Pasport baharu Malaysia sukar untuk dipalsukan

Pasport baharu Malaysia sukar untuk dipalsukan

Pasport baharu Malaysia sukar dipalsukan kerana mempunyai 94 ciri keselamatan tinggi. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan ci­ri keselamatan pasport baharu Malaysia daripada 49 kepada 94 ciri menjadikan dokumen per­jalanan negara itu sukar untuk dipalsukan oleh sindiket jenayah terancang.

Pakar Keselamatan Maklumat, Prof. Madya Dr. Mohamad Yusof Darus berkata, penambahan ciri keselamatan itu secara tidak langsung melonjakkan tahap kesukaran, kos serta masa yang diperlukan oleh pihak pemalsu untuk meniru dokumen berkenaan.

“Tiada dokumen di dunia ini yang boleh dijamin 100 peratus bebas daripada risiko pemalsuan tetapi penambahan 94 ciri keselamatan baharu ini memberikan perlindungan tambahan yang sangat tinggi.

“Ciri baharu ini bukan sahaja menyukarkan proses pemalsuan, malah memudahkan pihak kerajaan dan pegawai imigresen untuk mengesan sebarang bentuk manipulasi dengan lebih pan­tas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, penggunaan holo­gram­ sangat membantu dalam pemeriksaan visual kerana amat­ sukar ditiru menggunakan tek­nik­ cetakan biasa manakala ceta­kan­ UV pula tidak kelihatan di ba­wah cahaya normal dan memerlukan alat khas untuk disemak.

“Ciri-ciri ini amat menyukarkan pemalsu biasa. Bagai­manapun, untuk men­depani sindiket yang lebih canggih, hologram dan UV sahaja tidak memadai jika ber­gerak secara tunggal dalam jangka masa panjang.

“Kekuatan pasport baha­ru ini sebenarnya terletak pada gabungan bersepadu ciri fizikal, elemen tersembunyi, ciri forensik, cip elektronik, serta data biometrik,” katanya.

Yusof berkata, cabaran utama keselamatan kini bukan lagi tertumpu kepada aspek fizikal buku pasport semata-mata sebaliknya telah beralih kepada keseluruhan ekosistem identiti digital dan pengurusan sempadan.

Serangan atau kebocoran keselamatan kini lebih kerap berlaku dalam rantaian proses berbanding pemalsuan fizikal dokumen.

“Ini bermakna, titik kelemahan paling kritikal yang cuba dimanfaatkan oleh pemalsu ketika ini lebih melibatkan aspek proses dan kelemahan manusia bukannya kelemahan pada teknologi pasport itu sendiri,” ujarnya.

Mengulas mengenai ancaman masa hadapan, beliau memberi amaran tegas me­ngenai perkembangan tek­no­logi Kecerdasan Buatan (AI) yang berpotensi memanipulasi sistem keselamatan negara.

Menurutnya, teknologi itu membolehkan penjenayah mencipta profil identiti palsu yang sangat meyakinkan bagi membolehkan mereka memperoleh pasport tulen secara sah daripada pihak berkuasa.

“Kita tidak boleh meman­dang ringan ancaman ke hadapan ini. Sindiket mungkin akan mengambil kesempatan daripada teknologi AI untuk memalsukan data biometrik atau dokumen sokongan awal.

“Oleh yang demikian, saya menyarankan selain memper­kasakan aspek teknikal pasport, kerajaan wajib mem­perketat kawalan dan inte­griti ke atas keseluruhan proses rantaian permohonan bagi menutup terus sebarang ruang eksploitasi oleh pemalsu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN