Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,710 mata pada minggu ini, dengan risiko penurunan disokong oleh aliran masuk modal asing yang semakin baik serta asas ekonomi domestik yang kekal kukuh.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, bagaimanapun, kenaikan melepasi paras 1,700 hingga 1,710 mata memerlukan bukti yang lebih kukuh mengenai daya tahan pertumbuhan ekonomi global, selain pengurangan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menurut beliau, Bursa Malaysia dijangka didagangkan dengan kecenderungan berhati-hati tetapi kekal positif apabila pelabur menilai beberapa petunjuk ekonomi utama di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan.

“Tumpuan pasaran akan terarah kepada data perdagangan China bagi Jun serta Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) bagi Jun pada Selasa, diikuti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China bagi suku kedua pada Rabu, jualan runcit AS bagi Jun pada Khamis dan CPI Malaysia bagi Jun pada Jumaat.

“Walaupun data tersebut akan memberikan petunjuk penting mengenai kekuatan permintaan global, aliran inflasi dan keadaan ekonomi domestik, ia dijangka tidak akan mengubah prospek dasar monetari secara ketara.

“Senario asas kami kekal bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengekalkan kadar faedah sehingga penghujung tahun, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

“Keadaan itu membolehkan pelabur memberi tumpuan kepada prospek pertumbuhan ekonomi, prestasi pendapatan korporat dan aliran modal berbanding jangkaan perubahan dasar monetari,” katanya.

Beliau berkata, dengan FBM KLCI menghampiri paras rintangan psikologi 1,700 mata, pelabur dijangka mengambil pendekatan lebih selektif dengan memberi tumpuan kepada saham berwajaran tinggi (blue chip) yang mempunyai asas kukuh serta prospek pendapatan mampan.

Katanya, perkembangan geopolitik di Asia Barat akan terus menjadi pemacu utama sentimen pasaran.

“Walaupun harga minyak mentah Brent susut kepada sekitar AS$76 (RM309.12) setong daripada paras tertinggi baru-baru ini, premium risiko masih belum lenyap sepenuhnya.

“Sebarang peningkatan semula ketegangan atau konflik yang berpanjangan boleh mengetatkan jangkaan bekalan tenaga global, sekali gus menghidupkan semula kebimbangan terhadap inflasi dan menjejaskan selera risiko pelabur.

“Namun, penyederhanaan harga minyak menunjukkan pasaran kewangan ketika ini tidak menjangkakan gangguan bekalan yang serius, sekali gus menyokong kestabilan pasaran secara keseluruhan,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, paras 1,700 mata dijangka kekal sebagai rintangan utama yang perlu ditembusi.

“Momentum pasaran masih disokong oleh sektor perbankan, perladangan dan tenaga, namun ketidaktentuan geopolitik global serta hala tuju kadar faedah AS dijangka mengehadkan kenaikan.

“Oleh itu, dagangan dijangka kekal selektif dengan tumpuan kepada saham yang mempunyai asas fundamental kukuh.

“Antara faktor yang terus menyokong pasaran ialah kestabilan dasar monetari Malaysia, harga minyak mentah yang masih tinggi, prestasi minyak sawit mentah (CPO) serta sokongan berterusan daripada institusi tempatan,” katanya.

Beliau berkata, sektor perbankan, utiliti, minyak dan gas serta perladangan dijangka terus menjadi tumpuan pelabur, manakala sektor teknologi dijangka kekal lebih tidak menentu dan sensitif terhadap sentimen di Nasdaq. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN