Daim bukan ‘maha kaya segera’ - Utusan Malaysia

Daim bukan ‘maha kaya segera’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM nada penuh ketabahan, TOH PUAN NA’IMAH ABDUL KHALID, 68, terus mempertahankan maruah lelaki yang dicintainya, meskipun Allahyarham Tun Daim Zainuddin sudah tiada sejak setahun lalu. Bekas Menteri Kewangan itu menghembuskan nafas terakhir pada 13 November 2024 pada usia 86 tahun.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan INTAN SUHANA CHE OMAR, Na’imah membuka sisi peribadi yang jarang diketahui tentang disiplin kental Daim, perjuangannya dari anak kampung di Kedah hingga ke pentas dunia dan sumbangannya membela ekonomi Melayu.

Segala fitnah dan ujian yang datang, katanya, tidak akan memadamkan kebenaran dan keluarga akan terus mempertahan legasi insan yang mereka sayangi sepenuh jiwa.
Wawancara ini turut disertai jurufoto, M. FIRDAUS M. JOHARI dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS Md. IDERIS.

MINGGUAN MALAYSIA: Sebagai orang yang paling dekat dengan Allahyarham, boleh ceritakan secara ringkas sifatnya yang paling diingati, sama ada sebagai individu yang dikenali mahupun dalam konteks keluarga?
Na’imah: Daim amat berdisiplin, seperti banyak tokoh sezamannya. Namun, satu nilai yang benar-benar melekat pada dirinya, beliau tidak pernah lupa akan asal usulnya.

Ramai orang mengatakan pegangan inilah yang terserlah ketika menjadi Menteri Kewangan dulu, di mana ekonomi orang Melayu di luar bandar dan usahawan kecil Melayu sentiasa dibela.

Sebagai seorang ayah, perkara yang selalu ditekankan kepada anak-anak adalah mengutamakan nilai, bukan kemewahan. Seperti ibu bapa lain, saya dan Daim sentiasa mengingatkan anak-anak supaya menunaikan solat apabila tiba waktunya. Ini kerana banyak amalan seperti solat, puasa dan zakat berkait rapat dengan disiplin, yang memang menjadi sebahagian besar keperibadian Daim.

Mungkin boleh ceritakan sedikit bagaimana Daim dari seorang anak kampung di Kedah menjadi tokoh korporat yang terkemuka?
Daim berasal dari Kedah, anak bongsu daripada 13 beradik. Ayahnya, penjawat awam yang kemudian menjadi ejen hartanah kecil selepas pencen dan Daim sering membantu dalam urusan ayahnya menguruskan tanah.

Dari situ semangat cintakan tanah air, melihat tanah milik Melayu yang diidamkan bangsa lain untuk dijadikan keuntungan. Ketika hendak melanjutkan pelajaran ke London, ibu Daim bahkan terpaksa menjual sebidang tanah untuk mendapatkan wang yuran pengajian.

Sebelum menaiki kapal di Pulau Pinang untuk ke United Kingdom (UK), Daim membeli banyak buku subjek undang-undang. Setiap kali kapal berlabuh, dia akan turun ke darat untuk melihat negeri orang. Setibanya di London, Daim sudah banyak membaca buku sepanjang perjalanan, dan dalam masa enam bulan beliau sudah lulus peperiksaan guaman pertamanya.

Orang memanggilnya ‘Speedy Gonzales’. Semua ini berlaku ketika usianya baru 21 tahun. Kemudian beliau memperluas pengalamannya dengan merantau ke Eropah.

Setibanya di tanah air, Daim nekad menetap di Kuala Lumpur, bukan tinggal di kampung. Bagi beliau, masa depan orang Melayu perlu dibina di bandar raya besar, bukan hanya jadi jaguh kampung. Namun mencari pekerjaan di firma guaman bukan mudah ketika itu. Akhirnya dia diterima bekerja dengan firma Allen & Gledhill milik orang ‘mat salleh’.

Di situ Daim menunjukkan bakatnya, dipercayai menguruskan banyak kes besar termasuk melibatkan Ketua Menteri Sarawak pertama, Stephen Kalong Ningkan. Pada usia 20-an, beliau sudah diberikan amanah menasihati Kabinet ketika berlaku krisis di Sarawak, dan di situlah Tun Razak mula mengenali Daim.

Beberapa tahun kemudian, Daim membuka firma guaman sendiri, Daim & Gamany. Ini pun risiko besar kerana firma kecil itu dimiliki orang Melayu dan India yang harus bersaing dengan firma-firma asing lebih besar.

Tetapi Daim tidak suka duduk diam. Beliau mahu menceburi dunia perniagaan, kerana masa depan dan kepakarannya memang ada di situ. Dari situlah bermulanya pelbagai cabaran, termasuk beberapa kegagalan, sehingga akhirnya beliau mencapai kejayaan dalam bidang perbankan antarabangsa di pentas dunia.

Bagi Daim, di mana ada masalah, di situlah ada peluang, di Afrika, di Vietnam, dan sebagainya. Kisah hidupnya panjang jika hendak diceritakan sepenuhnya.

Apa sumbangan terbesar Allahyarham kepada negara?
Sudah tentu kepakaran beliau dalam menstabilkan ekonomi negara pada saat-saat genting. Siapa tidak kenang peranan Daim ketika krisis mata wang 1997-1998, ataupun sewaktu kemerosotan ekonomi pada 1980-an.

Malah pada 2018, beliau sekali lagi ‘dipinjam’ oleh negara untuk memacu Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), dan telah mengemukakan saranan reformasi yang bukan sekadar retorik.

Tetapi, sumbangan terbesar beliau sebenarnya adalah usaha mengembangkan dan mengukuhkan rangka asas ekonomi Melayu, agar rakyat kita dapat berdiri atas kaki sendiri dan tidak selamanya bergantung.

Bagaimana menjawab tuduhan kejayaan Daim adalah hasil penglibatan dalam kerajaan, khususnya ketika pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Walaupun kami tidak menafikan Daim seorang hartawan, perlu diingat pada 1984 ketika Dr. Mahathir meminta beliau menyertai kerajaan sebagai Menteri Kewangan, Daim sudahpun berjaya, boleh dikatakan ‘maha kaya’ pada zaman itu.

Beliau ketika itu antara satu-satunya tokoh korporat dan perniagaan bumiputera yang menceburi bidang yang dianggap bukan tradisi Melayu. Beliau juga antara pemaju Melayu awal di Kuala Lumpur, termasuk membangunkan Taman Maluri.

Ketika Kabinet pada 1986 mengarahkan semua menteri melupuskan kepentingan perniagaan, pegangan saham Daim mendapat tumpuan kerana beliau sudah kaya. Nilai pegangan saham di UMBC dan pelaburan beliau dianggarkan sekitar RM750 juta, jumlah yang sangat besar pada masa itu.

Ada yang kata Daim tidak memisahkan tugas politik dengan kepentingan perniagaan sewaktu menjadi menteri kewangan dan bendahari UMNO. Malah beberapa tokoh perniagaan Melayu dianggap sebagai kroni beliau. Komen?
Kalau hendak sebutkan tentang ‘kroni Daim’, memang tak terkira bilangan mereka. Mungkin beribu. Semua usahawan Melayu yang dibantu Daim sudah tentulah dikatakan ‘kroni Daim’.

Ia sebahagian daripada usaha mewujudkan rantaian kelas kapitalis Melayu yang akan bertanggungjawab untuk membantu usahawan Melayu dan bumiputera lain. Daim tidak bimbang tuduhan ini kerana beliau tidak langsung memerlukan apa-apa balasan daripada kapitalis Melayu yang diwujudkannya.

Bagaimana Toh Puan dan keluarga berdepan dengan laporan negatif di sebalik tuduhan di mahkamah dan ucapan-ucapan yang menyerangnya?
Ini bukan kali pertama Daim berdepan dengan cacian. Cuma kali ini, ia datang daripada mereka yang berada di tampuk kuasa. Saya tidak terlalu bimbang kerana kuasa itu sifatnya sementara, tetapi sudah tentu perkara ini tidak boleh diambil ringan.

Tuduhan-tuduhan di samping dakwaan di mahkamah ke atas Daim, bukankah itu mencalar imej beliau?
Sebenarnya, jika ada satu perkara yang belum tercapai oleh Daim dalam hidupnya, iaitu menepis semua tohmahan terhadapnya di mahkamah, termasuk dakwaan kononnya beliau memperoleh keuntungan secara haram. Tuduhan-tuduhan itu tidak pernah dibuktikan dengan bukti kukuh. Setelah riuh kononnya mengenai wang curi dan sebagainya, sehingga kini mana buktinya?

Jadi, label ‘maha kaya’ terhadapnya, bagi Toh Puan, adalah fitnah?
Memang Daim ‘maha kaya’, itu fakta yang tidak perlu dinafikan. Tetapi beliau bukan ‘maha kaya segera’ seperti yang sering kita dengar sekarang, hasil menggunakan hubungan di puncak kuasa. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN