Jualan sektor pengguna dijangka perlahan pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Jualan sektor pengguna dijangka perlahan pada suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Momentum jualan sektor pengguna dijangka lebih sederhana pada suku ketiga tahun kewangan 2026 selepas perbelanjaan yang didorong musim perayaan banyak berlaku lebih awal pada suku pertama tahun kewangan berkenaan.

Penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin berkata, bagaimanapun, momentum jualan dijangka kembali meningkat secara berperingkat pada suku keempat tahun kewangan 2026, disokong perbelanjaan hujung tahun serta musim perayaan.

Menurut beliau, pengguna dijangka terus berbelanja secara berhati-hati berikutan tekanan inflasi dan ketidaktentuan persekitaran makroekonomi.

“Pada pandangan kami, perbelanjaan pengguna akan terus tertumpu kepada barangan keperluan harian, khususnya makanan dan barangan isi rumah, manakala permintaan terhadap produk bersifat pilihan dijangka kekal lemah.

“Kami juga menjangkakan sokongan kerajaan akan terus membantu mengekalkan perbelanjaan pengguna pada separuh kedua tahun kewangan 2026, terutama bagi barangan keperluan asas dan kategori yang berkaitan dengan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Walaupun jumlah keseluruhan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kekal sebanyak RM15 bilion pada 2026, bahagian peruntukan yang lebih besar kini disalurkan melalui SARA, sekali gus menyokong permintaan terhadap barangan pengguna asas,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, hasil semakan saluran yang dijalankan firma itu mendapati syarikat dalam sektor pengguna berjaya mengelakkan gangguan bekalan secara meluas bagi bahan mentah dan input utama, termasuk ketika kemuncak ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Katanya, tekanan kos juga berpotensi mereda sekiranya ketegangan geopolitik terus berkurangan dan harga minyak mentah kekal rendah.

“Bagaimanapun, tekanan masih wujud bagi beberapa komponen tertentu seperti bahan berasaskan plastik, kos logistik dan utiliti.

“Memandangkan permintaan pengguna masih sensitif terhadap kenaikan harga, kami menjangkakan syarikat akan memindahkan peningkatan kos secara berperingkat melalui kenaikan harga jualan purata (ASP) yang terpilih, pengoptimuman campuran jualan serta kawalan kos yang lebih ketat, berbanding melaksanakan kenaikan harga secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, peruncit dijangka memperhebatkan kempen promosi dan tawaran berasaskan nilai bagi mengekalkan bilangan pelanggan serta bahagian perbelanjaan pengguna, khususnya ketika persaingan semakin sengit susulan pembukaan lebih banyak cawangan.

Beliau berkata, sektor pengguna kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan setahun sebanyak 27.7 kali, iaitu kira-kira satu sisihan piawai di bawah purata lima tahun sebanyak 30.5 kali.

“Pada pandangan kami, diskaun penilaian ini adalah wajar berikutan sentimen pengguna yang lebih lemah, momentum pertumbuhan pendapatan yang dijangka lebih sederhana dalam beberapa suku akan datang serta tekanan kos yang berterusan, khususnya dalam kalangan peruncit barangan pilihan.

“Bagaimanapun, kami percaya penilaian sektor ini akan terus disokong oleh syarikat pengguna berkapitalisasi besar yang menjual barangan keperluan asas, didorong permintaan yang kekal stabil, sokongan berterusan kerajaan menerusi bantuan tunai dan program SARA, selain limpahan manfaat daripada pelaksanaan gaji minimum,” katanya.

Pilihan utama CIMB Securities bagi sektor pengguna ialah QL Resources, Empire Sushi dan Life Water. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN