PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menentukan nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada beliau kekal bebas atau dijatuhi hukuman atas pertuduhan pecah amanah.
Keputusan itu akan diketahui selepas kes ini ditangguhkan pada 30 Jun lalu, apabila seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada jam 9 pagi.
Sepanjang prosiding rayuan kes itu, pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Sekiranya rayuan akhir oleh pendakwaan dibenarkan, Syed Saddiq akan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman penjara tujuh tahun.
Hukuman penjara itu boleh ditambah lagi empat tahun sekiranya Syed Saddiq gagal membayar denda RM10 juta yang turut dikenakan terhadapnya.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq bersalah terhadap empat pertuduhan iaitu bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.
Syed Saddiq juga didapati bersalah atas tuduhan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Beliau juga didapati bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil aktiviti haram.
Menerusi penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya ‘tidak masuk akal’.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun denda RM 10 juta itu bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan hukuman.
Pada 25 Jun 2025, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila panel tiga hakim Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya daripada sabitan salah dan kesemua hukuman itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara mendapati kesemua pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.
Tambah panel itu, tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.
Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, sehari selepas keputusan lepas bebas itu.
Pendakwa raya mengemukakan 28 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkenaan.
Antara alasan yang diberikan, Pendakwa Raya menyatakan Hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila antaranya membuat tuduhan liar kepada pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia dengan kononnya (pendakwaan dan SPRM) telah memberikan tekanan kepada Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan ke-13 untuk memberikan keterangan bagi menyenangkan hati SPRM dan menyesuaikan keterangan bagi kes pendakwaan. – UTUSAN










