Pengundi Muslim 'faktor kejayaan' calon Demokrat dalam pilihan raya AS - Utusan Malaysia

Pengundi Muslim ‘faktor kejayaan’ calon Demokrat dalam pilihan raya AS

ZOHRAN Mamdani meraikan kemenangannya ketika acara malam pilihan raya di Teater Paramount Brooklyn di Brooklyn, New York.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengundi Muslim di Amerika Syarikat (AS) memberikan sokongan besar kepada calon-calon Parti Demokrat dalam pilihan raya minggu lalu, walaupun rasa tidak puas hati yang meningkat terhadap dasar Presiden Donald Trump.

Kajian oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) itu mendapati 97 peratus pengundi Muslim di New York menyokong Zohran Mamdani, Datuk Bandar terpilih berhaluan sosialis demokratik.

Di negeri Virginia, Senator Muslim-Amerika Demokrat, Ghazala Hashmi, menerima 95 peratus undi komuniti Muslim dalam kemenangannya sebagai timbalan gabenor, manakala calon Demokrat lain yang lebih berhaluan tengah turut mendapat sokongan padu daripada pengundi Muslim, menurut kajian tersebut.

Dua ahli Kongres Demokrat, Abigail Spanberger dari Virginia dan Mikie Sherrill dari New Jersey, yang masing-masing memenangi perlumbaan gabenor negeri mereka, menerima sekitar 85 peratus undi Muslim.

Di California, langkah referendum Proposisi 50 yang meluluskan peta baharu pilihan raya persekutuan yang memihak kepada Demokrat mendapat 90 peratus sokongan pengundi Muslim.

CAIR berkata, tinjauan itu melibatkan 1,626 responden Muslim dan menunjukkan kadar keluar mengundi tinggi dalam kalangan komuniti tersebut.

“Keputusan ini menonjolkan satu hakikat yang menggalakkan iaitu Muslim Amerika kini tampil, bersuara dan memainkan peranan dalam membentuk masa depan demokrasi negara ini,” kata CAIR dalam kenyataan.

Pertubuhan itu turut menegaskan di empat negeri yang disurvei, pengundi Muslim menunjukkan penglibatan sivik yang luar biasa, mencerminkan peranan mereka yang semakin penting dalam politik dan masyarakat Amerika.

Pilihan raya 4 November itu, yang diadakan setahun sebelum pilihan raya pertengahan penggal 2026, memberikan lonjakan semangat kepada Parti Demokrat.

Namun, kempen di New York dicemari oleh peningkatan retorik Islamofobia, terutamanya daripada ahli politik dan pengulas Republikan selepas Trump menyokong bekas Gabenor Demokrat, Andrew Cuomo.

CAIR berkata, pengundi Muslim telah bangkit “menentang kebencian anti-Muslim” untuk membina masa depan yang lebih baik bagi diri mereka dan jiran tetangga, membuktikan “penyertaan, bukan prejudis, yang mendefinisikan kekuatan bangsa ini.”

Kajian itu juga menunjukkan Parti Demokrat mula memulihkan sokongan pengundi Muslim yang sebelum ini menjauhkan diri dalam pilihan raya presiden tahun lalu akibat sokongan tegas Joe Biden terhadap Israel semasa serangan berdarah ke atas Gaza.

CAIR turut melaporkan bahawa 76 calon Muslim bertanding dalam pilihan raya minggu lalu, dengan 38 orang memenangi kerusi masing-masing.

Di negeri Michigan, kawasan Hamtramck, Dearborn dan Dearborn Heights memilih datuk bandar Muslim, sementara beberapa calon Muslim kini bersiap untuk bertanding kerusi Kongres tahun depan, termasuk Abdul el-Sayed yang akan mencuba nasib bagi kerusi Senat AS di Michigan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN