PETALING JAYA: Unit Perniagaan Barangan Pengguna DKSH menjalin kerjasama dengan PY Healthcare Sdn. Bhd., pembekal herba Perubatan Tradisional Cina (TCM) moden halal terbesar di Malaysia bagi memperkukuh ketersediaan portfolio produk berfokuskan kesihatan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kerjasama itu dimeterai ketika permintaan pengguna terhadap penyelesaian kesejahteraan yang bersifat semula jadi, pencegahan dan diperakui halal terus meningkat.
PY Healthcare turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pembekal herba TCM moden halal terbesar di Malaysia.
Naib Presiden Barangan Pengguna Laris DKSH Malaysia, Daniel Schwalb berkata, pengguna kini semakin cenderung mencari penyelesaian semula jadi dan praktikal untuk menyokong kesejahteraan harian.
“Portfolio PY Healthcare yang berteraskan pengetahuan herba tradisional serta disesuaikan dengan gaya hidup moden berada pada kedudukan yang tepat untuk memenuhi permintaan ini.
“DKSH akan memanfaatkan pandangan pasaran dan kekuatan pelaksanaan runcit kami bagi meningkatkan pendedahan produk-produk ini serta menghubungkan lebih ramai pengguna dengan pilihan kesejahteraan yang diyakini dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah kerjasama itu, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran menyeluruh untuk PY Healthcare merangkumi saluran runcit utama termasuk farmasi, pasar raya besar dan pasar raya di seluruh negara.
Skop perkhidmatan meliputi pelaksanaan jualan, pemasaran lapangan, pengedaran dan logistik serta pengurusan kredit dan kutipan bagi rangkaian produk halal PY Healthcare seperti Siri Nouri Herbs Grains, Siri Mate Fast-Acting, Siri Herbal Soup Pack dan Siri Heritage.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PY Healthcare Sdn. Bhd., Chen Teik Fooi berkata, kerjasama dengan DKSH merupakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran syarikat itu di pasaran Malaysia.
“Dengan rangkaian pengedaran DKSH yang meluas, kepakaran pasaran dan pelaksanaan di lapangan, kami yakin dapat meluaskan jangkauan portfolio produk berfokuskan kesejahteraan kami.
“Ini termasuk rangkaian Nouri, Fast Mate dan Siri Sup Herba kepada lebih ramai pengguna di seluruh negara.
“Kerjasama ini membolehkan kami menyokong kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat usia dengan lebih baik, di samping memacu pertumbuhan mampan jenama kami,” ujarnya.
Berteraskan prinsip TCM moden, produk PY Healthcare dirumus menggunakan herba terpilih yang telah lama dikenali kerana peranannya dalam menyokong kesejahteraan menyeluruh.
Formulasi herba itu sering dikaitkan dengan membantu menyuburkan tubuh badan, menyokong kecergasan, menggalakkan keseimbangan serta melengkapi rutin kesejahteraan harian.
Format mudah seperti sup sedia diminum, campuran herba dan penyelesaian bertindak pantas memudahkan pengguna moden mengamalkan amalan herba tradisional dalam gaya hidup harian.
Syarikat itu pakar dalam herba mentah patuh halal termasuk aktiviti perolehan dan pemprosesan, sekali gus menjadikan penyelesaian herba yang dipercayai secara tradisional lebih mudah diakses oleh kumpulan pengguna yang lebih luas termasuk komuniti Muslim.
Melalui kerjasama tersebut, DKSH dan PY Healthcare berada pada kedudukan strategik untuk memperluaskan kehadiran PY Healthcare di Malaysia serta menjangkau lebih ramai pengguna yang mencari produk kesejahteraan dipercayai bagi menyokong kesihatan pada setiap peringkat kehidupan. – UTUSAN










