Video tular PDRM iringi kenderaan warga asing telah disunting

Video tular PDRM iringi kenderaan warga asing telah disunting

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggabungkan dua rakaman video berbeza sehingga menimbulkan persepsi kononnya polis mengiringi kenderaan dipercayai dinaiki warga asing di Tanjung Minyak mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, hasil semakan yang dijalankan mendapati dakwaan itu adalah tidak benar kerana anggota polis berkenaan tidak terlibat dalam sebarang tugas mengiringi mana-mana konvoi.

Menurut beliau, rakaman yang memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda polis keluar dari satu simpang sememangnya dirakam berhampiran Masjid Tun Mohd. Khalil Yaakub di Tanjung Minyak.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan lain yang dilihat berada di belakang kenderaan polis itu hanya kebetulan keluar dari lokasi sama pada waktu yang sama dan bukannya sebahagian daripada konvoi diiringi polis.

“Anggota terbabit bukannya sedang mengiringi mana-mana kenderaan, namun kebetulan diekori beberapa kenderaan lain yang keluar pada masa yang sama.

“Rakaman yang memaparkan kenderaan dipercayai milik warga asing pula dipercayai dirakam di lokasi berbeza dan bukannya di Tanjung Minyak seperti yang didakwa menerusi komen dalam video tular tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata, penelitian terhadap kedua-dua rakaman itu jelas menunjukkan latar belakang serta persekitarannya berbeza, sekali gus menguatkan lagi kemungkinan video tersebut telah disunting sebelum dimuat naik ke media sosial.

Katanya, teknik suntingan yang digunakan menyebabkan orang ramai membuat andaian bahawa polis sedang mengiringi sekumpulan warga asing sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 28 saat tular menerusi aplikasi TikTok dengan kapsyen mempersoalkan mengapa sekumpulan warga asing didakwa memerlukan pengiring polis.

Video berkenaan memaparkan beberapa kenderaan dipercayai milik warga asing berada di satu kawasan tanah merah sebelum disusuli rakaman sebuah kenderaan polis di Tanjung Minyak, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.

Sehubungan itu, Halim menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai kandungan yang ditularkan tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN