Guru perlu berani berinovasi, kuasai kemahiran baharu - PM

Guru perlu berani berinovasi, kuasai kemahiran baharu – PM

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan pendidik dan bakal pemimpin perlu berani berinovasi, menguasai kemahiran baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) serta menyesuaikan kaedah pengajaran dengan tuntutan semasa bagi melahirkan generasi yang mampu memimpin perubahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, asas kepimpinan bermula dengan sikap tidak cepat berpuas hati terhadap pencapaian sendiri, sebaliknya sentiasa berusaha memperbaiki diri dalam pelbagai aspek.

Katanya, semangat itqan fil ’amal iaitu menyempurnakan setiap amanah dan pekerjaan sebaik mungkin perlu diterapkan dalam kalangan pendidik agar mereka terus meningkatkan ilmu, akhlak, ibadah, pendekatan pengajaran serta mutu kerja.

“Seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menjadi teladan yang sentiasa bersedia belajar, menerima perubahan dan meningkatkan kualiti diri.

“Dalam era yang berkembang pesat dengan kemajuan digital, AI dan peralihan tenaga, guru serta bakal pemimpin perlu bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan agar kekal relevan,” katanya di Facebook hari ini. 

Terdahulu, beliau menghadiri sesi dialog Temu Anwar Bersama Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik Nilai, hari ini.

Anwar berkata,  penguasaan ilmu dan kemahiran baharu perlu diperkukuhkan selain menggalakkan kerjasama lebih erat dengan industri bagi memastikan sistem pendidikan mampu memenuhi keperluan semasa.

“Generasi muda mempunyai potensi besar untuk memimpin perubahan negara. Namun ia hanya dapat direalisasikan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran dan kerjasama strategik dengan industri.

“Ini termasuk semangat yang tidak pernah luntur untuk terus mengejar kecemerlangan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN