RAWANG: Perodua akan melancarkan model sulung kenderaan elektrik (EV) pertama buatannya pada hujung bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelancaran tersebut akan dijadikan sebahagian daripada Agenda Nasional dalam usaha mengangkat sektor automotif negara ke tahap lebih tinggi.
Katanya, pelancaran Perodua EV bukan sekadar memperkenalkan model baharu, tetapi turut menyumbang kepada sektor pekerjaan, inovasi, penyelidikan, pembangunan (R&D) serta memberi manfaat dari segi keuntungan kepada rakyat dan negara.
“Apabila kita melancarkan Perodua EV nanti, keutamaan kita adalah pasaran tempatan. Namun, jika produk ini menembusi pasaran luar negara, itu merupakan satu kejayaan besar,” katanya ketika menghadiri sesi lawatan dan ramah mesra bersama warga kerja Perodua di sini, hari ini.
Anwar dalam masa sama turut memaklumkan bahawa dalam perbincangan dua hala dengan beberapa rakan antarabangsa termasuk Brazil, negara berkenaan telah memberi jaminan bahawa Malaysia akan diberi keutamaan dan laluan mudah, sebagai bukti hubungan diplomatik serta persahabatan yang kukuh.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Perodua yang disifatkan sebagai produk membanggakan negara.
“Perodua bukan sekadar jenama automotif tempatan, tetapi lambang keupayaan rakyat Malaysia. Menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan tiada kebocoran, tiada rasuah dan tiada penyeludupan,” katanya.
Anwar berkata, bahawa dasar kerajaan memberikan keistimewaan kepada Perodua bukan kerana pilih kasih, sebaliknya kerana syarikat itu terbukti menyumbang kepada penciptaan pekerjaan, inovasi serta pembangunan ekonomi negara.-UTUSAN










