Krisis Selat Hormuz tumpuan Dewan Rakyat hari ini 

Krisis Selat Hormuz tumpuan Dewan Rakyat hari ini 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Krisis berpanjangan di Selat Hormuz dan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand menjadi fokus Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) memohon penjelasan Perdana Menteri mengenai manfaat ekonomi yang dijangka diperoleh Malaysia daripada pembangunan BEZ Malaysia-Thailand.

Pada sesi sama, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Perdana Menteri menyatakan penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara serta langkah yang sedang diambil bagi mengurangkan impaknya.

Kedua-dua soalan tersebut akan ditanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus mesyuarat bermula pada 10 pagi ini.

Selain itu, soalan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) turut bertanya kepada Menteri Pengangkutan mengenai langkah kementerian untuk menoktahkan lumba haram kenderaan di lebuh raya seluruh negara seperti terjadi di Simpang Renggam, Johor pada 1 Jun lalu.

Selepas daripada itu, mesyuarat dijadual diteruskan dengan bacaan kali pertama dua Rang Undang-Undang (RUU), iaitu RUU Statistik 2026 oleh Menteri Ekonomi dan RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 oleh Menteri Kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kemudian akan membentangkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun lepas hingga Khamis ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN