Kebanyakan rawatan urutan di spa lazimnya menggunakan minyak aromaterapi, krim atau losen.
Kini, tanah liat pula diketengahkan sebagai elemen baharu dalam penjagaan tubuh menerusi rawatan dikenali sebagai urutan Sensorium.
Rawatan itu menggabungkan tanah liat ungu (violet clay) bersama minyak pati Phyto5 dari Switzerland dan teknik titik tekanan.
Konsultan Sensorium Wellness, Foster Tan berkata, tanah liat ungu kaya dengan mineral semula jadi yang membantu mengawal lebihan minyak dan mengekalkan keseimbangan kulit.
Hasilnya, kulit tampak lebih bersih, sihat, segar dan berseri.
“Urutan ini direka berteraskan falsafah lima elemen iaitu kayu, api, tanah, logam dan air.
“Ia membantu menyokong keseimbangan kulit menerusi pendekatan penjagaan yang lebih menyeluruh, termasuk proses pembersihan dan pemulihan kulit.

“Di Malaysia, kami mungkin antara yang terawal memperkenalkannya, namun konsep urutan ini telah lama digunakan di negara Barat dan Korea Selatan,” katanya baru-baru ini.
Ujarnya, proses rawatan mengambil masa kira-kira 90 minit sebelum disusuli sesi mandian aroma selama 20 minit dengan menggunakan air suam dan haruman minyak pati.
Mandian itu dipercayai membantu merangsang peredaran darah sambil memberikan pengalaman relaksasi selepas urutan.
Kata Foster, urutan Sensorium yang berharga RM368 itu sesuai untuk pelbagai jenis kulit termasuk yang sensitif, bergantung kepada keadaan individu.
Semua produk yang digunakan berasaskan bahan semula jadi dan tidak mengandungi kekacang.
Ujarnya, urutan ini sering menjadi pilihan wanita yang ingin tampil lebih anggun menjelang janji temu atau jemputan majlis.

“Rawatan ini mendapat sambutan kerana ada yang menjadikannya sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan diri sebelum ke acara istimewa,” katanya.
Antara rawatan lain yang ditawarkan di spa yang terletak di 1926 Heritage Hotel ini ialah urutan belakang badan Oriental, warisan Malaysia, kepala dan lima elemen belakang badan.
Diikuti refleksologi, skrub dan balutan badan, sauna, rawatan wajah serta pakej spa journey dan balance journey.










