England kena lebih kejam - Tuchel

England kena lebih kejam – Tuchel

THOMAS Tuchel-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Pengendali England, Thomas Tuchel menegaskan The Three Lions perlu tampil lebih ‘kejam’ jika mahu menjulang trofi Piala Dunia meskipun mengesahkan slot separuh akhir Piala Dunia 2026.

Kemenangan dramatik 2-1 ke atas Norway pada aksi suku akhir semalam memastikan England terus mengintai kejuaraan, namun Tuchel menganggap persembahan anak buahnya belum mencapai standard yang diinginkan.

Jude Bellingham sekali lagi menjadi penyelamat apabila meledak dua gol selepas Norway terlebih dahulu mengejutkan England dengan jaringan pembukaan.

“Saya kagum dengan usaha mereka, semangat berpasukan, keyakinan serta kemampuan mengatasi tekanan dan mencari jalan untuk menang. Mereka memang layak menerima segala pujian.

“Namun saya juga seorang jurulatih bola sepak dan saya percaya kami boleh bermain dengan lebih baik.

“Secara keseluruhan, saya rasa ia bukan aksi pada tahap tertinggi. Kami pernah bermain lebih baik sebelum ini dan kami perlu mempamerkan bola sepak yang lebih berkualiti,” katanya.

Setakat ini, Bellingham dan kapten, Harry Kane sudah menyumbang 12 daripada 13 gol England dalam kejohanan itu, sekali gus membuktikan betapa besarnya pergantungan pasukan terhadap dua bintang berkenaan.

“Kami perlu meningkatkan kualiti permainan menyerang supaya pemain lain juga berada dalam kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol.

“Namun mereka adalah pemain yang menentukan keputusan perlawanan. Mereka sukakan tanggungjawab itu, memiliki kualiti tinggi dan sentiasa muncul pada saat penting.

“Kami tidak perlu meminta maaf kerana mempunyai dua pemain bertaraf dunia yang saling melengkapi.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan bangga dengan pasukan. Mereka tidak pernah mengaku kalah dan sentiasa mencari jalan untuk menang.

“Tetapi kami mahu mengeluarkan kemampuan terbaik kerana hanya prestasi terbaik akan membantu memenangi perlawanan. Itulah sebabnya saya masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan cara kami bermain,” katanya.

Skuad kendalian Tuchel bakal berdepan juara dunia, Argentina dalam aksi separuh akhir selepas skuad kendalian Lionel Scaloni itu menewaskan Switzerland 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN