Simpanan habis di usia emas demi rumah idaman

Simpanan habis di usia emas demi rumah idaman

SEBILANGAN pihak memilih untuk membina rumah di atas tanah sendiri selepas bersara menggunakan wang simpanan dan KWSP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEGHAIRAHAN sesetengah individu dalam menunaikan azam memiliki rumah sendiri setelah sekian lama menunggu aset utama tersebut dikhuatiri mengakibatkan mereka kehabisan atau tidak mempunyai simpanan yang mencukupi sebagai persediaan di hari tua.

Ini kerana kebanyakan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana namun tidak berkesempatan membeli rumah di usia muda, memilih untuk membina aset tersebut di tanah persendirian yang dianggap lebih berpatutan.

Dengan bermodalkan hasil simpanan dan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berkemungkinan besar mereka dapat membayar kontraktor untuk membina rumah di tanah sendiri.

Namun, dengan kewujudan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP yang diumumkan ming­gu lalu, dikhuatiri simpanan di hari tua semakin berkurangan ekoran pengeluaran fleksibel yang dibenarkan.

Keadaan ini sudah pasti membebankan tambahan pula dengan kos bahan binaan seperti simen dan besi yang semakin meningkat sekali gus menjadikan kos pembinaan rumah idaman lebih tinggi.

Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, tidak dinafikan kenaikan bahan binaan akan menyebabkan peningkatan kos pembangunan.

Menurutnya, pemilik rumah yang mungkin telah mencapai usia pesaraan atau tua, mempunyai perbelanjaan komitmen yang lain, namun dalam masa yang sama mereka juga menanggung kos pembinaan rumah.

“Melihat pada kerisauan terhadap simpanan hari tua yang tidak mencukupi, segelintir daripada mereka membuat pinjaman peribadi bank, bagi mempercepatkan binaan rumah tersebut.

“Justeru, walaupun telah mencapai usia persaraan, mereka masih menanggung beban untuk melangsaikan pinjaman peribadi, tambahan  pula faedah yang dikenakan tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pilihan untuk membuat rumah di tanah sendiri boleh mendatangkan kerugian terhadap pemilik sekiranya mereka tidak mempunyai ilmu yang secukupnya dalam kos yang membabitkan binaan dan perkara lain.

Tambahnya, kesilapan pemilik ketika memilih kontraktor binaan tanpa diselidiki  terlebih dahulu, meningkatkan risiko ditipu selain caj tambahan yang tidak munasabah mungkin dikenakan kepada pelanggan yang kurang pengetahuan.

Sementara itu, Ketua Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, isu simpanan persaraan antara perkara utama yang dibimbangkan disebabkan faktor gaji dan pendapatan yang meningkat tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup. 

Oleh itu, tegasnya, mereka perlu membuat pertimbangan terhadap keperluan untuk membina rumah, ekoran kos bahan mentah juga semakin mahal.

“Pertimbangan yang baik perlu dilakukan supaya keperluan simpanan di hari persaraan tidak memberi kesan buruk yang lain hanya demi membina rumah sendiri.

“Oleh itu, mereka yang mahu membina rumah, perlu bijak dalam memilih reka bentuk, bahan yang mahu digunakan serta kontraktor yang berpengalaman agar kos rumah yang mahu dibina itu sentiasa terkawal. 

“Perkara ini memerlukan seseorang itu membuat penyelidikan dan kajian yang teliti supaya rumah yang bakal dibina memenuhi kehendak dan bersesuaian dengan kemampuan kewangan pemiliknya,” kata­nya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN