MUKADIMAH
SEBUT sahaja Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), masyarakat hanya nampak berkaitan halal. Sedangkan, ia meliputi semua bahagian di agensi ini dalam konteks penyampaian perkhidmatan Islam.
Dalam usaha memperbetulkan persepsi itu, DATUK DR. SIRAJUDDIN SUHAIMEE yang mengemudi jabatan itu kira-kira lapan bulan lalu mahu membawa semangat bahawa Jakim untuk ummah dan segala program yang direncana memberi manfaat kepada semua khususnya orang Islam dalam apa jua bidang atau perkhidmatan.
Mengambil kira pengalaman berada dalam perkhidmatan hal ehwal Islam lebih 30 tahun termasuk pernah menjadi Setiausaha Pertama (Halal) Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia, beliau menyuarakan aspirasi, menjawab kekeliruan masyarakat terutama hal berkaitan halal, isu ajaran sesat, selain isu sensitif melibatkan penceramah yang diistilahkan ‘penunggang agama’ dan peranan Jakim menangani penyebaran LGBT di negara ini.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurugambar, M. FIRDAUS M. JOHARI, beliau turut berkongsi perancangan Jakim dalam menyebarkan dakwah bersifat kreatif kontemporari
DASAR HALAL PERTAMA DUNIA
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah perubahan yang dilakukan selama 10 bulan menjawat jawatan Ketua Pengarah Jakim?
SIRAJUDDIN: Banyak perkara dan program dirancang untuk ditambah baik khususnya berkaitan produk Jakim. Contohnya, pemerkasaan guru takmir. Kita pastikan apa yang diajar itu mengikut silibus ditetapkan.
Setakat ini, perubahan ketara yang sedang dibuat adalah dalam bidang halal. Baru-baru ini kita adakan mesyuarat berkaitan dengan Dasar Halal Negara yang sedang dibangunkan. Sebelum ini tiada dasar halal, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia. Ini bermakna, kalau semuanya siap hujung tahun ini, polisi halal pertama akan mula diperkenalkan pada suku pertama tahun hadapan.
Di Malaysia, orang tidak nampak kepentingan halal tetapi ‘mencari’ apabila berada di luar negara. Dasar ini akan dibentangkan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan akan dipersembahkan ke Majlis Raja-Raja.
Apakah Intipati utama dasar ini?
Dasar ini akan melihat pelbagai aspek dari pembangunan industri sehinggalah penjenamaan halal ke peringkat global. Antara perkara yang ditekankan peranan Jakim dalam konteks industri seperti di kampung. Di kampung, wujud pelbagai industri kecil dan kita melihat kepentingan pendekatan yang lebih inklusif.
Sebelum ini, golongan ini sering dianggap tidak layak untuk terlibat dalam agenda pembangunan kerana terdapat syarat memerlukan memperoleh lesen tertentu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Contohnya, dalam konteks industri di kawasan seperti Klang, perlu mendapat lesen di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebagai industri yang mengeluarkan produk. Namun, bagi industri kecil di kampung, keperluan ini sering menjadi halangan. Maka, pendekatan kita adalah melihat semula keperluan ini, agar mereka juga dapat diiktiraf sebagai sebahagian daripada ekosistem industri negara.
Sebelum ini, ada seorang mak cik menjual bahulu di Pahang. Kita bantu makcik berkenaan yang tiada lesen PBT. Melalui kerjasama dengan RISDA, mereka mengeluarkan surat sokongan (surat perlakuan), dan pihak kami membantu makcik tersebut memohon pensijilan halal secara dalam talian.
Kami turut turun padang menjalankan audit. Apabila pasukan audit Jakim tiba, makcik itu menangis terharu kerana sebelum ini dia memohon kepada pihak negeri tetapi dianggap tidak layak.
Tetapi Jakim datang dan memberikan peluang. Kini bahulu itu dieksport ke China.
PERSEPSI SUKAR DAPAT SIJIL HALAL
Ada yang kata susah untuk dapatkan sijil halal, adakah benar?
Kami terima banyak maklumat daripada pelbagai pihak, tetapi kebanyakannya hanya berdasarkan andaian atau ‘cakap-cakap orang’. Contohnya, ada pengusaha yang enggan memohon sijil halal kerana dipengaruhi rakan-rakan yang berkata, “Tak payah susah-susah mohon sijil halal, buat pening kepala. Duit banyak pun tak berkat kalau susah sangat.”
Inilah stigma yang masih wujud dalam kalangan masyarakat dan industri. Apabila melibatkan urusan dengan negeri, ada pihak yang beranggapan prosesnya terlalu rumit, sedangkan dalam banyak kes, masalah sebenar hanya bermula apabila terdapat syarat tambahan yang dikenakan oleh sesetengah negeri.
Sebenarnya, apa yang kami laksanakan adalah berpandukan kepada keperluan asas dan Prosedur Manual Pensijilan Halal Malaysia sahaja, bukan berdasarkan kehendak negeri-negeri tertentu.
Kami hanya ‘menumpang’ sistem di negeri itu untuk memulakan proses. Terdapat tiga isu utama yang sering dikaitkan dengan permohonan sijil halal iaitu susah hendak dapat, bayaran mahal dan proses lambat.
Ramai anggap permohonan halal sukar kerana tidak faham keperluan asas. Contohnya, ada yang masih memproses makanan dari dapur rumah tanpa ruang khusus, sedangkan proses halal memerlukan tempat pengeluaran yang tidak bercampur dengan aktiviti harian seperti memasak lauk keluarga.
Hakikatnya, jika mereka faham dan patuh pada garis panduan seperti dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, prosesnya lebih mudah. Sementara itu, isu bayaran mahal pula timbul apabila pengusaha menggunakan ejen atau konsultan, dan bukan buat permohonan sendiri. Ada kes, kami panggil pemilik syarikat untuk semakan.
Bila ditanya, dia serahkan semua urusan halal kepada ejen. Bila disemak, dia bayar ejen RM1,500 sebulan, kononnya dari permohonan hingga tamat tempoh sijil dua tahun.
Padahal, yuran rasmi kepada Jakim hanyalah RM100 untuk tempoh dua tahun (untuk industri mikro), dan sekitar RM1,000 untuk syarikat multinasional. Kos lain biasanya datang daripada kerja pengubahsuaian premis, bukan daripada permohonan itu.
Kadangkala bukan sistem yang lambat, tetapi pengusaha sendiri lambat beri maklum balas atau dokumen sokongan. Sekarang kita guna sistem dalam talian yang lebih pantas. Bila permohonan dihantar, dokumen sokongan perlu diserahkan dalam tempoh 14 hari. Jika gagal, permohonan akan ditolak secara automatik. Sasaran kita sekarang adalah untuk selesaikan permohonan dalam 23 hingga 30 hari.
Adakah ada keperluan untuk gerai-gerai tepi jalan memohon sijil halal?
Ya, memang ada keperluan. Saya tidak nafikan perkara ini. Jika kita lihat sebelum ini, Putrajaya sendiri pernah berhasrat untuk menjadi bandar halal, yang mana semua restoran, kedai dan kiosk di situ perlu mematuhi piawaian halal.
Namun, usaha tersebut tidak berjaya sepenuhnya, mungkin disebabkan beberapa kekangan seperti cabaran mendapatkan pensijilan atau agensi pembimbing yang tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan.
Sebenarnya, jika dirujuk kepada pembekal produk, ramai yang sudah pun memenuhi kriteria halal. Contohnya, seperti ETS yang memperkenalkan gerabak halal pertama di dunia. Makanan yang disediakan datang daripada central kitchen yang disahkan halal, daripada bahan mentah, minuman, hingga ke pembungkusan makanan siap makan, semuanya mematuhi standard halal. Ini memudahkan proses pensijilan.
RESTORAN MELAYU, ISLAM TAPI TIADA SIJIL HALAL
Bagaimana dengan persepsi masyarakat terhadap isu halal, terutama apabila kedai Melayu sendiri kadangkala tiada sijil halal?
Ada segelintir orang Islam sendiri tidak menganggap perkara ini penting. Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan makanan yang kita jual dan sajikan halal. Saya banyak buat pemerhatian.
Contohnya, kedai mamak, kita tengok siapa pembekal ayam mereka. Kalau kedai mamak itu ada sijil halal, tak apa kita lebih yakin. Tetapi kalau restoran yang tiada sijil halal walaupun restoran itu Melayu, Islam, pembekal ayam Itu dia ambil dari mana? Kalau dia ambil dari rumah sembelih yang berdaftar dan ada sijil halal, kita tidak risau. Tapi restoran orang Melayu sendiri? Kadang-kadang kita tidak tahu dan tidak selidik.
Adakah pemeriksaan dilakukan terhadap pembekal?
Ya, saya sendiri pernah tengok. Pagi-pagi, pembekal ayam datang ke kedai. Adakah pasti mereka ambil dari rumah sembelih halal? Tak semestinya. Kita pun ada isu rumah sembelih yang tiada lesen.
Kita pernah bincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka tahu dekat Kampung Cheras Baru ada 10 rumah sembelih ayam yang tiada lesen. Bila DBKL pergi, terus tutup sembilan daripadanya.
Sebab itu lebih yakin kalau pergi beli ayam di pasar raya yang bungkus dalam plastik. Kalau yang dijual secara tidak berbungkus, kita tak ada rujukan dari mana ayam itu datang. Tapi kalau dalam plastik ada nama syarikat pembekal walaupun nama syarikat itu Ah Cheong, tapi kalau ada sijil halal, memang penyembelih dia orang Islam dan proses itu dipercayai.
Adakah pihak Jakim terlibat dalam pembangunan rumah sembelih halal?
Ya, kami pernah usulkan satu projek rumah sembelih berpusat dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan dana RM10 juta.
Tapi pembekal ayam menentang, sebab mahu kendalikan sendiri atas alasan lebih tahu bagaimana rumah sembelih yang mereka perlukan. Tapi tak boleh laksana, sedangkan kita sudah berusaha untuk melaksanakan pelbagai program tapi tidak dapat sokongan pihak industri sendiri.
SALAH GUNA LOGO HALAL
Bagaimana penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan logo halal?
Jakim ada pasukan pemantauan dan penguatkuasaan. Pasukan pemantau biasanya akan pergi memantau bagaimana pelaksanaan halal.
Penguatkuasaan ini pula berdasarkan aduan daripada pihak pemantauan ini yang memerlukan tindakan penguatkuasaan dengan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pegawai-pegawai Jakim dilantik sebagai penolong pegawai penguat kuasa Perihal Dagangan oleh KPDN yang boleh mengambil tindakan berdasarkan Akta Perihal Dagangan berkaitan penandaan halal.
Ada banyak kes kedai atau produk yang mengaku halal tapi tiada sijil?
Ya, memang banyak. Tapi akhir-akhir ini kita lihat kesedaran dalam kalangan industri semakin meningkat. Dulu mereka guna logo halal tanpa sijil, sekarang mereka mula tahu itu satu kesalahan besar. Kami buat pemantauan berkala, terutama di rumah sembelih bersijil halal sekurang-kurangnya sebulan sekali.
PEMANTAUAN HALAL LUAR NEGARA DAN ISU DAGING IMPORT
Bagaimana pemantauan Jakim terhadap pensijilan halal luar negara?
Jakim ada senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf. Sebelum kita iktiraf, kita buat audit. Audit ini termasuk lawatan ke rumah sembelih yang mereka berikan sijil halal. Kita akan tengok sama ada proses itu mengikut manual prosedur pensijilan halal Malaysia.
Apa diperhatikan ketika audit itu?
Banyak perkara yang perlu dipatuhi. Contohnya, di rumah sembelihan, bukan sahaja di Malaysia atau luar negara kena ada halal checker. Contoh ayam, kita pastikan ayam itu hidup sebelum digantung.
Jangan sampai ayam yang mati digantung dan disembelih. Itu tidak sah. Jadi halal checker juga akan memeriksa ayam selepas disembelih menepati syarak. Dia akan pastikan urat-urat penting terputus dan ayam betul-betul halal sebelum diproses.
Jika proses sembelihan di luar negara, adakah wujud perbezaan?
Ya, sangat berbeza. Di Malaysia, seekor lembu mungkin ambil masa 30 minit. Tapi di luar negara, proses boleh selesai dalam masa tiga ke lima minit kerana jumlah haiwan banyak, ribu-ribu ekor sehari. Ini tanggungjawab badan pensijilan halal yang kita iktiraf itu. Mereka juga kita buat pengauditan dari semasa ke semasa terutama ketika memperbaharui pensijilan.
Baru-baru ini ada dakwaan kambing mati lemas dalam takungan darah sebelum disembelih di sebuah rumah sembelihan di Australia. Apa sebenarnya berlaku?
Itu isu dalaman antara badan pensijilan sendiri. Kita dapat maklumat selepas kajian dibuat, ada pihak mengupah orang lain mengambil gambar untuk buat pelaporan kononnya rumah sembelih itu tidak ikut proses halal yang mana kambing mati lemas dalam darah sebelum sempat disembelih.
Tapi siasatan kami dapati itu hanya berlaku beberapa saat kerana pekerja di situ tidak bersihkan tempat pengaliran darah dengan betul.
Adakah ia berkaitan persaingan antara badan pensijilan?
Ya, ada kemungkinan juga kerana sama macam industri lain, badan pensijilan halal pun ada persaingan untuk jatuhkan reputasi pihak lain termasuk dalam kalangan rumah sembelihan. Ini berdasarkan maklumat dan pengalaman saya sendiri di Australia selama enam tahun.
Bagaimanapun, kita mengambil serius isu ini dan mengarahkan laporan berkaitan. Jakim tidak terus percaya. Kita audit semula, hantar pasukan pergi sendiri tengok rumah sembelih itu dan perkara yang didakwa itu tidak berlaku pun. Proses pengaliran darah keluar berlaku ikut sepatutnya.
ISU DAGING SEJUK BEKU DAN KAWALAN DI PINTU MASUK NEGARA
Bagaimana dengan daging sejuk beku yang diimport? Pernah berlaku isu label ditukar sebelum sampai ke pasaran Malaysia.
Pengawasan di pintu masuk negara bukan di bawah Jakim. Ia di bawah kawalan MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) dan Kastam.
Mereka yang bertanggungjawab memastikan produk yang dibawa masuk itu adalah sah daripada badan pensijilan yang diberi kelulusan dari pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Semak label, dokumen, dan sahkan dari badan pensijilan halal yang diiktiraf.
Jakim tiada kuasa di pintu masuk?
Betul, kita di Jakim juga tak boleh buat serbuan ke stor atau kontena sebab itu bidang kuasa KPDN dan pihak berkuasa lain. Kita hanya pastikan daging atau ayam yang digunakan oleh pemohon sijil halal adalah daripada sumber yang diluluskan. Kalau ada restoran atau premis mohon sijil halal, kita akan semak sumber bahan mentah mereka. Kalau guna daging import, kita akan pastikan ia dari sumber yang sah.
AJARAN SESAT DAN PEMANTAUAN
Bagaimana Jakim memantau fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti Syiah atau Wahabi?
Kalau satu fahaman itu sudah jelas daripada segi pandangan hukum dan fatwa negeri sama ada syiah atau sebagainya, termasuk ajaran sesat yang masih berleluasa difatwa sebagai bercanggah atau sesat. Itu tanggungjawab Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri (JAIN) untuk pantau dan ambil tindakan.
Antaranya kita dapati ada usaha untuk mengaktifkan semula ajaran Ayah Pin. Ini usaha diperkemaskan oleh Jakim dan JAIN supaya tidak terus merebak dan diamalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka ada kalanya bergerak aktif tanpa kita sedari.
Kalau fahaman lain memang ada sesetengah itu kita baru keluarkan pandangan hukum yang akan diwartakan oleh Majlis Raja-Raja. Sebab fatwa terdahulu menyebabkan kita tidak boleh ambil tindakan.
Kalau satu ajaran itu difatwakan bukan Islam, maka kita tiada kuasa tangkap. Jadi, kita ubah jadikan ia sesat dan bercanggah akidah dan ASWJ, ini kita boleh tangkap bila diamalkan oleh mana-mana pihak kerana unsur menyeleweng dan menyebar ajaran itu.
PEMANTAUAN PENCERAMAH, PEMPENGARUH MEDIA SOSIAL
Sekarang ini timbul isu penceramah yang ‘menunggang agama’. Bagaimana pemantauan terhadap golongan ini?
Kita mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat Islam untuk menyalurkan maklumat sekiranya didapati ada salah laku atau salah tatakelola dalam kalangan penceramah. Jadi, bila ada maklumat, sila salurkan kepada kami supaya boleh ambil tindakan sewajarnya.
Jangan hanya salahkan jabatan agama atau kata Jakim ‘tidur’, Jakim ‘tak ada mata’. Kita tak ada di semua tempat, maka masyarakat Islam ada tanggungjawab melaporkan jika nampak sesuatu yang tidak kena.
Kalau kita tidak mampu bertindak, kita salurkan kepada pihak berkuasa. Kalau tak boleh juga, maka berdoa lah supaya diberi petunjuk. Itu memang tanggungjawab semua orang Islam.
Bagaimana pula dengan isu promosi LGBT oleh pempengaruh media sosial yang terlalu terbuka?
Ya, ini isu memang kita ambil perhatian. Jakim ada satu bahagian khas yang buat pemantauan terhadap kandungan di media sosial, terutamanya terhadap mereka yang ada dalam senarai sudah kenal pasti termasuk bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC ) yang memang ada unit khas untuk pantau hal ini.
Dulu kita pernah tempatkan pegawai Jakim di MCMC. Jadi, bila mereka kesan kandungan mencurigakan, pegawai Jakim akan beri pandangan sama ada kandungan itu bercanggah dengan pegangan ASWJ ataupun dengan ajaran Islam. Ini adalah program berterusan yang memang dijalankan. Cuma kita tidak uar-uarkan semua kepada umum. – Mingguan Malaysia










