KUALA TERENGGANU: Cadangan meningkatkan jumlah pinjaman kenderaan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu kepada maksimum RM200,000 belum muktamad.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, keputusan muktamad hanya dibuat selepas enakmen berkenaan dibentangkan dan diluluskan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Isu yang tular mendakwa kerajaan negeri meluluskan pinjaman kenderaan bernilai RM16 juta untuk semua ADUN tidak tepat kerana ia masih dalam proses perundangan dan belum dikuatkuasakan.
“Jika dikira dengan 32 ADUN dan jumlah maksimum RM200,000 setiap seorang, jumlahnya sekitar RM6.4 juta, bukan RM16 juta seperti yang disebut,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini.
Terdahulu, tular kenyataan yang memetik Kertas DUN bertarikh 29 Oktober 2025 memaklumkan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk meluluskan pinjaman kenderaan maksimum RM200,000 kepada Menteri Besar, Yang Dipertua DUN, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN bagi tempoh empat tahun.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa keputusan MMKN terdahulu pada 11 Julai 1990 dan 5 Mac 1997 dibatalkan berkuat kuasa dengan pelaksanaan enakmen baharu tersebut.
Menurut Hanafiah, cadangan itu dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, esok.
Katanya, syor berkenaan masih dalam peringkat pembentangan dan kelulusan sebelum dimuktamadkan.
“Perkara ini masih dalam peringkat enakmen dan dibawa untuk dibaca serta dibahas di DUN. Skim pinjaman kenderaan untuk ADUN telah wujud sebelum ini, diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1981, kemudian dikemas kini pada 1990 dan 1997 semasa pentadbiran terdahulu.
“Sebelum ini, jumlah pinjaman yang diluluskan sekitar RM41,000 hingga RM43,000. Memandangkan nilai kenderaan dan kos semasa telah berubah, cadangan untuk menaikkan jumlah pinjaman kepada RM200,000 kini sedang diteliti,” katanya. – UTUSAN










