KEPUTUSAN berhenti kerja dalam sektor peruncitan demi membantu ibu memulakan perniagaan dari rumah menjadi titik tolak kepada penubuhan Sehidang, sebuah jenama katering bekal harian yang kini semakin mendapat tempat di hati warga kota di sekitar ibu negara.
Pengasasnya, Syazmel Firza Azly, 29, mengusahakan perniagaan berasaskan penyediaan makanan itu secara dalam talian, menawarkan alternatif bekal harian yang lebih dekat dengan selera tempatan, mudah, serta menjimatkan masa pelanggan.
Syazmel berkata, idea untuk mengusahakan Sehidang tercetus daripada pengalaman peribadinya sendiri yang sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan hidangan makan tengah hari yang berpatutan dan cepat sewaktu bekerja di dalam pusat membeli-belah sebelum ini.
“Dulu masa kerja dalam sektor runcit, memang susah dan mahal nak makan tengah hari. Ada sesetengah pusat membeli-belah yang lokasinya jauh dari kedai makanan luar seperti nasi campur atau nasi ayam. Pelanggan terpaksa bazir masa dan tenaga, terpaksa berhujan dan berpanas semata-mata untuk membeli makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menyedari kos sara hidup di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang tinggi dengan harga minimum hidangan sekitar RM12 hingga RM13, Syazmel tekad memulakan langkah tersebut bagi memberikan solusi terbaik untuk warga kerja kota.
“Melihat kepada kesukaran itu, saya ambil keputusan untuk memulakan perniagaan ini. Dalam masa yang sama, saya juga ingin membantu ibu saya untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri dari rumah,” katanya.
Bagi memastikan kualiti masakan sentiasa berada pada tahap terbaik, ibu kepada Syazmel, Zaizul Hishmah Zolkeple bertindak sebagai chef utama yang mengendalikan urusan dapur dengan prinsip mengutamakan kepuasan pelanggan seolah-olah memasak untuk keluarga sendiri.
Malah, perniagaan ini turut melaburkan kos yang agak tinggi bagi penggunaan bekas makanan premium demi memastikan hidangan yang dihantar sentiasa dalam keadaan bersih, segar dan selamat untuk dimakan.
Menurut Syazmel, keunikan Sehidang terletak pada aspek servis dan konsep ‘satu hari satu hidangan’ yang bertukar setiap hari bagi memastikan pelanggan tidak jemu dengan menu yang sama.
“Kami membuat pangkalan data berdasarkan menu terbaik kami. Kami akan masak lauk-pauk yang selalu orang kita makan dan jenis lauk yang berat untuk memastikan pelanggan kenyang dan bertenaga sampai ke petang.
“Apa yang membezakan kami adalah servis. Kami memudahkan pelanggan tanpa perlu jalan jauh dan saya sendiri akan menghantar makanan tersebut tepat pada waktu sebelum waktu makan tengah hari bermula,” ujarnya.
Sepanjang mengusahakan perniagaan itu, pelbagai cabaran turut ditempuh, terutamanya pada peringkat awal untuk membina kepercayaan dan meraih perhatian daripada pelanggan.
“Cara yang saya gunakan untuk mengatasi cabaran itu adalah dengan sentiasa memuat naik gambar dan video menu harian di aplikasi Threads setiap hari tanpa rasa jemu. Alhamdulillah, hari demi hari kami mula mendapat perhatian dan kepercayaan pelanggan,” katanya.
Strategi pemasaran Sehidang diperkukuh dengan pengurusan pangkalan data pelanggan yang sistematik, di mana maklum balas dan pendapat pelanggan sentiasa diambil kira bagi mengekalkan kualiti servis.
Meskipun diusahakan dari rumah, Sehidang sudah pun mencatatkan pencapaian membanggakan apabila diberi kepercayaan penuh untuk mengendalikan penyediaan hidangan penuh sepanjang minggu bagi sebuah acara pertunjukan fesyen terkemuka.
“Namun bagi kami, pencapaian terbaik adalah apabila kami masih lagi diberi kepercayaan penuh oleh pelanggan sedia ada untuk terus memasak bagi mereka sehingga ke hari ini,” katanya.
Bagi perancangan masa depan dalam tempoh lima tahun akan datang, Syazmel berhasrat untuk memiliki ruang dapur komersial yang lebih besar sekali gus meluaskan empayar Sehidang ke seluruh Malaysia dengan mengekalkan standard servis sedia ada.
Langkah ini juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
Tambah Syazmel, bagi mereka yang ingin menceburi dunia perniagaan, perkara paling penting adalah keikhlasan dan keberanian untuk menghadapi pasang surut dunia perniagaan.
“Sentiasalah ikhlas dalam apa jua perniagaan yang kita lakukan, selalu menerima pendapat pelanggan dan jangan pernah mengalah. Dalam bidang ini memang tidak lari daripada fasa pasang surut, tetapi jangan pernah takut untuk mencuba,” tambahnya. – UTUSAN










