JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan pentadbiran negeri dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Istana Bukit Serene, semalam.
Pelantikan semula Onn Hafiz dibuat selepas BN memperoleh mandat lebih besar pada PRN Johor apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan gabungan itu terus menerajui pentadbiran negeri bagi penggal baharu.
Terdahulu, Pengerusi BN Johor itu yang berbaju Melayu teluk belanga berwarna hitam mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah memegang jawatan dan surat sumpah simpan rahsia dalam istiadat berkenaan mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Onn Hafiz, 47, mula dilantik sebagai Menteri Besar pada Mac 2022 selepas BN ketika itu memenangi PRN Johor dan sepanjang tempoh pentadbirannya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
Keputusan PRN Johor kelmarin menyaksikan BN mencatat kemenangan bergaya apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, meningkat lapan kerusi berbanding 40 DUN yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu.
Keputusan tersebut bukan sahaja membolehkan BN terus menerajui pentadbiran negeri, malah memperkukuhkan kedudukan gabungan itu sebagai kuasa politik dominan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang selesa di Dewan Undangan Negeri.
Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) hanya mampu mempertahankan lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama, MUDA dan parti-parti lain gagal memenangi sebarang kerusi.
Dalam pada itu, keputusan PRN Johor membawa isyarat penting bahawa rakyat semakin berani dalam membuat pilihan dan lebih cenderung menyokong parti atau gabungan yang mampu menawarkan kestabilan jangka panjang.
Malah keputusan itu merupakan satu isyarat penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan PRN Negeri Sembilan serta Melaka yang bukan sekadar menentukan siapa membentuk kerajaan negeri, sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai kehendak sebenar rakyat terhadap landskap politik tanah air.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mandat itu mencerminkan keyakinan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan negeri yang mampu memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Rekod pentadbiran kerajaan negeri yang cemerlang, kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta hala tuju pembangunan Johor yang jelas menjadi asas penting kepada keyakinan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN.
“Mandat ini bukan sekadar satu kemenangan politik, tetapi merupakan amanah besar daripada rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan mampu meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya.
Bagi Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan tidak menafikan rakyat Johor melihat isu kestabilan politik sebagai antara faktor utama dalam membuat keputusan pada pilihan raya.
Namun beliau berpandangan tafsiran itu lebih tertumpu kepada kestabilan pentadbiran di peringkat negeri semata-mata.
“Rakyat Johor mungkin tidak melihat secara menyeluruh peranan besar Perdana Menteri dalam memastikan kestabilan politik di peringkat nasional. Mereka lebih menilai keadaan dari sudut pentadbiran negeri semata-mata, sedangkan kestabilan di peringkat Persekutuan turut memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan dan pemulihan ekonomi negara.
“Mungkin naratif itu tidak sampai sepenuhnya kepada rakyat Johor. Pelbagai inisiatif kerajaan seperti kenaikan gaji, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), subsidi bersasar dan langkah memperkukuh ekonomi tidak benar-benar dirasai atau difahami oleh sebahagian rakyat,” katanya.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula tidak menafikan kelemahan kerjasama dan ketidakstabilan dalam PN menjadi antara faktor yang menyebabkan gabungan itu gagal memperoleh kemenangan dalam PRN Johor.
Bagaimanapun katanya, Pas melihat keputusan PRN Johor tetap mencapai sebahagian matlamat yang ditetapkan, khususnya memastikan PH tidak memperoleh kemenangan besar serta mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.
“Alhamdulillah, menerusi keputusan yang dicapai, matlamat itu berjaya dilaksanakan sehingga BN sendiri turut mengakui dan mengucapkan penghargaan atas sokongan yang diberikan. Walaupun kita kalah, tetapi dari segi Bangsa Johor kita menang,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kempen yang menumpukan kepada agenda kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran dan pembangunan negeri berjaya menarik sokongan rakyat Johor.
“Pengundi melihat ini sebagai pilihan raya negeri, bukannya pilihan raya Parlimen. Sebab itu isu kenegerian lebih dekat dengan mereka.
“Pada saya, wujud seolah-olah satu gelombang Bangsa Johor yang boleh disifatkan sebagai Tsunami Melayu. Ramai menjangkakan pengundi Cina yang pulang mengundi, namun, apa yang berlaku ialah pengundi Melayu yang keluar beramai-ramai dan menyumbang kepada kemenangan BN,” katanya
Katanya, kebangkitan sokongan pengundi Melayu terhadap BN jelas memberi kelebihan besar kepada gabungan itu, berbeza dengan jangkaan awal bahawa peningkatan peratusan keluar mengundi lebih banyak didorong oleh pengundi bukan Melayu.
Katanya, sebahagian pengundi Cina juga dilihat melakukan undi protes sebagai isyarat supaya DAP melakukan perubahan terhadap pendekatan politiknya dan membuka ruang kepada MCA dan MIC untuk kembali meraih sokongan pengundi.-UTUSAN
ONN Hafiz Ghazi melambai tangan selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, Johor Bahru semalam.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI










