55 tahun penubuhan: Angkasa terus pacu koperasi dalam sektor berimpak tinggi

55 tahun penubuhan: Angkasa terus pacu koperasi dalam sektor berimpak tinggi

angkasa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan terus memacu dan memperkasa gerakan koperasi negara melalui penguasaan sektor strategik seperti keterjaminan makanan, teknologi digital, tenaga hijau, logistik, pendidikan penjagaan kesihatan, pelancongan dan komuniti bagi menjadi salah satu kuasa ekonomi rakyat.

Perkara tersebut dinyatakan Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu menyampaikan amanat bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun penubuhan Angkasa ke-55 yang berlangsung di Auditorium Aangksa, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.

Sambutan ini menjadi simbolik kepada perjalanan panjang Angkasa sebagai badan puncak gerakan koperasi negara sejak penubuhannya pada 12 Mei 1971, hasil resolusi Kongres Kerjasama Malaysia Kedua yang memuktamadkan penubuhan sebuah organisasi induk bagi menyatukan gerakan koperasi di seluruh negara.

Menurut beliau, sejarah gerakan koperasi negara bermula sejak tahun 1922 apabila Undang-Undang Koperasi pertama diperkenalkan di Tanah Melayu, sebelum tertubuhnya Angkasa sebagai institusi yang menyelaras serta memperkukuh keseluruhan ekosistem koperasi negara.

“Penubuhan Angkasa merupakan simbol penyatuan gerakan koperasi negara yang dibina atas semangat kebersamaan, kesejahteraan dan pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif serta mampan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap Angkasa pada tahun 1996 menerusi warta sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah memperkukuh lagi kedudukannya dalam aspek pembangunan dasar, pengukuhan jaringan antarabangsa dan pembangunan perniagaan koperasi.

Dalam masa yang sama, Angkasa terus mengorak langkah ke peringkat global melalui penglibatan aktif dalam pelbagai organisasi koperasi antarabangsa termasuk ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan International Cooperative Alliance (ICA).

Majlis sambutan turut diserikan dengan kehadiran Balasubramaniam Iyer, Pengarah Serantau International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) yang melambangkan hubungan erat serta kerjasama berterusan antara Angkasa dan gerakan koperasi antarabangsa dalam memperkasa pembangunan koperasi di rantau Asia Pasifik.

Sempena sambutan ulang tahun ke-55 ini juga, Angkasa memperkenalkan Buku Nilai Teras (Core Value) Angkasa sebagai panduan budaya kerja dan etika organisasi untuk seluruh warga kerja Angkasa.

Buku tersebut mengangkat nilai teras Sadik, Amanah dan Telus sebagai tunjang integriti Angkasa selain nilai Fatanah, Adab, Integriti, Sinergi, Cemerlang, Lestari, Harmoni dan Inovasi sebagai pemacu kecemerlangan operasi.

Seiring dengan perubahan landskap ekonomi dan cabaran semasa, Angkasa komited untuk terus memperkukuh daya saing koperasi yang tidak hanya dilihat sebagai pelengkap ekonomi negara, tetapi sebagai pemain utama yang membentuk ekonomi rakyat Malaysia.

Sambutan ulang tahun ke-55 ini turut menjadi medan refleksi terhadap pencapaian yang telah diraih serta pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan, inovasi dan kelestarian gerakan koperasi negara demi memastikan Angkasa terus relevan sebagai badan puncak kepada gerakan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN