Jimmy-Su Yin cipta kejutan mara ke separuh akhir Terbuka Jepun

Jimmy-Su Yin cipta kejutan mara ke separuh akhir Terbuka Jepun

Jimmy Wong-Cheng Su Yin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejutan demi kejutan dilakar beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin dan hari ini, pasangan No. 3 dunia, Mathias Christiansen-Alexandra Boje menjadi mangsa mereka pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun.

Jimmy-Su Yin yang merupakan gandingan ke-118 dunia mencatat kemenangan straight set ke atas beregu berpengalaman Denmark itu 21-17, 21-17 dalam masa 39 minit.

Kemenangan pada kejohanan berstandard Super 750 itu menyaksikan beregu yang baharu digandingkan, Mei lalu kini mengikat Christiansen-Boje dengan rekod pertemuan 1-1.

Jimmy ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia sangat gembira dan berpuas hati dengan kemenangan yang dilakar, hari ini.

“Kami merupakan ‘underdog’, lawan kami jauh berpengalaman, jadi, kami cuma cuba bermain dengan sabar dan tidak terburu-buru untuk mengutip mata,” katanya kepada wakil BWF.

Su Yin pula memberitahu, dia tidak menduga sama sekali mampu menang ke atas Christiansen-Boje kerana matlamat mereka masuk ke dalam gelanggang hanya untuk memberikan yang terbaik.

Dalam perjalanan ke separuh akhir yang kali pertama mereka jejaki, Jimmy-Su Yin terpaksa menempuh laluan sukar apabila perlu menentang pasangan No. 14 dunia, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dan juga beregu No. 7 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Hari ini, kejutan buat kali ketiga mereka lakukan dan giliran Christiansen-Boje pula ditunjukkan jalan keluar.

Apa yang lebih menarik Jimmy-Su Yin berjaya menyekat dominasi beregu No. 3 dunia itu daripada mencipta hatrik selepas Christiansen-Boje merangkul gelaran pada Terbuka Singapura dan Indonesia.

Pada separuh akhir, esok beregu No. 8 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong menanti Jimmy-Su Yin dan pertembungan tersebut adalah yang pertama buat kedua-dua pasangan.

Chun Man-Ying Suet turut mencipta kejutan besar apabila membenam beregu handalan China yang menghuni ranking No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 21-13 dalam masa 39 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN