HPA kongsi rahsia bertahan lebih tiga dekad - Utusan Malaysia

HPA kongsi rahsia bertahan lebih tiga dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI suka duka dan pahit getir sepanjang lebih tiga dekad dalam dunia perniagaan banyak mengajar pengasas HPA Industries Sdn. Bhd. (HPA), Ismail Ahmad, 60, apa yang perlu dilakukan bagi meneruskan survival syarikat itu.

Menurut Ismail, banyak cabaran yang dihadapinya sepanjang tempoh itu diambil sebagai pengalaman dan pedoman bagi terus memacu syarikat mengembangkan perniagaan.

Katanya, terkini, syarikatnya dalam fasa permulaan mengeluarkan pelbagai jenis roti yang diperbuat tanpa bahan pengawet sebagai nilai tambah segmen makanan di negara ini.

“HPA kini mengembangkan perniagaan ya dalam segmen makanan iaitu mengeluarkan produk berasaskan roti yang dihasilkan di Radix Bakery House untuk dipasarkan di seluruh negara.

“Penghasilan roti dengan nilai tambah tanpa bahan pengawet memberi pilihan baharu kepada pengguna yang mementingkan makanan kesihatan dan akan dipasarkan di semua outlet HPA Hallmart di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau optimis, varieti baharu produknya itu mendapat sambutan kerana ia mempunyai golongan sasar yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai kepentingan makanan kesihatan tanpa pengawet di negara ini.

Mengulas lanjut, anak jati Kampung Changkat Lada, Mata Ayer, Perlis itu berkata, beliau ialah generasi ketiga mewarisi perniagaan yang dimulakan oleh datuknya.

Mengimbau kembali perjalanan syarikatnya itu, HPA yang merupakan akronim bagi Herba Penawar Al-Wahida yang diusahakan pada 1986 hanya bermula dengan penghasilan produk-produk kesihatan berasaskan herba.

“Pada 1995, kami membuka bengkel pemprosesan produk di Jejawi sebelum berpindah ke kilang yang lebih besar terletak di kawasan SME Bank di Kuala Perlis.

“HPA pernah mencapai zaman kegemilangannya dengan penghasilan kopi pracampuran jenama Radix yang terkenal dengan ‘tagline’ ‘Mai Secawan’ yang sering disiarkan di kaca televisyen,” katanya.

Tambahnya, ketika kemuncak kegemilangannya, HPA mampu merekodkan jualan sehingga RM75 juta sebulan pada 2005 dan mempunyai pekerja seramai 4,000 orang bagi menampung permintaan yang sangat tinggi ketika itu.

Katanya, bagaimanapun pencapaian HPA mulai merosot selepas terdapat intervensi atau kewujudan barangan tiruan untuk produk kopi pracampuran yang dihasilkan syarikat itu.

“Kesannya sangat teruk selepas ‘serangan’ tersebut menyebabkan hilang kepercayaan pelanggan terhadap produk dihasilkan kami dan jualan turut merudum.

“Apabila jualan merudum, kami terpaksa menanggung implikasi kewangan yang tinggi termasuk melangsaikan hutang-hutang sedia ada dengan cara meminta dipanjangkan tempoh pembayaran semula,” jelasnya.

Selain itu, antara perkara lain akibat intervensi tersebut adalah syarikat terpaksa mengurangkan jumlah pekerja sehingga kira-kira 1,500 orang sahaja bagi membolehkan syarikat bertahan.

Ismail berkata, beliau berterima kasih kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sentiasa membantu membanteras kewujudan produk-produk tiruan sekaligus mengembalikan semula keyakinan pengguna kepada jenama dihasilkan oleh HPA.

“Kini, dengan HPA kembali bernafas dan akan terus mengorak langkah untuk menjadi salah satu syarikat Bumiputera yang mampu menembusi pasaran Asia Barat.

“Kita juga akan terus menghasilkan produk baharu daripada 500 varieti produk sedia ada termasuk penghasilan minuman menerusi pembungkusan ‘ready to drink’ (RTD) Radix dalam bentuk tin selain terus mengukuhkan pasaran Asia Tenggara,” katanya.

Ketika diminta rahsia kejayaannya, Ismail secara terbuka menyarankan agar usahawan baharu cekal dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam mengembangkan perusahaan mereka.

“Perniagaan ibarat satu peperangan dan perlu ada strategi, kekuatan dan kesabaran. Ingat, kalau kita jatuh, bukan jatuh untuk mati sebaliknya sebagai pengajaran untuk bangkit semula dan terus berlari dengan menghasilkan produk yang lebih unik dan menarik hati pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya