EV dijangka berkembang pantas pada separuh kedua - Utusan Malaysia

EV dijangka berkembang pantas pada separuh kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) akan berkembang lebih pantas pada separuh kedua 2026 berikutan kemunculan lebih banyak model mampu milik serta pertambahan kemudahan pengecasan di seluruh negara.

Firma itu berkata, sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini, jualan EV mencecah 25,500 unit dengan bahagian pasaran meningkat kepada 8.1 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2025.

“Proton mendahului segmen itu menerusi jualan 9,356 unit e.MAS 5 dan 2,286 unit e.MAS 7, diikuti BYD Atto 3 dengan 1,873 unit.

“Perodua pula baru-baru ini menurunkan harga model EV QV-E kepada RM63,500 menerusi skim pajakan bateri atau RM87,500 bagi pembelian terus,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

HLIB berkata, dasar baharu import EV binaan penuh (CBU) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026 hanya membenarkan model bernilai sekurang-kurangnya RM200,000.

“Ia berdasarkan nilai kos, insurans dan tambang atau CIF serta mempunyai kuasa motor minimum 180 kilowatt diimport ke Malaysia.

“Langkah itu dijangka mengehadkan kemasukan EV import pada harga lebih mampu milik, namun pengeluar masih boleh menawarkan model tersebut menerusi pemasangan tempatan (CKD), yang akan memberi kelebihan kepada Proton dan Perodua,” katanya.

HLIB mengekalkan penarafan “Overweight” terhadap sektor automotif dan menjangkakan prestasi industri kekal berdaya tahan sepanjang 2026 disokong oleh jualan kukuh Perodua dan Proton.

Menurutnya, program geran padanan RM10 juta yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2026 bagi menggalakkan pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun melupuskan kenderaan lama dan membeli model baharu Proton atau Perodua dijangka merangsang jualan.

“Pembeli yang layak boleh menikmati rebat sehingga RM4,000, manakala pemandu teksi dan e-hailing yang layak turut diberikan pengecualian penuh duti eksais dan cukai jualan,” ujarnya.

Dalam pada itu, firma itu turut menjangkakan ringgit akan kembali mengukuh menjelang penghujung 2026, sekali gus mengurangkan kos import kenderaan CBU, kit CKD, komponen dan bahan mentah.

“Kesan itu dijangka memberi manfaat kepada syarikat seperti Sime Darby dan UMW (Toyota), Tan Chong Motor (Nissan), DRB-Hicom (Honda) serta Bermaz Auto yang mempunyai pendedahan kepada yen Jepun,” jelasnya.

HLIB terus memilih MBM Resources Bhd serta Sime Darby Bhd sebagai saham pilihan utama. Saham & Bon

Ini kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai pendedahan besar kepada Perodua yang dijangka terus mencatat jualan mampan, lebih berdaya tahan terhadap persaingan sengit daripada pengeluar China serta kurang terkesan sekiranya kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN