Pasangan remaja jerut leher pemandu e-hailing sebelum larikan kereta - Utusan Malaysia

Pasangan remaja jerut leher pemandu e-hailing sebelum larikan kereta

PASANGAN kekasih yang menyamun seorang pemandu e-hailing dengan menjerut leher mangsa sebelum merampas kereta jenis Proton Saga ditahan polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pasangan kekasih menjerut leher seorang pemandu e-hailing sebelum melarikan kereta Proton Saga milik mangsa di kawasan Taman Negara Tanjung Piai, di sini Ahad lalu.

Tindakan remaja lelaki berusia 18 tahun dan remaja perempuan berusia 17 tahun itu bagaimanapun membawa padah apabila mereka ditahan di kawasan Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun dengan mendatangkan kecederaan itu pada pukul 8.51 pagi, Ahad lalu.

“Kedua-dua suspek ditahan antara pukul 7 pagi hingga 2 petang semalam. Siasatan awal mendapati mereka menyamun dengan cara menjerut leher pemandu e-hailing menggunakan tali dan menarik mangsa keluar dari kenderaan sebelum melarikan kereta tersebut ke Johor Bahru.

“Mereka kemudian meninggalkan kenderaan tersebut di kawasan restoran di makanan segera di Stulang Laut, Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, suspek lelaki tidak bekerja dan mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik serta positif dadah, manakala suspek wanita sudah tidak bersekolah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis turut merampas kereta milik mangsa, sebilah pisau, tali yang digunakan untuk menjerut mangsa, telefon bimbit serta pelbagai barangan peribadi milik mangsa bernilai keseluruhan RM30,000,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN