KUALA LUMPUR: Pengalaman menjalani penggambaran di sebuah rumah lama di Pulau Carey bertukar menjadi detik sukar dilupakan buat pelakon Hannah Delisha apabila beberapa kejadian aneh berlaku sepanjang berada di lokasi berkenaan.
Antara yang paling mencetuskan tanda tanya apabila muncul kesan kemerahan berbentuk seakan-akan bunga pada dahinya tanpa diketahui punca ketika menjalani penggambaran drama seram terbitan Viu, Dia Perempuan Sialan.
Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 29, berkata, kesan misteri itu disedarinya selepas bangun tidur pada hari terakhir penggambaran di lokasi tersebut.
“Apabila bangun tidur, saya perasan ada kesan merah pada dahi, bentuknya seperti bunga semanggi (clover). Walaupun ditutup dengan mekap, kesan merah itu masih kelihatan sedikit.
“Ia bukan lebam tetapi merah seperti dicop. Pada mulanya saya fikir mungkin digigit serangga, tetapi langsung tiada kesan gigitan.Peliknya, selepas dua hari kesan itu terus hilang. Tidak sakit, tidak gatal dan saya langsung tidak rasa apa-apa.
“Saya pun tidak berani hendak fikir lebih-lebih. Pengarah sempat bergurau, mungkin ‘dia’ cium saya,” katanya.
Bukan itu sahaja, pelakon drama Andai Tiada Dia itu turut berdepan pengalaman menyeramkan apabila menyaksikan sendiri pintu bilik air di rumah berkenaan terbuka dengan sendirinya beberapa kali walaupun tiada tiupan angin.
Menurut Hannah, kejadian sama berlaku selama dua malam berturut-turut dan turut disaksikan kru produksi.
“Mungkin rumah itu sudah lama kosong. Apabila kami datang untuk menjalani penggambaran, barangkali ‘mereka’ tertanya-tanya siapa pula yang datang.Ada sebuah bilik tidur yang bersambung dengan tandas. Pintu tandas itu tiba-tiba terbuka sendiri tanpa angin atau apa-apa.
“Kami tutup, kemudian ia terbuka semula. Tutup sekali lagi, buka lagi. Kali ketiga barulah ia berhenti.Esoknya perkara sama berlaku lagi. Malam pertama kru yang mengalami kejadian tersebut, manakala keesokan harinya saya sendiri melihat pintu itu terbuka dua kali. Saya bangun dan menutupnya semula,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana What’s Next on Viu – Viu Original, di sini, kelmarin.
Mengakui penggambaran karya bergenre seram sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian luar biasa, Hannah bagaimanapun bersyukur gangguan yang dialaminya tidak melarat sehingga menjejaskan keselamatan pasukan produksi.
“Perkara seperti ini mungkin berlaku secara semula jadi apabila kita membawa watak dan menghidupkan emosi dalam cerita seram.
“Sejujurnya, saya memang ada mendengar beberapa orang mengatakan rumah di Pulau Carey itu berhantu dan meminta saya supaya berhati-hati. Alhamdulillah, setakat ini gangguannya hanya sekadar pintu terbuka dan tertutup sendiri. Tiada perkara lebih serius berlaku.
“Lagipun, penggambaran di lokasi tersebut sudah selesai dan sekarang kami berada di tempat lain,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, dia sentiasa mengamalkan bacaan doa tertentu sebagai ikhtiar untuk memohon perlindungan Allah daripada sebarang gangguan.
“Paling penting, saya sentiasa mengamalkan bacaan Ayat Kursi dan tiga Qul. Saya juga membaca doa Bismillahil lazi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wala fis-sama’i wahuwas-sami’ul ’alim sebanyak tiga kali setiap kali selepas Subuh dan Maghrib,” katanya.
Untuk rekod, Dia Perempuan Sialan (The Hidden Hand) merupakan siri seram thriller premium hasil kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia.
Dijadualkan menemui penonton pada September 2026, siri eksklusif berkenaan menggabungkan elemen seram, misteri dan konflik mendebarkan dengan menampilkan Meerqeen, Hannah Delisha serta pelakon Indonesia, Caitlin Halderman.










