BUTTERWORTH : Kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan sebarang penangguhan lanjutan terhadap kenaikan tarif air di Pulau Pinang selepas pelaksanaannya sebelum ini telah ditangguhkan untuk tempoh kira-kira satu tahun.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau sudah memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu termasuk kepada Exco yang berkaitan ketika ia dibangkitkan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei lalu.
Kon Yeow berkata, tarif air baharu itu telah diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 30 Julai tahun lepas dengan beberapa negeri juga sudah pun melaksanakan kadar yang disemak semula itu.
“Pulau Pinang sebenarnya boleh menguatkuasakan tarif baharu itu pada 1 Ogos tahun lalu, tetapi, kita memilih untuk menangguhkannya sehingga 1 Julai (tahun ini).
“Jadi, kalau kita ambil kira dari tempoh ini, maka, sudah dekat satu tahunlah kita tangguhkan. Takkan kita nak tangguh lagi?” soal beliau ketika ditemui pemberita semasa mengadakan siri Jelajah Ketua Menteri ke beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam di sini, hari ini.
Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan terbaharu daripada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan tarif air sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu itu untuk tempoh setahun lagi.
Guan Eng dipetik sebagai berkata, penangguhan itu perlu kerana rakyat masih bimbang dengan pelaksanaan kadar baharu yang menyaksikan peningkatan daripada kadar purata semasa kepada 62 sen bagi setiap meter padu yang digunakan.
Sementara itu, kata Kon Yeow, pelaksanaan tarif baharu itu penting bagi memastikan operator air negeri mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai pelbagai projek dalam usaha memperkukuhkan jaminan bekalan air di Pulau Pinang.
““Kita (kerajaan negeri) kini sedang melihat peluang pelaburan besar mencecah RM2 bilion untuk memperkukuh keselamatan air negeri. Itu belum lagi dikira perjanjian bekalan air dengan Perak yang melibatkan nilai berbilion ringgit.
“Oleh itu, walaupun tambahan hasil daripada kenaikan tarif air itu mungkin hanya sekitar RM20 juta sahaja, tetapi, jumlah tersebut amat penting bagi syarikat untuk membiayai kerja-kerja yang berkaitan,” katanya.-UTUSAN










