MM2H mampu beri limpahan ekonomi - Utusan Malaysia

MM2H mampu beri limpahan ekonomi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mampu memberi kesan limpahan kepada aktiviti ekonomi negara dan pembelian hartanah sekiranya syarat program tersebut dilaksanakan dengan lebih ‘mesra’ ekspatriat.

Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Ahyat Ishak berkata, setelah syarat baharu yang semakin ketat dikenakan kepada peserta pada 2021, ia telah memberi impak yang besar kepada ekspatriat.

“Sebagai contoh, pendapatan luar negara peserta MM2H perlu sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini dan pemilikan akaun simpanan mereka perlu ada sekurangnya-kurangnya RM1 juta.

“Syarat-syarat yang ketat dengan perubahan mendadak itu telah mengakibatkan ramai pembeli asing berubah fikiran.

“Bagi ekspatriat yang telah menetap di Malaysia selama 10 hingga 12 tahun pula rasa seperti dihalau dan mereka seterusnya membuat keputusan untuk keluar dari Malaysia.

“Walaupun MM2H tidak berkait secara langsung dengan pelaburan langsung asing (FDI), ia adalah isyarat yang diberikan kepada masyarakat antarabangsa yang negara kita mesra ekspatriat.

“Kita lupa kita turut bersaing dengan negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang juga mempunyai program seperti ini.

“Justeru, program MM2H tidak boleh dilihat dari segi hartanah sahaja dan tk boleh dilihat sebagai satu program yang wujud secara individu. Ia perlu wujud sebagai satu budaya dan janji sebuah negara kepada ekonomi dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahyat Ishak menyokong usaha kerajaan untuk meneruskan program MM2H yang lebih mesra dengan melihat semula syarat-syarat yang dikenakan.

Namun katanya, selepas syarat baharu dikenakan pada 2021, mungkin agak sukar untuk `beli jiwa’ pembeli asing semula kali ini.

Jelasnya, jika negara selalu bertukar syarat, mereka akan melihat polisi negara tidak stabil.

“Bagaimanapun, saya yakin jika program MM2H dibuat dengan lebih mesra ekspatriat pasti akan ada peningkatan permintaan di mana ia akan menguntungkan semua pihak.

“Sekarang adalah masa yang tepat untuk membuat syarat-syarat yang lebih mesra bagi menunjukkan yang kita ingin mempercepatkan dan memudahkan urusan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berpendapat, pihak berkuasa mungkin ada rasional untuk membuat pindaan kepada MM2H pada 2021 kerana beberapa negara seperti Thailand telah membuat regulasi yang ketat berbanding sebelumnya.

Jelasnya, menerusi program seperti MM2H negara mampu mendapat kesan limpahan seperti nilai tambah dalam aktiviti ekonomi, deposit serta pembelian hartanah.

Menurutnya, program rumah kedua di luar negara merentasi pelbagai sektoral seperti pembangunan dalam modal manusia dan pembangunan dan penyelidikan.

“Pihak berkuasa boleh melihat semula prestasi MM2H dengan pindaan yang telah dilakukan pada 2021.

“Negara kita juga memerlukan MM2H yang tulen bagi tujuan pembangunan negara dan konsisten dalam pasaran hartanah.

“Tulen disitu bermaksud ekspatriat tulen yang menjadikan negara sebagai rumah kedua mereka dan memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Pada 18 April lalu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan mengkaji semula keperluan MM2H untuk menjadikannya lebih fleksibel.

Ia susulan kenyataan Presiden Persatuan Perunding Rumah Kedua Malaysia (MM2HCA) Anthony Liew yang dilaporkan berkata, kerajaan perlu membuat keputusan dengan pantas untuk menghidupkan semula program MM2H supaya tidak `tewas’ kepada Thailand, Indonesia dan Kemboja, yang secara agresif mempromosikan program mereka sendiri.

Liew berkata, MM2H sebelum ini menjana kira-kira RM40 bilion hasil melalui penjualan rumah, kereta dan barangan lain.

—-

INFO:

Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah program unik yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk warga asing dan ekspatriat di seluruh dunia yang ingin memohon pas jangka panjang lima tahun (boleh diperbaharui) di Malaysia.

Program ini terbuka kepada rakyat dari semua negara yang diiktiraf oleh Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau jantina.

Program MM2H telah diaktifkan semula dengan beberapa pindaan dibuat kepada dasar:

-Pendapatan bulanan yang diperlukan untuk melayakkan diri disemak daripada RM10,000 kepada RM40,000 sebulan.
-Pemohon utama perlu membuktikan aset cairnya berjumlah minimum RM1.5 juta untuk memohon di bawah Program MM2H.
-Keperluan simpanan tetap telah dinaikkan kepada RM1 juta. Pemohon berumur 35 hingga 49 tahun dengan tanggungan, perlu mendepositkan jumlah tambahan sebanyak RM50,000 untuk setiap tanggungan ke dalam simpanan tetap.
-Pemohon dibenarkan mengeluarkan sehingga 50 peratus daripada simpanan tetap selepas setahun untuk tujuan pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembelian rumah.
-Pemegang Pas MM2H dan/atau pasangan masing-masing hendaklah menetap di Malaysia sekurang-kurangnya 90 hari (secara kumulatif) dalam setahun
-Umur minimum pemohon utama dinaikkan daripada 21 kepada 35 tahun, yuran kerajaan juga sedang disemak.
-Yuran pas tahunan baharu ialah RM500 daripada RM90 sebelum ini dan akan dikenakan caj yuran pemprosesan oleh jabatan imigresen sebanyak RM5,000 untuk prinsipal dan RM2,500 untuk setiap tanggungan setelah diluluskan.
-Semua permohonan MM2H baharu hendaklah dihantar secara dalam talian.

SUMBER: https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myMm2h?intro

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.