Sijil halal buka jalan perluas pasaran JIBRIL - Utusan Malaysia

Sijil halal buka jalan perluas pasaran JIBRIL

Buttermilk Chicken merupakan menu yang terkenal di JIBRIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: JIBRIL Restaurant Group (JIBRIL), rangkaian restoran tempatan yang terkenal dengan konsep restoran tersembunyi dan menu barat halal, menyambut ulang tahun ke-10 operasi dengan memperoleh pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas JIBRIL, Akmyr Ahmad Azwan Abdul Kadir berkata, pensijilan halal yang diterima baru-baru ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan perniagaan mereka, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut.

“Bermula dari satu outlet kecil di SS15 Subang Jaya ketika saya masih menuntut di Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam, kini JIBRIL telah berkembang ke lima lokasi lain iaitu di Publika, Bangi, Larkin Jaya, Setapak dan Kelana Jaya.

“Sebagai seseorang berlatarbelakang undang-undang, dunia makanan adalah sesuatu yang asing bagi saya. Justeru, saya dan pasukan JIBRIL mengambil inisiatif menjalani latihan dalaman dan luaran sebelum memulakan proses permohonan halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, JIBRIL masih belum mempunyai pengalaman memperbaharui sijil halal memandangkan pensijilan diperoleh pada tahun ini dan proses persediaan untuk pembaharuan sedang dilakukan menjelang September 2025.

Akmyr berkata, pensijilan halal bukan sekadar mematuhi syarat keagamaan, malah merupakan simbol komitmen terhadap standard tinggi dalam operasi perniagaan.

“Sijil halal daripada JAKIM bukan sahaja diiktiraf secara global, malah secara automatik meletakkan sesebuah restoran pada tahap yang lebih tinggi dari segi kepercayaan pelanggan, rakan niaga serta pelabur.

“Ia juga membantu menghapuskan keraguan pelanggan terutama terhadap jenama seperti JIBRIL yang berkonsep ‘malap dan tersembunyi’, sekaligus membuktikan bahawa kami mesra pelanggan Muslim dan dimiliki oleh usahawan Muslim,” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, Akmyr mengakui memulakan perniagaan seawal usia 22 tahun ketika masih bergelar pelajar merupakan satu ujian besar dari segi kewangan, bimbingan serta pengalaman.

“Namun, kami tidak pernah berputus asa. Kunci utama adalah terus berusaha dan berikhtiar,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membawa jenama JIBRIL ke luar negara.

“Insya-Allah, jika diberikan peluang, kami memang berhasrat untuk mengembangkan pasaran ke luar negara. Namun, buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada pembangunan dalaman terlebih dahulu.

“Sijil halal memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai keperluan asas dalam industri makanan, tetapi juga sebagai pelindung reputasi perniagaan dan asas kepada pertumbuhan masa depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya