabel alat ganti mesin dengan pengisytiharan palsu dan kes masih dalam siasatan.

Selain itu, beliau berkata, cannabis bud seberat 1,049.50 bernilai RM83.96 juta pula dirampas di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 9 April lalu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia Tenggara sebelum cuba dieksport semula ke Eropah yang disembunyikan dalam kotak berlabel papan lantai vinil tetapi diisytiharkan sebagai jubin lantai vinil.

Katanya, kes-kes ini merupakan sindiket dan modus ope­randi berbeza namun membuat pengisytiharan pal­su terhadap kesemua barangan dagangan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Di Sepang, JKDM merampas 4,760 kartrij cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.19 juta dalam serbuan di Ground Team Red (GTR), Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 10 Jun lalu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN