OPR kekal, inflasi dijangka stabil tidak melebihi 3% tahun ini - Utusan Malaysia

OPR kekal, inflasi dijangka stabil tidak melebihi 3% tahun ini

PERUBAHAN pada kadar dasar semalaman (OPR) akan mempengaruhi pertumbuhan KDNK. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.00 peratus memberi gambaran kadar inflasi kekal stabil dan tidak melebihi tiga peratus pada separuh kedua 2024.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, inflasi akan kekal stabil dengan kadar inflasi utama ialah dua peratus, manakala inflasi teras 1.9 peratus.

“Ini juga memandangkan kesan subsidi diesel dan pelarasan harga terhadap inflasi dapat dikawal dengan langkah mitigasi serta penguatkuasaan yang berkesan bagi meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan.

“Pada masa sama kami berpendapat, rasionalisasi subsidi petrol RON95 adalah tidak mungkin berlaku pada tahun ini.

“Risiko menaik kepada inflasi juga bergantung kepada sejauh mana kesan limpahan langkah dasar domestik terhadap subsidi dan kawalan harga kepada arah aliran harga yang lebih luas, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan,” katanya dalam satu nota kajian.

Maybank IB berkata, bank pusat itu menjangkakan, momentum pertumbuhan ekonomi mampan didorong permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Ini kerana pertumbuhan pekerjaan, gaji dan perbelanjaan pelancong menyokong penggunaan swasta.

“Ia juga disokong pengembangan berterusan yang teguh dalam aktiviti pelaburan mengenai kemajuan dalam projek sektor swasta dan awam berbilang tahun, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara dan merealisasikan pelaburan yang diluluskan yang kukuh.

“Eksport dijangka terus meningkat oleh kitaran peningkatan teknologi global dan kekuatan berterusan dalam barangan bukan elektrik dan elektronik (E&E).

“Risiko kepada unjuran ekonomi domestik adalah seimbang antara kemerosotan kepada permintaan luar dan keluaran komoditi serta limpahan yang lebih besar daripada kitaran naik teknologi, aktiviti pelancongan selain pelaksanaan projek sedia ada dan baharu yang lebih pantas,” katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan OPR kekal pada 3.00 peratus sehingga akhir 2025 memandangkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat tahun ini.

“Kami turut menjangkakan momentum yang mampan tahun depan serta risiko kenaikan kadar inflasi pada 2025 di tengah- tengah rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang tidak diketahui,” katanya.

Sementara itu, TA Securities berkata, OPR yang dikekalkan itu sejajar dengan jangkaan pasaran dan bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi sambil menangani kebimbangan inflasi.

“Ekonomi Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang stabil, didorong oleh perbelanjaan domestik yang kukuh, peningkatan eksport, dan peningkatan aktiviti pelancongan.

“Bagaimanapun, risiko penurunan kekal disebabkan oleh permintaan luar yang lebih lemah dan potensi ketidakstabilan pasaran kewangan global,” katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan bahawa BNM berkemungkinan akan mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024, memandangkan ekonomi terus pulih dengan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya dijadualkan pada 5 sehingga 6 November nanti.

“Ramalan ini berdasarkan pandangan bahawa ekonomi Malaysia masih dalam proses mendapatkan semula momentum yang kukuh dan berhadapan dengan potensi risiko penurunan.

“Dasar monetari semasa terus menyokong pertumbuhan ekonomi sambil selari dengan prospek inflasi dan pertumbuhan semasa.

“MPC kekal peka terhadap perkembangan terkini bagi membimbing penilaian mereka terhadap trajektori inflasi dan pertumbuhan ketika kita menuju ke 2025.

“Terdapat kemungkinan bahawa bank pusat akan mengekalkan kadar dasar monetari untuk tahun hadapan, terutamanya dengan jurang yang semakin mengecil antara Fed Fund Rate dan OPR, menunjukkan tekanan yang sedikit terhadap bank pusat untuk mengurangkan kadar, kecuali ekonomi mengalami pemanasan berlebihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×