Pas didakwa punca PN gagal di Johor

Pas didakwa punca PN gagal di Johor

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Unsur sabotaj dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk kegagalan sebahagian parti komponen memberikan sokongan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa antara faktor kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sumber dalaman Bersatu mendakwa, tindakan beberapa pemimpin Pas yang mengeluarkan kenyataan enggan membantu calon Bersatu dan menggesa pengundi menyokong parti lain di kawasan tertentu telah menjejaskan peluang kemenangan PN.

Katanya, setiap parti komponen sepatutnya menggerakkan jentera dan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan kemenangan calon yang menggunakan jenama gabungan bukannya sokongan kepada jenama lawan.

“Sebarang kenyataan atau tindakan yang menunjukkan sebaliknya hanya akan menimbulkan persepsi berlakunya unsur sabotaj dalam gabungan.

“Kenapa dia hendak suruh pengundi sokong parti lawan, kenapa bukan kita yang rakan komponen?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Keputusan rasmi PRN Johor menyaksikan PN tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun mempertaruhkan 33 kerusi.

Sumber itu turut mendakwa terdapat rundingan dengan pihak lain sebelum PRN Johor sehingga memberi gambaran bahawa PN pada peringkat awal tidak benar-benar berhasrat menyertai pilihan raya tersebut.

“Tindakan yang berlaku menjelang PRN Johor, termasuk peletakan jawatan beramai-ramai beberapa pemimpin Bersatu dilihat sebagai cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap parti dan memberi kesan kepada keyakinan akar umbi selain menjejaskan imej Bersatu ketika tempoh berkempen sedang berlangsung,” katanya.

Sumber itu berkata, segala kelemahan tersebut perlu dijadikan iktibar menjelang PRN Negeri Sembilan supaya masalah sama tidak berulang.

“Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan pengurusan gabungan itu serta mengambil tindakan sewajarnya demi masa depan PN.

“Pas dan Parti Wawasan Negara seharusnya membentuk gabungan sendiri atau kekal dalam PN jika tidak lagi mempunyai kesepakatan dengan Bersatu, manakala Bersatu boleh bergerak secara solo,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN