Ombudsman Malaysia pastikan tiada siapa kebal undang-undang

Ombudsman Malaysia pastikan tiada siapa kebal undang-undang

ISMAIL BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENUBUHAN Ombudsman Malaysia dilihat sebagai langkah penting dalam menutup jurang kelemahan sistem pengawasan sedia ada, khususnya apabila pelaksanaan tindakan terhadap salah laku dalam agensi awam masih bergantung keputusan dalaman masing-masing.

Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang keberkesanan mekanisme sedia ada, termasuk peranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ketika ini hanya boleh mengemukakan syor tanpa kuasa untuk memastikan tindakan diambil.

Pengerusinya, TAN SRI DR. ISMAIL BAKAR mengakui cabaran tersebut menjadi antara kekangan utama dalam memastikan setiap kes salah laku ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

Menurut beliau, penubuhan Ombudsman bukan sahaja dapat memperluas skop pengawasan kepada semua agensi awam, malah berpotensi menjadi mekanisme tunggal yang lebih jelas dan mudah diakses oleh rakyat.

Dalam wawancara khas bersama beberapa media, yang turut disertai wartawan Utusan Malaysia, NURIN NABILAH MAHMOD, beliau menegaskan keberkesanan institusi itu bagaimanapun bergantung sejauh mana kuasa yang diberikan bagi memastikan setiap aduan tidak sekadar disiasat tetapi turut diambil tindakan.

Katanya, prinsip ‘tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang’ perlu menjadi asas pelaksanaan Ombudsman supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran awam dapat diperkukuh.

 


UTUSAN: Boleh jelaskan mengenai kekangan EAIC?

ISMAIL: Suruhanjaya ini diwujudkan sebagai badan pengawasan yang akan memantau atau melaporkan kesalahan agensi penguatkuasaan bahkan menangani sebarang salah laku yang berlaku.

EAIC juga menjadi tempat rujukan utama apabila melibatkan aduan terhadap agensi penguatkuasaan.

Setiap aduan yang kami terima akan diteliti dan disiasat secara telus tanpa sebarang prejudis agar dapat memberi penyelesaian yang sewajarnya.

Di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 atau Akta 700, EAIC memang ada kuasa untuk menyiasat dan mengemukakan syor atau cadangan kepada agensi berkaitan.

Tetapi pelaksanaan syor itu sebenarnya bergantung kepada agensi tersebut.

Kalau mereka lambat ambil tindakan atau tidak melaksanakannya, EAIC tidak ada kuasa untuk memaksa perkara itu dilaksanakan.

Kita ada terima maklum balas menyatakan tindakan sedang diambil tetapi selepas tempoh yang lama pun masih belum ada keputusan jelas.

Keadaan seperti ini menyebabkan proses penyelesaian aduan menjadi panjang dan menjejaskan keberkesanan pengawasan.

Di bawah akta yang sama ini juga, kita tengok banyak agensi-agensi yang dapat pengecualian, menyebabkan bidang kuasa EAIC juga terhad.

Jadi ada kes tertentu yang kita tidak boleh siasat walaupun melibatkan kepentingan awam.

 

Sebelum ini, Tan Sri memaklumkan hampir 80 peratus aduan salah laku anggota penguatkuasa, termasuk berkaitan isu integriti, tidak diambil tindakan. Jadi bagaimana sekarang?

Bila kita hantar syor kepada agensi untuk ambil tindakan, biasanya mereka akan jawab tindakan sedang atau akan diambil tetapi kadang-kadang perkara itu berlarutan terlalu lama. Ada kes sampai lima tahun pun masih belum selesai.

Jadi dari segi rekod nampak macam tindakan akan diambil tetapi pada kita itu bukan satu keputusan yang memuaskan kerana tiada garis masa yang jelas.

Itu yang menyebabkan sebelum ini angka kes yang tidak diambil tindakan nampak tinggi.

Namun sekarang keadaan sudah mula berubah.

Selepas kita keluarkan beberapa peringatan dan perkara ini juga mendapat perhatian umum, agensi-agensi terlibat mula lebih peka kerana turut melibatkan reputasi mereka.

Walaupun begitu, ada juga kes yang mengambil masa kerana perlu melalui proses siasatan dalaman, terutama yang melibatkan tindakan tatatertib.

Sebab itu kita sedang melihat bagaimana mekanisme ini boleh dipercepatkan, termasuk melalui cadangan penubuhan Ombudsman supaya dapatan siasatan yang dibuat boleh digunakan dengan lebih berkesan.

 

Kerajaan bersetuju menubuhkan Ombudsman Malaysia untuk mengurus aduan terhadap semua agensi awam sebagai sebahagian daripada usaha reformasi institusi. Bagaimana Tan Sri melihat penubuhan ini boleh memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam sektor awam, serta memberi impak kepada rakyat?

‘Tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang’. Prinsip ini harus menjadi asas kepada penubuhan Ombudsman Malaysia. Maksudnya jelas, tidak kira pangkat, jawatan atau kedudukan seseorang pegawai, mereka tertakluk kepada undang-undang dan standard integriti yang sama.

Prinsip ini bukan sekadar teori sebaliknya asas untuk membentuk budaya integriti dalam seluruh sektor awam dan memastikan rakyat yakin setiap aduan dan kes salah laku akan ditangani secara adil dan konsisten.

EAIC menyambut baik dasar penubuhan ini kerana ia dijangka memberi impak positif terhadap pengukuhan tadbir urus dan integriti sektor awam secara keseluruhan.

Berbeza dengan EAIC yang kini hanya memantau 20 agensi penguatkuasaan, Ombudsman Malaysia akan menjadi badan tunggal yang boleh menerima dan menyelesaikan aduan berkaitan semua agensi awam tanpa sebarang pengecualian.

Dengan ini, rakyat tidak lagi keliru tentang agensi mana atau saluran aduan yang perlu dihubungi.

 

Bagaimana Ombudsman boleh memperbaiki kelemahan sistem sedia ada?
Sekarang ini kita sedang dalam proses menyediakan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia. RUU ini sebenarnya lebih baik daripada Akta 700 yang ada sekarang. Kita bukan sekadar menukar nama tetapi turut menambah baik kandungan supaya Ombudsman Malaysia ini benar-benar berkesan.

Kita juga membuat penanda aras dengan institusi Ombudsman di negara-negara lain, khususnya negara Komanwel. Dalam Akta 700 sekarang terdapat banyak pengecualian yang menyebabkan ada agensi tidak boleh disiasat. Bagi kita, perkara itu bukan langkah yang baik kerana kalau berlaku salah laku, semua pihak sepatutnya tertakluk kepada undang-undang yang sama.

Sebab itu melalui Ombudsman Malaysia nanti, kita mahu memastikan tiada pengecualian. Selagi sesebuah agensi menerima peruntukan atau kontrak daripada kerajaan, mereka tertakluk kepada pengawasan Ombudsman. Kalau ada salah laku, Ombudsman akan menyiasat.

Pada masa sama, kita juga tidak mahu Ombudsman menjadi semata-mata agensi penguatkuasaan. Peranan dia perlu seimbang antara penguatkuasaan dan pencegahan. Maksudnya kita juga mahu membudayakan integriti dan usaha antirasuah dalam masyarakat, termasuk melalui pendidikan sejak awal, sama ada di rumah, sekolah atau dalam komuniti.

 

Mengenai kes di Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), boleh Tan Sri jelaskan sedikit gambaran siasatan yang dijalankan serta isu yang dikenal pasti dalam kedua-dua agensi tersebut?

Saya melihat apa yang berlaku di JAS dan JIM ini bukan sekadar kes terpencil tetapi menunjukkan masalah integriti dan rasuah yang sudah meresap ke dalam sistem.

Siasatan yang dijalankan juga bukan hanya satu kes sahaja, sebaliknya ada beberapa siasatan lain sebelum ini yang turut menunjukkan perkara sama.

Dalam siasatan, kita nampak ada kelemahan dari segi struktur dan juga prosedur operasi standard (SOP). Maksudnya, bukan sekadar kesalahan individu semata-mata tetapi ada perkara dalam sistem yang perlu diperbaiki.

SOP itu perlu diteliti semula supaya kawalan dalaman lebih ketat dan perkara sama tidak berulang.

Contohnya dalam kes di Imigresen yang melibatkan visa perubatan, kita dapati ada kelemahan dari segi kawalan dalaman. Persoalannya bagaimana seorang pegawai boleh membawa cop keluar dari pejabat.

Perkara seperti ini sebenarnya sangat serius kerana menunjukkan ada kelemahan dalam kawalan dan pengawasan dalaman.

Selain itu, kes seperti ini juga tidak melibatkan seorang individu sahaja. Dalam beberapa keadaan, ia membabitkan kumpulan tertentu sehingga seolah-olah menjadi sindiket dalam agensi tersebut.

Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam agensi penguatkuasaan yang diberi amanah oleh kerajaan dan rakyat.

Sebab itu saya melihat isu ini sebagai masalah struktur dan juga sistem dalam organisasi. Ia perlu dibersihkan secara menyeluruh, bukan sekadar mengambil tindakan terhadap individu tertentu sahaja.

Malah, perlu ada komitmen yang kuat daripada kepimpinan tertinggi, termasuk ketua jabatan, ketua setiausaha kementerian dan juga pihak menteri untuk memastikan sistem pengawasan dan semak imbang benar-benar berfungsi.

Jika perkara seperti ini tidak ditangani dengan serius, kita bimbang ia akan menjadi budaya dalam organisasi tersebut.

Apabila integriti tidak lagi dijadikan asas dalam pentadbiran, institusi itu sendiri boleh rosak dari dalam. Akhirnya yang menerima kesannya adalah rakyat kerana kepercayaannya terhadap agensi itu terjejas.

Tan Sri berpuas hati dengan tahap integriti sekarang?

Saya tidak berpuas hati. Banyak lagi yang masih perlu diperbaiki. Bagi saya, integriti tidak boleh separuh-separuh. Ia tidak boleh sekadar 50 peratus.

Kalau kita mahu mencapai tahap yang benar-benar kukuh, ia perlu melalui satu proses dan yang paling penting ialah pembudayaan integriti itu sendiri.

Integriti ini perlu dibudayakan secara berterusan, dari peringkat kepimpinan tertinggi sehinggalah ke peringkat pegawai bawahan.

Apabila ia benar-benar menjadi budaya dalam organisasi, barulah kita boleh lihat perubahan yang lebih menyeluruh.

Kalau kita lihat apa yang berlaku di beberapa jabatan seperti imigresen atau agensi lain sebelum ini, isu yang sama masih berulang walaupun sudah banyak kali tindakan diambil.

Bukan sekali siasatan dibuat, malah ada kes yang telah disiasat berkali-kali tetapi persoalannya, mengapa perkara itu masih berlaku?

Di situ timbul persoalan tentang sistem pengawasan dan juga keberanian dalam organisasi itu sendiri. Mengapa perkara seperti ini boleh berlarutan begitu lama dan siapa yang melindungi mereka.

Selain itu, kenapa pegawai yang mengetahui perkara tersebut tidak berani menyuarakannya kepada pihak atasan dan apa pula tindakan yang diambil oleh pihak atasan apabila perkara itu diketahui.

Kalau kita lihat, ada kes yang sudah berlaku sejak puluhan tahun dahulu tetapi isu yang sama masih berulang hingga hari ini.

Ini menunjukkan ada masalah yang lebih besar, termasuk kemungkinan wujud budaya yang diwarisi dalam organisasi tersebut.

Sebab itu saya selalu tekankan untuk menghentikan perkara ini, perlu ada komitmen yang kuat daripada kepimpinan.

Selain komitmen, perlu juga ada keberanian untuk mengambil tindakan tegas. Jika ada bukti yang kukuh berlaku salah laku, tindakan seperti buang kerja perlu diambil segera melalui tindakan tatatertib tanpa perlu menunggu proses mahkamah.

Apabila tindakan tegas diambil dengan cepat dan konsisten, barulah boleh memberi mesej yang jelas perkara seperti ini tidak akan ditoleransi dalam perkhidmatan awam.

Tan Sri sebelum ini menyifatkan rasuah dan salah laku dalam agensi penguatkuasaan sebagai ‘rompakan terhadap negara’. Jelaskan kenapa dilihat begitu?

Saya menggunakan istilah itu kerana ia memberi gambaran jelas tentang impak salah laku dalam agensi penguatkuasaan.

Setiap kes salah laku bukan sekadar melibatkan pegawai atau jabatan tertentu tetapi melemahkan tadbir urus dan membuka ruang kepada ketidakadilan yang lebih besar, malah memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat.

Hari ini, kita semakin terbiasa membaca berita tentang pegawai yang ditangkap kerana rasuah atau dikenakan tindakan tatatertib.

Normalisasi berita sebegini boleh membuatkan orang awam mula melihatnya sebagai perkara biasa.

Tetapi apabila naratif itu digambarkan bahawa jabatan sendiri ‘dirompak’ oleh pegawai atasan atau bawahan, di mana semua sumber dan hasil kerja keras jabatan itu terjejas, kesannya menjadi lebih nyata dan memberi impak langsung kepada mereka yang bergantung kepada perkhidmatan awam.

Kesan rasuah juga boleh diibaratkan seperti ‘intoxication’ iaitu semakin lama dilakukan, semakin mengaburi pertimbangan, sukar dihentikan dan akhirnya memberi impak negatif kepada diri sendiri, organisasi dan masyarakat.

Ia menjejaskan kepercayaan rakyat, melemahkan sistem tadbir urus dan menunjukkan salah laku memberi kesan nyata kepada masyarakat.

Pada masa sama, saya juga ingin menolak tanggapan rasuah berlaku kerana gaji rendah, beban kerja tinggi atau kekurangan kakitangan.

Walaupun cabaran operasi seperti ini wujud, ia tidak seharusnya dijadikan alasan kepada perlakuan rasuah.

Terma perkhidmatan, termasuk soal gaji dan elaun, telah dimaklumkan dan dipersetujui oleh setiap pegawai ketika menyertai perkhidmatan awam.

Ini bukan soal gaji tetapi lebih kepada gaya hidup. Zaman sekarang ramai nak hidup mewah, nak tunjuk di media sosial tetapi kita kena fikir juga apa kesannya.

Bercakap mengenai isu tatatertib dan integriti, adakah EAIC turut terlibat dalam siasatan membabitkan Tan Sri Azam Baki dan juga dakwaan ‘mafia korporat’?

Dalam Akta 700, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berada di bawah bidang kuasa EAIC.

Jadi siasatan yang melibatkan individu yang disebutkan tidak dijalankan oleh EAIC tetapi melibatkan pihak Peguam Negara bersama pasukannya.

Bagi isu yang berkaitan dengan dakwaan ‘mafia korporat’, setakat yang saya difahamkan perkara itu sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

EAIC sendiri tidak terlibat dalam siasatan tersebut kerana terdapat had dari segi peruntukan akta. Walaupun pada peringkat awal ada permintaan supaya perkara itu dilihat oleh EAIC tetapi disebabkan limitasi dalam akta, kita tidak menjalankan siasatan.

Jadi biarlah pihak polis meneruskan siasatan dan kita tunggu sahaja hasilnya nanti.

 

Harapan Tan Sri terhadap masa hadapan sistem pengawasan di Malaysia?

Saya harap soal integriti ini tidak hanya dilihat sebagai satu keperluan untuk mematuhi peraturan semata-mata.

Kita mahu ia menjadi satu budaya yang benar-benar dihayati, ada dalam diri setiap pegawai kerajaan.

Apabila Ombudsman Malaysia nanti ditubuhkan, pengawasannya juga bukan hanya melibatkan penjawat awam tetapi termasuk syarikat konsesi yang berurusan dengan kerajaan.

Dengan cara itu, pembudayaan integriti boleh berlaku di kedua-dua pihak, sama ada pemberi perkhidmatan atau penerima perkhidmatan.

Pada masa sama, ketegasan ketua jabatan juga penting kerana tanpa kepimpinan yang tegas, sukar untuk kita membendung rasuah dan salah guna kuasa.

Dari segi undang-undang sebenarnya kita tidak ada masalah tetapi cabarannya ialah bagaimana ia dilaksanakan dengan berkesan.

Kita juga perlu ingat bahawa jika terlalu banyak kuasa tertumpu kepada satu pihak tanpa pemantauan, kecenderungan untuk berlakunya rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan meningkat.

Sebab itu sistem pengawasan yang kuat amat penting supaya tiada siapa yang berada di atas undang-undang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN