RT Pastry sasar ruang pasaran baharu dengan sijil halal - Utusan Malaysia

RT Pastry sasar ruang pasaran baharu dengan sijil halal

LU Chun-neng (tengah) memberikan penerangan mengenai aspek kawalan mutu pembuatan roti bagi memastikan setiap produk memenuhi piawaian tinggi RT Pastry.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama kedai bakeri popular, RT Pastry Holdings Berhad (RT Pastry) bertindak memperkukuh kedudukan pasaran tempatannya menerusi pemantapan ekosistem halal secara menyeluruh di kedua-dua kilang pembuatan pusatnya.

Langkah strategik tersebut dijayakan selepas syarikat yang baru disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia itu memperoleh pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi Kilang 1 di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 1 Julai 2026.

Pencapaian terbaharu itu sekali gus melengkapkan status halal bagi keseluruhan fasiliti pengeluaran utama kumpulan, termasuk kilang pusat di Glenmarie yang telah pun memperoleh pensijilan tersebut pada tahun 2023.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RT Pastry, Lu Chun-Neng berkata, perolehan sijil halal tersebut merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang syarikat untuk membina kepercayaan utuh dalam kalangan pangkalan pelanggan yang pelbagai di negara ini.

“Sebagai syarikat senaraian awam yang sedang melangkah ke babak baharu, pensijilan halal ini amat penting untuk memberi jaminan ketenangan minda kepada pengguna Muslim. Kami mahu lebih ramai pelanggan menikmati produk kami dengan yakin tanpa was-was.

“Sezeit bermula dengan hanya satu cawangan pada 2003, RT Pastry kini telah berkembang kepada 18 buah cawangan di seluruh negara, termasuk pembukaan premis terbaharu di Taman Equine. Kejayaan ini didorong oleh komitmen berterusan terhadap kualiti, keselamatan makanan dan inovasi produk,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas mengenai proses mendapatkan pensijilan tersebut, Chun-Neng berkata, syarikatnya terlebih dahulu membina asas keselamatan makanan yang kukuh melalui penubuhan jabatan Jaminan Kualiti (QA) dan Kawalan Kualiti (QC) bagi merapatkan jurang operasi antara kilang pusat dan cawangan harian.

“Hasil daripada usaha kolektif itu, RT Pastry berjaya mengantongi penarafan standard industri seperti MESTI, Amalan Pengilangan Baik (GMP), serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) sebelum beralih lancar kepada pematuhan penuh Standard Halal Malaysia (MS 1500:2019),” katanya. 

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan wujudnya cabaran tersendiri bagi industri bakeri dan pastri, terutamanya dalam meneliti rantaian bekalan memandangkan penghasilan pastri melibatkan penggunaan jenis ramuan dan bahan mentah yang sangat banyak.

“Cabaran utama adalah memastikan setiap pembekal mematuhi syarat halal yang ditetapkan, selain mempertingkat kesedaran kakitangan merentas semua jabatan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) secara konsisten.

“Kami mengatasi isu ini melalui jalinan kerjasama rapat dengan pembekal serta penganjuran latihan berkala untuk kakitangan. Bagi kami, mengekalkan status halal adalah satu proses pemantauan dan penambahbaikan yang berterusan, bukan sekadar memiliki sekeping sijil. Objektif utama kami adalah mengekalkan kepercayaan pelanggan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, pemantapan status halal ini dijangka memberikan impak positif kepada prestasi perniagaan RT Pastry, terutamanya dalam memacu strategi pengembangan bagi segmen pasaran borong serta pembuatan peralatan asli (OEM).

Langkah itu sekali gus memperkasa keupayaan syarikat untuk membekalkan produk bakeri berkualiti premium secara meluas kepada rakan niaga korporat dan pelanggan yang memerlukan standard pengiktirafan halal yang tinggi di peringkat nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN