PTD terajui Pusat Sains Negara dan Planetarium, adakah mereka pakar? - Utusan Malaysia

PTD terajui Pusat Sains Negara dan Planetarium, adakah mereka pakar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Astronomi bukan sekadar bidang kajian tentang bintang dan planet, tetapi mempunyai nilai yang sangat besar dalam menarik minat masyarakat terhadap sains. Tokoh astrofizik, TAN SRI DR. MAZLAN OTHMAN berkata, astronomi berperanan sebagai “batu lonjakan” untuk menggalakkan penglibatan dalam bidang Pendidikan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus melahirkan generasi yang lebih peka dan berminat terhadap sains angkasa lepas.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan dibantu jurufoto, SYAKIR RADIN, bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia itu tidak menolak bidang teknologi sains angkasa lepas di negara ini semakin ketinggalan disebabkan beberapa kelemahan dalam pengurusan dan kepimpinan termasuk amalan melantik pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) untuk menerajui agensi berkaitan, berbanding pakar sebenar sekali gus menjejaskan usaha membangunkan teknologi satelit secara berterusan.

Beliau turut menyentuh mengenai kesinambungan program angkasawan negara selepas hampir 20 tahun yang memerlukan penelitian lebih mendalam, khususnya daripada segi penetapan objektif yang jelas, pembangunan teknologi baharu, penyelidikan saintifik dan pemindahan ilmu agar pelaksanaannya memberi impak sebenar kepada negara, bukan sekadar mengulangi kejayaan lalu.

NILAI ASTRONOMI
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Tan Sri beri sedikit mukadimah tentang nilai dalam bidang astronomi dan sains angkasa lepas?
Nilai astronomi bukan hanya dalam bidang itu sendiri. Nilai astronomi adalah bila kita lihat ia cantik, menarik, cerita tentang alien (makhluk asing) dan macam-macam, menarik perhatian kanak-kanak, orang tua, kalangan agamawan, berbanding kimia atau biologi, yang kurang menarik bagi saya.

Jadi, astronomi ini boleh dijadikan batu lonjakan untuk seseorang itu berminat dalam sains. Contoh bagi yang gemar melihat langit, pasti terdetik pertanyaan kenapa langit itu cantik? Kenapa gambar astronomi itu cantik? Kenapa bintang nampak kebiruan, kemerahan? dan kenapa planet Marikh itu merah?

Jadi, persoalan ini kita boleh jawab dengan sains, itulah nilainya yang sangat tinggi pada astronomi yang boleh merangsang minat seseorang itu.

Asasnya adalah STEM, cuma jumlah pelajar yang memilih STEM menunjukkan penurunan, jadi bagaimana hendak menarik minat kepada bidang ini?
Sebelum kita hendak bagi pelajar ini belajar STEM, mesti ada sebab untuk dia hendak suka STEM. Saya kata antaranya adalah dengan menggunakan astronomi. Kita perkenalkan dengan teleskop misalnya, atau kalau hendak jadi angkasawan, ada aspek sainsnya dan jika berminat dengan satelit, ada aspek kejuruteraan.

Jadi, apa yang saya hendak kata berkenaan sains angkasa termasuk astronomi, kita boleh memberitahu seseorang itu bahawa nilai sains itu tinggi. Jadi, kita gunakan astronomi sebagai mukadimah kepada sesuatu yang menarik. Maksudnya mampu menarik perhatian murid atau pelajar, perlu ada pull factor itu.

Malangnya di sekolah, there is no pull factor (faktor penarik). Satu yang saya tahu, kebanyakan sekolah sudah berkurang makmal sains. Sebab, tiada kemampuan untuk menguruskan dan tiada masa. Dalam kurikulum banyak sangat subjek lain sebab makmal sains itu makan masa hingga dua jam.

Kita tidak boleh beri kejutan kepada murid. Ini sains, prosesnya mereka kena menemui sesuatu, tidak boleh belajar daripada hati sahaja. Sains tidak boleh. Fizik pun susah hendak belajar dengan hati. Kelebihan astronomi ini ia adalah bidang pelajaran yang menarik.

LONJAK BIDANG ASTRONOMI
Ada pakar astrofizik mengatakan bidang astronomi termasuk pendidikan kita ketinggalan 100 tahun kebelakang, pandangan Tan Sri?
Sebenarnya kita tidak tertinggal 100 tahun ke belakang kerana kita ada observatori, contoh Observatori Negara Langkawi (ONL), observatori di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Tapi tentu sajalah mereka tidak sehebat observatori di pegunungan di Chile, dan masalah dengan kita di Malaysia, kita banyak awan, dan iklim lembab, jadi peluang untuk kita dapat langit yang betul-betul jelas memang susah sebab atmosfera kita adalah tropikal.

Baiklah, jika anda ingin mengatakan bahawa tidak ramai ahli astrofizik profesional dilahirkan, tiada negara yang memerlukan beribu atau beratus-ratus ahli astrofizik.

Semasa saya masih muda, sekitar 50 tahun lalu, ketika saya hendak membuat PHD, memilih subjek tertentu dan ketika saya memilih astrofizik, hanya ada sekitar 2,000 ahli astrofizik di seluruh dunia waktu itu.

Jadi, bermaksud, setiap negara tidak memerlukan ramai ahli astrofizik, yang diperlukan di negara ini adalah lebih ramai guru astronomi dan jurutera teknologi angkasa.

Indonesia mempunyai beberapa ahli astrofizik, tetapi mereka banyak teleskop dan observatori, begitu juga Thailand dan Vietnam sudah mengalahkan kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dari segi jumlah ahli astronomi dan teknologi.

Sekitar 2004, Singapura ketika itu sangat risau tentang Malaysia. Mereka kata bahawa Malaysia semakin maju dalam teknologi angkasa. Masa itu kita tengah hendak buat satelit RazakSat yang

kedua. Jadi, mereka putuskan untuk memasuki teknologi satelit dan lihat sekarang, mereka kini berada di hadapan kita. Kita semakin merudum, kerana tidak ada siapa yang mahu tampil menjuarainya.

PENDEDAHAN BERMULA DENGAN GURU
Apa langkah terbaik untuk tingkat minat pelajar kepada bidang astronomi?
Guru-guru di sekolah tidak diberi pendedahan tentang keindahan dan keterujaan bidang astronomi. Mereka pun banyak tahu menerusi pembacaan buku sahaja. Maka kita perlu meningkatkan atau naik taraf cara mengajar astronomi ini kepada guru-guru ini terlebih dahulu.

Saya boleh beri tunjuk ajar, banyak cara pemerhatian hanya dengan berpandukan matahari, hendak cari arah kiblat, waktu solat dan sebagainya. Hendak menentukan anak bulan, kenapa terjadinya anak bulan, kenapa kalau melihat bulan seperti satu muka sahaja, adakah bulan tidak bergerak?

Saya pun boleh tunjukkan kepada cikgu-cikgu ini, tapi mereka kena pandailah.

Ada yang kata perlukan makmal dan pelbagai peralatan untuk belajar astronomi, walhal dalam astronomi ini, mata anda adalah peralatan terbaik. Beribu-ribu tahun pakar astronomi buat teori, tulis buku, mana ada guna teleskop waktu itu, tapi mereka menulis buku astronomi yang paling indah, menggunakan mata mereka.

AMALAN LANTIK PTD
Apakah antara faktor menyebabkan teknologi satelit dan bidang sains angkasa lepas kita dilihat ketinggalan?
Sekarang ini adakah kita dengar mana-mana individu atau pihak yang menjuarai atau memperjuangkan usaha meningkatkan teknologi angkasa lepas? Atau ada mana-mana orang atau pakar yang boleh bercakap tentang ini dalam kerajaan sama ada dari agensi angkasa lepas? Tidak ada. Ini kerana kebanyakannya yang naik pangkat atau menerajui agensi ini adalah kalangan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Mereka (kerajaan) tidak membawa pakar yang sebenar yang layak. Sebagai contoh Pusat Sains Negara, sudah agak lama dikepalai PTD, hingga sekarang. Jika anda PTD semestinya anda tidak berminat.

Begitu juga dengan Planetarium Negara, sudah lama diterajui PTD, orang kerajaan. Dan sekarang baru mereka lantik salah seorang kakitangan lama saya. Jadi, mungkin ada harapan untuk Planetarium.

Tapi pemimpin yang berada di atas itu, mungkin kita perlu menekankan bahawa untuk terus maju dan menguasai teknologi dan bidang angkasa lepas, sememangnya negara kita memerlukan seorang yang mampu menjuarainya.

Jadi anda kena tanya kerajaan, macam mana hendak lahirkan seorang yang berdedikasi untuk bidang ini? Sudah tentu ketika zaman saya, sayalah yang menjuarainya dan peruntukan dan dana juga bukan satu masalah ketika itu.

Ada pihak beranggapan, kalau mudah dapat duit, beli sahajalah satelit, tidak perlu bina sendiri teknologinya dan kata sahajalah itu milik Agensi Angkasa Negara Malaysia (Angkasa). Tapi kalau kita lakukan begitu, ia jadi tidak bermakna, macam membeli televisyen. Sepatutnya kita bina sendiri televisyen itu bukan membeli dan kemudian boleh menyediakan perkhidmatan termasuk kepada negara ASEAN sekitar.

Sebab itu, dana yang diberikan kepada Angkasa, digunakan sebaiknya dan saya tidak akan berkompromi dalam soal perkongsian dan pertukaran teknologi, kerana itu penting.

Sekarang ini kita lihat banyak kerjasama awam dan swasta namun yang memiliki teknologinya adalah pihak swasta. Rancangan kami adalah selepas bekerjasama membangun antara dua hingga tiga satelit, selepas itu kita mampu membangunkan sendiri satelit berikutnya kerana ia adalah mustahak untuk kita memiliki teknologi dan kepakaran sepenuhnya.

Perancangan saya dahulu, menjelang 2020 kita sudah dapat membangunkan satelit sendiri.

Kita ambil contoh satelit Measat, yang mana umpama kita beli telefon bimbit atau televisyen sahaja, yang menguasainya pihak lain. Kita tidak boleh ada model perniagaan sebegitu, sebaliknya mesti ada perpindahan teknologi.

Kita sudah ada asas sebenarnya untuk ini, tapi apa yang berlaku? yang berlaku adalah, kita berhenti membina satelit.

Jadi, apabila anda berhenti membangun satelit atau berhenti melabur dalam membangun satelit, maka tidak ada wang untuk menggunakan orang yang telah anda latih sebelumnya. Mereka pergi ke industri lain. Sebab itu, mesti mempunyai rancangan jangka panjang yang strategik.

KESUNGGUHAN POLITIK
Tan Sri, adakah kekerapan perubahan kerajaan menjadi faktor pembangunan dalam bidang ini semakin perlahan?

Kerajaan pada suatu tahap memainkan peranan dalamnya kerana pandangan politik yang berbeza mempunyai idea dan visi yang berbeza tentang apa yang mereka ingin fokuskan yang mana kita sebutnya sebagai kesungguhan politik.

Maka, di sini pentingnya tugas agensi angkasa lepas. Itulah sebabnya kami menetapkan tugas agensi angkasa lepas adalah untuk memastikan bahawa kerajaan menyedari nilai program angkasa lepas, untuk sebab strategik dan sebagainya. Itulah maksud saya bahawa kita mesti mempunyai seorang yang menjuarainya.

Bagi pemimpin, mereka lebih suka letak duit di tempat lain kerana tiada siapa yang memberitahu mereka mengapa ia (teknologi dan bidang angkasa lepas ) begitu penting agar kita mempunyai kewajipan, kita mesti mempunyai teknologi sebegini. Sebagai contoh kejayaan dalam melaksanakan program angkasawan pertama negara.

KERJASAMA DENGAN CHINA
Pandangan Tan Sri, jika kerajaan benar-benar berniat mengadakan program angkasawan kedua, negara mana yang dilihat sesuai untuk Malaysia jalinkan kerjasama?
Yang jelas ketika ini adalah China, kalau saya masih lagi mengetuai agensi angkasa negara, pastinya saya akan rundingkan untuk kita pergi ke Stesen Angkasa Lepas Tiangong milik China.

Saya difahamkan, ada laporan dibaca sebelum ini bahawa China telah memilih seorang rakyat Pakistan untuk bersama pergi ke stesen angkasa lepas mereka. Rasa agak sedih kerana kita mempunyai hubungan baik dengan China. Saya juga mempunyai ramai rakan dalam bidang ini di China, tapi mungkin itu bukan rezeki kita.

Sementara Rusia kini tidak lagi menawarkan tempat kepada mana-mana negara lain. Kalau ada kekosongan pun hanya dijual kepada Amerika Syarikat. Yang ambil pelawat angkasa lepas ketika ini hanya Elon Musk sahaja menerusi SpaceX.

Bagaimana untuk meletakkan Malaysia kembali di landasan dalam kemajuan teknologi satelit dan angkasa lepas?
Pemimpin negara perlu mempunyai visi dan melihat keadaan dunia hari ini. Kita ambil contoh dalam situasi perang antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, bagaimana penggunaan dron dan bagaimana serangan menggunakan roket dan misil balistik.

Ini adalah teknologi angkasa lepas. Tidak ada negara yang dapat menang perang tanpa teknologi ini. Iran tidak mempunyai satelit, tetapi mereka mungkin mendapat teknologi itu menerusi China dan Rusia, ambil contoh sistem satelit navigasi BeiDou China yang lebih canggih, lebih tepat berbanding sistem pengesanan global (GPS) Amerika Syarikat. Teknologi dron, satelit, roket dan misil balistik, semuanya berkaitan angkasa lepas.

Maka, di sini pentingnya pembangunan untuk teknologi satelit dan angkasa lepas. Jika ahli politik memberi lebih perhatian perkara ini mereka pasti menyedari begitu besar kepentingan teknologi angkasa lepas ini.

KE MANA PROGRAM ANGKASAWAN KEDUA?
Hampir 20 tahun kita dibuai dengan kejayaan program angkasawan pertama. Namun sehingga kini masih belum ada kepastian untuk program angkasawan kedua, pandangan Tan Sri?
Untuk melaksana atau merealisasikan angkasawan kedua, yang pertama dan paling penting adalah menetapkan apa objektifnya (untuk program angkasawan kedua) dan selepas menetapkan objektifnya baru fikir siapa calon paling sesuai.

Sama ada calon itu perempuan atau lelaki, mahu pun Melayu atau Cina, ia ditentukan kemudian. Pokoknya kita mesti jelas tentang objektif program itu terlebih dahulu.

Jadi, kamu sebagai media, jika ada pihak yang kata, ohh kita akan menjalankan program angkasawan seterusnya, jadi kamu harus bertanya – apa tujuan untuk menghantar angkasawan seterusnya ke angkasa lepas?

Kalau mereka jawab – kita harus menghantar seseorang untuk menciptakan kesedaran, maka kamu harus beritahu mereka bahawa Dr. Sheikh Muszaphar telah melakukannya. Apakah langkah seterusnya?

Bagi saya, langkah seterusnya adalah kita mempunyai teknologi baharu. Kita mempunyai sains yang lebih maju, kita ingin tunjukkan, tidak hanya semata-mata pergi ke angkasa lepas.

Ya, tentu saja Dr. Sheikh Muszaphar sudah melaksanakan beberapa eksperimen sains di angkasa lepas dan meningkatkan kesedaran. Tetapi selepas itu, takkanlah asyik hendak tingkatkan kesedaran lagi.

Seperti para angkasawan negara lain, mereka pergi kerana mereka mempunyai sesuatu yang mereka perlu lakukan, yang orang lain tidak ada. Jadi sebagai contoh untuk mengembangkan teknologi atau idea baharu. Itu objektifnya.

Asas untuk memilih angkasawan seterusnya adalah pertama sekali, kita buat pertandingan apa yang kita mahu lakukan, apa teknologi dan sains yang anda mahu tunjukkan? Buat pertandingan itu dulu. Jika ada sesuatu yang berbaloi dan ada pihak yang mahu membuat pelaburan, baguslah. Soal calon itu perkara kedua.

KECEWA DENGAN SHEIKH MUSZAPHAR
Adakah Tan Sri berpuas hati dengan hasil dan impak program angkasawan pertama negara sehingga kini?
Sejujurnya, saya agak kecewa dengan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kerana hingga hari ini tidak nampak jelas apa yang disumbangkan beliau kepada rakyat, bangsa dan negara.

Saya ingat kami sudah memilihnya atas keberaniannya, tapi selepas pulang dan hingga kini beliau jelasnya hanya berminat untuk menjadi kaya, pergi seminar ke sana sini atas pelbagai jemputan. Itu yang saya agak marah sedikit kerana kita menggunakan wang cukai rakyat (untuk menjayakan program angkasawan) dan semua atas usaha kerajaan.

Sepatutnya, dia ingat sentiasa perkara itu, tapi dia cepat lupa benda itu dan tetap berkata, kerajaan tidak melakukan apa-apa untuknya sebagai angkasawan pertama negara. Jadi, kerajaan mesti melakukan sesuatu untuk dirinya.

Sheikh Muszaphar sepatutnya membantu meningkatkan pemahaman masyarakat tentang bidang sains angkasa lepas, berterusan mencambah minat pelajar berkaitan bidang ini.
Beliau juga perlu ingat bahawa beliau bukan pilihan pertama ketika itu, yang mana pilihan pertama ialah Faiz Kamaluddin. Cuma nasib tidak menyebelahi calon pilihan itu apabila dia dijangkiti tonsil, menyebabkan dia tidak layak dan rezeki berpihak kepada Sheikh Muzaffar. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN