AI, analitik tingkah laku perkukuh perlindungan kewangan

AI, analitik tingkah laku perkukuh perlindungan kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANCAMAN penipuan kewangan semakin canggih, sekali gus mendorong penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik tingkah laku bagi membantu institusi kewangan mengesan transaksi mencurigakan dan memperkukuh perlindungan pengguna.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, sistem tradisional yang berasaskan peraturan tetap semakin perlahan dan kurang berkesan kerana ia hanya mampu mengesan transaksi abnormal yang jelas dan sering bertindak selepas transaksi berlaku. 

Katanya, AI dan analitik tingkah laku mampu mengenal pasti corak luar biasa seperti perubahan mendadak dalam penggunaan peranti, masa transaksi, tingkah laku menaip, lokasi, kekerapan pemindahan wang dan risiko penerima transaksi. 

“Dengan kemampuan menganalisis data dalam jumlah besar secara pantas, AI membantu institusi kewangan bertindak lebih awal sebelum kerugian berlaku. 

“Perkara ini amat penting memandangkan PayNet memproses sebanyak 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada tahun 2025, sekali gus menunjukkan skala besar ekonomi tanpa tunai Malaysia dan keperluan kepada sistem perlindungan yang lebih pintar serta proaktif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sistem pengesanan masa nyata dan skor risko mampu meningkatkan keyakinan pengguna, tetapi pelaksanaannya perlu dilakukan dengan teliti. 

Menurutnya, sistem pengesanan penipuan secara masa nyata mampu menghentikan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan keluar daripada akaun mangsa. 

“Mekanisme skor risko pula membantu bank mengklasifikasikan sama ada sesuatu transaksi adalah normal, luar biasa atau berisiko tinggi berdasarkan profil dan corak pengguna. 

“Ini dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap penggunaan DuitNow, e-wallet dan perbankan digital kerana pengguna mengetahui bahawa aktiviti mencurigakan sentiasa dipantau secara berterusan. 

“Pengguna juga akan lebih yakin untuk melakukan transaksi bernilai besar jika mereka percaya sistem keselamatan mampu bertindak dengan cepat,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika sistem menghasilkan terlalu banyak amaran palsu atau menyekat transaksi yang sah, pengguna mungkin akan berasa kecewa dan hilang keyakinan terhadap platform digital tersebut. 

“Justeru, cabaran utama ialah untuk menyeimbangkan aspek keselamatan, kemudahan penggunaan dan kelajuan transaksi supaya pengalaman pengguna tidak terjejas,” jelasnya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, transaksi tanpa tunai dah cecah RM1.4 trilion tahun lalu, tapi kes penipuan juga naik 22 peratus tahun ke tahun.

Oleh itu, beliau berkata, AI dan analitik tingkah laku sudah menjadi satu keperluan asas untuk melindungi pengguna daripada penipuan dalam talian yang semakin sofistikated yang menggunakan kejuruteraan sosial seperti meniru suara atau gaya bahasa seseorang.

“AI dan analitik tingkah laku mampu membaca pola transaksi pengguna. Contohnya, jika seseorang biasanya memindahkan RM200 ke akaun tertentu pada waktu pagi, tetapi tiba-tiba berlaku transaksi RM5,000 ke akaun asing pada jam 2 pagi dari lokasi mencurigakan, sistem boleh terus menandakan transaksi itu sebagai berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan AI juga membantu mengurangkan kadar ‘false positive’ atau sekatan transaksi yang tidak perlu, yang sering menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna.

“Kalau sistem perlu menyekat 100 transaksi semata-mata untuk mengesan satu penipuan, pengguna akan hilang keyakinan. AI boleh mengurangkan ‘false positive’ sehingga 60 hingga 70 peratus,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, penggunaan sistem pengesanan penipuan masa nyata dan skor risiko semakin penting dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pembayaran digital.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN