Lapan rakyat Gaza terkorban setiap hari sejak gencatan senjata dilaksana - Utusan Malaysia

Lapan rakyat Gaza terkorban setiap hari sejak gencatan senjata dilaksana

Penduduk Gaza mengangkat mayat yang ditemui di bawah runtuhan bangunan yang musnah selepas Israel mencabuli gencatan senjata dan menyerang bandar itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Israel terus melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam Palestin, apabila purata lapan rakyat Palestin terbunuh setiap hari sejak gencatan senjata berkuat kuasa bulan lalu, menurut kenyataan Euro-Med Human Rights Monitor yang berpangkalan di Geneva.

Dalam satu kenyataan, badan hak asasi itu menegaskan Israel masih meneruskan “pembunuhan terancang” terhadap orang awam Palestin walaupun sudah sebulan berlalu sejak gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas pada 10 Oktober lalu.

“Purata lapan rakyat Palestin dibunuh setiap hari di bawah sekatan menyeluruh terhadap Seminanjung Gaza, disertai dasar kelaparan yang disengajakan, penafian rawatan perubatan kepada yang cedera dan sakit, serta halangan terhadap bantuan kemanusiaan,” kata kumpulan itu.

Euro-Med turut menyatakan tentera Israel melanggar gencatan senjata setiap hari melalui serangan udara, bedilan artileri dan tembakan, selain meneruskan kemusnahan rumah serta bangunan, terutamanya di kawasan timur Khan Younis dan Gaza City.

“Tindakan ini merupakan sebahagian daripada pendekatan sistematik untuk memusnahkan asas kehidupan di Gaza dan menafikan hak paling asas penduduknya, jelas melanggar undang-undang antarabangsa,” tegas kenyataan itu.

Menurut laporan kumpulan tersebut, 242 rakyat Palestin, termasuk 85 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel sepanjang tempoh sebulan lalu, bersamaan kadar lapan kematian setiap hari dan lebih 20 kecederaan sehari, dengan 619 orang dilaporkan cedera.

“Ini jelas menunjukkan Israel tidak menghentikan dasar pembunuhan dan serangan sistematik terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Euro-Med turut memberi amaran Israel mengeksploitasi ketiadaan pengawasan antarabangsa untuk mengubah landskap geografi Gaza dengan menggunakan gencatan senjata sebagai “topeng” bagi menjadikan kawasan di bawah kawalan tenteranya tidak lagi sesuai didiami pada masa kini mahupun akan datang.

Kumpulan itu menambah, dasar kelaparan yang disengajakan terus dilaksanakan melalui sekatan terhadap kemasukan sekitar 70 peratus bantuan kemanusiaan yang sepatutnya dibenarkan di bawah perjanjian gencatan senjata.

“Tindakan ini mengekalkan penduduk Gaza dalam keadaan lapar berpanjangan tanpa menangani punca atau kesannya terhadap kesihatan awam,” menurut kenyataan tersebut.

Euro-Med menegaskan tindakan Israel ini bukan kes terpencil, sebaliknya “sebahagian daripada corak sistematik” yang menunjukkan dasar jelas oleh kepimpinan politik dan ketenteraan Israel untuk menggunakan gencatan senjata sebagai alasan meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×