BERKONSEPKAN “Harga Setinggan, Rasa Condo’, Candy Crum Sdn. Bhd. berjaya menawan hati pelanggannya dengan menjual Candy Crum Popcorn pada harga serendah RM1.
Pengarah Urusannya, Norain Khairuddin, 31 berkata, bertih jagung yang dijual murah itu untuk membantu sesiapa sahaja, terutamanya bakal pengantin yang ingin membuat cenderahati dengan harga mampu milik.
“Bertih jagung yang berharga RM1 itu bersaiz cawan 12oz atau 45 gram dan ia berbaloi buat sesiapa yang ingin menjadikannya sebagai cenderamata,”katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Penerima anugerah Halal Excellent and Young Entrepreneur 2023 dari HQC Global Brand Award itu berkata, rasa yang dijanjikan semestinya berkualiti dan sedap serta mempunyai sijil halal yang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Alhamdulillah, sekarang banyak permintaan dari pelanggan sedia ada dan juga baharu, lagi-lagi bila saya turut aktif berjualan secara atas talian di aplikasi Tiktok, hampir 50,000 cawan terjual” ujarnya.
Jelas Norain, Candy Crum kini berjaya mendapat anggaran pendapatan hampir RM250,000 sebulan.
“Saya boleh katakan, purata keuntungan kami boleh mencecah antara RM60,000 hingga RM80,000 sebulan,” katanya.
Katanya, sebanyak hampir 5 juta bungkusan (pack) telah terjual sejak bermulanya operasi pada bulan Januari 2020 hingga kini.
Beliau berkata, produk bertih jagung itu juga terdapat dalam pelbagai saiz lain seperti pek komersial 80g, bucket 750ml, botol (190gm) serta paket bersaiz 500g , satu kilogram (kg) dan 10kg. .
Norain menambah, produk bertih jagung itu turut dipasarkan di pasar raya seperti Eco-Shop, Setiahub, Hero Market, Ninso, Lima Sen, Cheap2Shop dan juga aplikasi Tiktok Shop.
“Saya mempunyai kilang yang beralamat di No 10, Jalan Kaseh Putera 1, Taman Kasih Putera , Bahau Negeri Sembilan Darul Khusus dan produk yang dapat diproses pada setiap hari adalah dalam lingkungan 500kg hingga 1000kg,” katanya.
Mengulas lanjut perancangan masa hadapan, Norain berkata, beliau ingin menawan pasaran antarabangsa suatu hari nanti selepas menawan pasaran tempatan.
“Dalam masa sama kami telah menambah perisa baru iaitu Coklat dan turut memperolehi sijil Halal dari Jakim baru baru ini.
“Selain itu, kami juga dalam proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) produk baru iaitu popcorn perisa red velvet,” katanya.










