MIDF Research naikkan unjuran untung syarikat perladangan - Utusan Malaysia

MIDF Research naikkan unjuran untung syarikat perladangan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research meningkatkan unjuran keuntungan sektor perladangan masing-masing sebanyak tiga peratus bagi tahun kewangan 2024 dan 2025, manakala dua peratus bagi 2026.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan anggaran itu didorong oleh semakan semula keuntungan yang lebih tinggi untuk KL Kepong Berhad dan SD Guthrie Bhd.

“Peningkatan itu selepas mempertimbangkan semakan terhadap jangkaan harga purata minyak sawit mentah (MSM) baru sebanyak RM3,800 setiap tan serta peningkatan dalam pengeluaran dan hasil buah tandan segar (BTS) di Indonesia.

“Kedua-dua syarikat ini mempunyai berat yang signifikan dalam syarikat-syarikat sektor perladangan dalam tinjauan kami sebanyak kira-kira 40 peratus,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jelas MIDF Research, melihat ke hadapan, saranan ‘Neutral’ dikekalkan terhadap sektor itu dengan pilihan utama kekal IOI Corp dengan harga sasaran (TP) RM4.50 dan Ta Ann (TP: RM4.16).

“Pandangan terhadap 101 Corp kekal kukuh dan disokong baik oleh keuntungan dari segmen huluan dan hiliran.

“Kilang penapisan dan loji oleo mereka dilindungi dengan baik daripada kos input yang tinggi kerana lokasi operasi yang strategik.

“Ini tidak seperti syarikat lain yang beroperasi di Eropah yang kebanyakannya terjejas oleh kos pengeluaran tinggi akibat harga gas asli yang mahal,” jelasnya.

MIDF Research juga menekankan mengenai Ta Ann Bhd. yang merupakan pemain huluan semata-mata yang menyaksikan harga sahamnya sangat berkaitan dengan pergerakan MSM dengan korelasi kira-kira 0.82.

“Oleh itu, sebarang trajektori kenaikan dalam harga MSM disebabkan oleh kemarau yang berpanjangan pada suku ketiga dan keempat 2024 akan memberikan peluang dagangan dalam saham tersebut.

“Sementara itu, permintaan oleokimia mengalami pemulihan yang kukuh di Eropah didorong oleh peningkatan permintaan dan margin yang lebih baik walaupun kos utiliti yang masih tinggi.

“Namun, pasaran China kekal agak lemah, dengan permintaan yang perlahan dan ketidakpastian yang berterusan mempengaruhi produk derivatif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN