Keju Cap Masjid lonjak pengeluaran cecah 40kg sehari

Keju Cap Masjid lonjak pengeluaran cecah 40kg sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula dari sebuah dapur kecil dengan hanya 6 kilogram (kg) pengeluaran harian, jenama keju tempatan, Keju Cap Masjid, kini mencatatkan kapasiti pengeluaran mencecah 40kg sehari, menandakan permulaan baharu buat produk inovatif buatan anak tempatan.

Diasaskan oleh Mohd. Zamly Che Puteh bersama anak buahnya, Mohd. Hakimin Mohd. Zubir, perusahaan Keju Bersaudara H&Z mula beroperasi secara rasmi pada Februari 2024, namun usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dimulakan sejak Oktober tahun lalu.

 

Menurut Mohd. Zamly, kerja-kerja R&D dimulakan menggunakan mesin berskala kecil dengan pelbagai formulasi diuji secara sistematik.

“Produk pertama yang dikomersialkan ialah Rollo, yang telah di inspirasikan dari keju mozarella dan cheddar yang sesuai digunakan dalam pelbagai hidangan seperti piza, lasagna dan salad.

“Formulasi produk ini dibangunkan tanpa bahan pengawet, tidak terlalu masin dan sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas beliau, Rollo mula dipasarkan melalui platform e-dagang iaitu Shopee pada Mei 2024 sebelum berkembang ke platform TikTok Shop dengan purata jualan kini mencecah 1,500 ketul keju sebulan.

“Sebanyak 85 peratus jualan kami adalah menerusi platform dalam talian, 14 peratus melalui peruncitan (kedai), manakala selebihnya daripada pelanggan yang datang terus ke premis,” katanya.

Mohd. Zamly berkata, perniagaan kini merangka pelan jangka panjang untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan, seterusnya menembusi pasaran antarabangsa dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, khurusnya Brunei dan Singapura.

“Kami mahu Rollo menjadi simbol rasa dan inovasi Malaysia, la bukan sekadar produk, tetapi misi membawa nama negara ke peringkat global.

“Buat masa ini, fokus kami masih kepada pasaran tempatan dan kami juga sedang dalam proses untuk menembusi rangkaian kiosk di stesen minyak dan pasaraya sekitar lembah klang,” katanya.

Berpengalaman lebih 15 tahun dalam industri perhotelan, idea menghasilkan keju tempatan tercetus apabila beliau menyedari kebergantungan pasaran kepada produk import yang sering diragui dari aspek pensijilan halal.

“Sebahagian besar keju di pasaran adalah import, dan isu halal menjadi kebimbangan utama pengguna Muslim. Dari situ, saya nampak ruang untuk memperkenalkan alternatif tempatan.

“Permohonan rasmi pensijilan halal karni juga telah dimulakan pada Julai 2024, melibatkan proses semakan bahan mentah, dokumentasi yang masih lagi di dalam proses” katanya.

 

Meskipun berstatus perusahaan mikro, beliau berkata, syarikat tetap komited menghasilkan keju halal tempatan yang mampu menembusi pasaran serantau, khususnya Singapura dan Brunei.

“Kami pastikan setiap proses pembuatan patuh syariah dan mematuhi piawaian kebersihan makanan.

“Pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sekadar keperluan undang-undang, tetapi strategi penting bagi membina keyakinan pengguna serta memasuki pasar raya besar dan rangkaian pengimport antarabangsa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara cabaran utama adalah memastikan pematuhan terhadap piawaian pembungkusan yang ditetapkan oleh Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Halal bukan sekadar logo, ia merangkumi keseluruhan proses yang merangkumi dari aspek pengurusan bahan mentah, mesin, pekerja sehinggalah pembungkusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebagai usahawan tanpa latar belakang pendidikan tinggi, Mohd. Zamly turut berpesan kepada anak muda agar tidak gentar mencuba bidang keusahawanan makanan.

“Yang penting adalah keyakinan, semangat dan kerja keras. Jangan ikut idea orang, cari kelainan, kerana di situlah terletaknya peluang,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN