Bursa Malaysia dijangka dibuka rendah minggu ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka dibuka rendah minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia berkemungkinan akan dibuka rendah pada minggu ini disokong oleh minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menunjukkan jangkaan kemelesetan sederhana pada akhir tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd. Rashid berkata, bagaimanapun data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) menurun ke kadar terendah sejak Mei 2021.

“Ini adalah salah satu sentimen yang baik, tetapi pelabur perlu berwaspada dengan ketidaktentuan dalam pasaran yang boleh menjejaskan sentimen.

“Dengan pengumuman CPI, pasaran mungkin menafsirkan ini sebagai isyarat bahawa inflasi terkawal di AS, yang mungkin mendorong Fed AS untuk melambatkan kadar kenaikan kadar faedah.

“Walaupun data inflasi menunjukkan sentimen yang baik, tetapi itu tidak bermakna Fed akan menghentikan kenaikan faedah bagi suku akan datang.

“Oleh itu, pelabur perlu sentiasa melihat perkembangan terkini dalam pasaran. Saya menjangka  FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berada dalam julat 1,430 hingga 1,444. Manakala, ringgit pula akan terus kekal pada sekitar RM4.41 hingga RM4.42,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula menjangka FBM KLCI akan berleger sekitar 1,425 hingga 1,450 di atas sentimen positif bahawa Fed AS tidak akan menaikkan kadar faedah dengan agresif selain didorong oleh kadar inflasi di AS yang semakin menurun.

Pada Jumaat lalu, Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang memberangsangkan disebabkan oleh data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) yang dilihat lebih memihak kepada pertumbuhan ekonomi.

FBM KLCI mengembang 2.53 mata kepada 1,436.75 daripada penutup Khamis pada 1,434.22.

Indeks utama dibuka pada paras 1,434.84, meningkat 0.62 mata.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 167 berbalas 92, manakala 233 kaunter tidak berubah, 1,773 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Ringgit juga dibuka tinggi berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut, apabila dolar AS susut susulan penurunan mengejut dalam indeks harga pengeluar (PPI) AS pada Mac, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9 pagi Jumaat (14 April), mata wang tempatan telah meningkat kepada 4.3880/3915 berbanding dolar AS, daripada kadar penutup Khamis pada 4.3995/4025.

Indeks dolar AS, yang mengukur dolar AS berbanding enam mata wang utama, jatuh sebanyak 0.47 peratus kepada 101.01 mata, apabila IHPR bagi Mac turun kepada 2.7 peratus, daripada 4.6 peratus pada Februari.

Pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berpendapat, penurunan dolar AS mengikuti data CPI AS, yang berada di bawah jangkaan pada 5.0 peratus berbanding ramalan 5.2 peratus.

“IHP mengukur inflasi di AS, dan bacaan yang lebih rendah daripada jangkaan menunjukkan bahawa langkah kawalan inflasi Fed memberi kesan yang diingini, iaitu menyejukkan ekonomi.

“Oleh itu, Fed mungkin menerima pakai dasar monetari yang lebih longgar dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound, di mana ia meningkat kepada 5.4951/4995 daripada 5.5047/5084 pada penutupan Khamis.

Nota tempatan susut kepada 4.8509/8548 daripada 4.8500/8533 berbanding euro, dan susut nilai berbanding yen pada 3.3095/3123, berbanding 3.3034/3059 pada Khamis.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan itu didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang Asean.

Ia bertambah baik berbanding rupiah Indonesia pada 297.50/297.90 daripada 298.3/298.7 pada penutup Khamis, dan naik berbanding baht kepada 12.8695/8862 daripada 12.8942/9083 sebelumnya.

Ringgit juga meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.3112/3143 daripada 3.3194/3219 pada penutup Khamis, dan meningkat berbanding peso Filipina pada 7.94/7.96 daripada 7.96/7.97 sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya