Tips beli rumah dalam ekonomi tak menentu - Utusan Malaysia

Tips beli rumah dalam ekonomi tak menentu

Eco World Development Group Berhad (Eco World Malaysia)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMPUAN untuk membeli rumah di negara ini menjadi kebimbangan utama dalam kalangan rakyat sepanjang 2022, dan sudah tentu berlanjutan hingga ke tahun ini.

Mana tidaknya, mengikut kaji selidik Kajian Sentimen Pengguna Malaysia (CSS) pada separuh kedua 2022 oleh Propertyguru, lebih separuh daripada responden merasakan mereka tidak dapat membeli rumah tanpa bantuan kerajaan.

Perkara ini juga berkemungkinan berterusan, memandangkan ekonomi negara dan dunia dijangka tidak bertambah baik pada tahun ini.

Rakyat Malaysia ketika ini dilihat lebih menggunakan pendekatan tunggu dan lihat. Pada masa sama, mereka sebaliknya memilih untuk menyewa sahaja sambil membina keupayaan kewangan untuk membeli rumah pertama mereka.

Walaupun ramai yang mungkin tidak mampu untuk membeli rumah dalam keadaan semasa ini, anda harus memastikan anda mempunyai pengetahuan yang lengkap dalam proses pembelian rumah supaya lebih bersedia apabila pasaran bertambah baik.

Jadi, sudahkah anda bersedia untuk membeli rumah? Berikut adalah faktor-faktor yang boleh mengukur kesediaan anda yang dikongsikan oleh Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez dengan UTUSAN MALAYSIA.

1. Menetapkan bajet berdasarkan kemampuan
Sebaiknya, anda menetapkan bajet sesebuah rumah yang mahu dibeli mengikut kemampuan anda setelah menolak komitmen bulanan yang lain. Ini penting ya supaya anda tidak terjerat dan sukar untuk melunaskan bayaran bank pula kelak.

2. Ambil kira kos tambahan
Sekiranya mahu membeli rumah, anda perlu mengambil kira juga kos-kos tambahan terutamanya kos penyelenggaraan dan pengubahsuaian. Sekiranya anda membeli rumah, paling penting jangan lupa ambil kira kos penyelenggaraan yang wajib dibayar secara bulanan juga ya.
Tambahan pula rumah yang anda beli adalah kondominium dengan pelbagai fasiliti. Sudah tentulah ada kos penyelenggaraannya. Bagi kos pengubahsuaian pula, adalah lebih baik anda lakukan terus pengubahsuaian sebelum memasuki rumah baharu kerana sudah pasti leceh untuk melakukan ubah suai rumah apabila kita sudah tinggal di sana nanti.
Selain itu, ambil kira juga kenaikan kadar faedah yang semestinya memberi kesan kepada bayaran ansuran bulanan.

3. Berunding dengan penasihat yang berpengalaman
Jika boleh, seeloknya sebelum anda membuat keputusan membeli rumah, berundinglah dengan penasihat berpengalaman dan berpengetahuan yang boleh menawarkan anda keupayaan untuk menentukan kemampuan, menerima pulangan yang betul dan menilai risiko kredit dalam pembelian hartanah.

4. Semak dengan Kalkulator Pinjaman PropertyGuru
Satu sumber bagus yang boleh anda cuba sebelum membeli rumah adalah dengan Kalkulator Pinjaman Rumah PropertyGuru. Hanya masukkan maklumat seperti jumlah pinjaman, kadar faedah dan tempoh pinjaman dan ada akan mendapat anggaran nilai pembayaran bulanan kelak.

Prospek hartanah 2023

Melihat kepada prospek hartanah 2023, bakal pembeli rumah mungkin menghadapi cabaran berikutan prospek ekonomi yang kurang ideal, dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Kami menjangkakan sentimen pengguna akan mengambil masa untuk bertambah baik kerana kekurangan kemampuan telah menjadi trend yang konsisten merentas laporan dan penemuan kami pada tahun lalu.

Pasaran dijangka akan mengambil masa untuk bertambah baik, walaupun terdapat beberapa faktor yang mungkin menunjukkan prospek yang lebih positif pada tahun hadapan. Bakal pembeli rumah di pasaran perlu bersabar dan menilai sewajarnya apabila keadaan terus stabil.

Tahun lepas, kita menyaksikan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 8.7 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan tahunan tertinggi yang dicatatkan selepas 2000 (8.9 peratus). Jumlah nilai urus niaga hartanah Malaysia mencecah RM179.07 bilion pada 2022, nilai tertinggi pernah dicatatkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) sejak 2001.

Ini adalah tanda-tanda pemulihan yang perlahan, namun pembeli juga harus sedar tentang belanjawan mereka memandangkan potensi kenaikan kadar faedah dan ketidaktentuan yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Sementara itu, dari perspektif penjual, urus niaga mungkin menjadi perlahan melainkan mereka memilih untuk menurunkan harga hartanah mereka.

Dalam pada itu, kami berharap dapat melihat sokongan bank dan kerajaan untuk menyokong perjalanan bakal pemilik rumah dengan jaminan gadai janji dan polisi lain, terutamanya yang memberi bantuan untuk menyokong pemilik rumah kali pertama.

Ini penting kerana berdasarkan kajian CSS separuh kedua 2022, kami dapat melihat yang kemampuan perumahan terus menjadi kebimbangan utama dalam kalangan golongan muda, dengan 51 peratus responden menyatakan bahawa mereka tidak layak untuk skim rumah mampu milik kerajaan dan tidak dapat membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

Sebagai contoh, kerajaan boleh menyokong dengan skim Rent-To-Own (RTO) atau program yang diterajui bank seperti Skim Rumah Pertama Maybank, yang disediakan untuk pemilik rumah kali pertama, selaras dengan gaji minimum bulanan baharu Malaysia.

 

SUMBER: PROPERTYGURU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN