Tidak perlu politik jenis ‘aku benci kau’ - Utusan Malaysia

Tidak perlu politik jenis ‘aku benci kau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KALAU rezeki secupak, tidak akan menjadi segantang dan itulah takdir untuk Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, kerana tidak dapat mempertahankan kedudukannya selepas ditewaskan oleh pelakon dan pengarah filem, DATUK AFDLIN SHAUKI AKSAN untuk jawatan Ketua Cabang Setiawangsa PKR dalam pemilihan kedudukan itu, pada bulan lalu.

Bagi Afdlin yang dikenali dengan gelaran ‘Chief Kodok’, rezeki tidak akan ke mana. Pun begitu, beliau sedar masih baharu dalam dunia politik dan banyak perlu dipelajari untuk mendepani segala cabaran. Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN, juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI dan jurugambar, SADDAM YUSOF, beliau juga mahu melihat anak perdana menteri, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa langkah seterusnya selepas menang jawatan Ketua Cabang Setiawangsa PKR?
AFDLIN SHAUKI: Selepas mengetahui keputusan pilihan raya, saya terdiam seketika kerana terkejut. Saya tertanya, “betulkah ini?” Bukan sebab saya tidak yakin, tetapi ini satu tugasan besar kerana saya bertanding menewaskan menteri (Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad).

Namun, kami teruskan kerja seperti biasa. Kemenangan ini bukan tentang saya semata-mata tetapi seluruh pasukan saya. Apabila ada yang meremehkan pilihan rakyat atau usaha kami, saya rasa tidak wajar. Kami juga tidak kata semua yang sebelum ini buruk (khidmat bekas penyandang).

Cuma, kami bawa alternatif dan penambahbaikan. Rakyat Setiawangsa nampaknya menerima perubahan ini, walaupun saya menang tipis, hanya lebih 68 undi berbanding Nik Nazmi.

Sebelum ini dalam pemilihan parti, saya juga pernah kalah kepada beliau dengan hanya 100 undi. Apabila saya pula menang dengan margin kecil, ini bukan sesuatu luar biasa. Ia menunjukkan mungkin ada segelintir yang berubah pandangan kerana mahu perubahan.

Datuk sudah lalui ‘sepak terajang’ dunia seni dan hiburan dan kini beralih ke bidang politik. Sudah bersedia hadapi ‘sepak terajang’ baharu?
Saya tidak terlalu terkejut. Cuma, sepak terajang dalam politik kadang-kadang lebih keras daripada industri seni. Dalam dunia seni, kami juga jadi sasaran. Apabila berlaku perceraian, orang bercakap. Walhal, orang lain pun bercerai juga, menteri pun ada isu peribadi. Tetapi apabila artis, masyarakat heboh sebab itu memang kerja kami – sentiasa di mata umum.

Sebagai artis, kami kena terima hakikat ditonton orang ramai. Kami perlu jaga imej dan akhlak yang baik. Namun, ahli politik pun perlu tunjukkan teladan baik. Kadang-kadang apabila kita lihat perilaku dalam Parlimen, kita rasa malu. Adakah ini contoh yang kita mahu tunjuk?

Saya dibesarkan oleh ibu yang tidak suka saya bercakap kasar atau mengutuk orang. Kalau kita tidak suka seseorang, bincang cara baik. Marah itu normal, saya pun marah kadang-kadang. Tetapi cara menyelesaikan masalah bukan dengan mengaibkan atau menjatuhkan orang. Setiap orang ada maruah dan kekuatan tersendiri, walaupun mereka adalah orang yang kita tidak suka dan berbeza pandangan.

Apa perubahan Datuk bawa untuk PKR?
Saya datang ke sini bukan untuk ubah semua hal secara drastik. We are not here to reinvent the wheel (kami bukan mahu cipta semula roda). Tetapi, menjaga dan menyantuni rakyat lebih-lebih lagi yang rasa sebelum ini tidak diberi perhatian. Meskipun tidak mungkin boleh bantu semua orang, saya cuba dengar masalah sebanyak mungkin. Setiap masalah dikongsi kepada kami, kami sampaikan kepada pihak berkenaan. Kalau mereka perlukan keperluan asas, saya akan cari jalan dan orang dalam kerajaan yang boleh bantu selesaikan masalah begini.

Penyandang sebelum ini tidak bawa perubahan?
Saya tidak mahu bercakap buruk tentang sesiapa termasuk Nik Nazmi. Kami diberi peringatan tegas oleh pucuk pimpinan parti, bertanding sebagai rakan dan saudara. Bukan kerana membenci sesiapa. Saya sendiri bertanding menentang menteri dan saya akui, beliau banyak berjasa. Kalahnya Nik Nazmi kepada saya tidak bermaksud beliau tidak bagus.

Apabila seseorang pegang terlalu banyak jawatan, mungkin akan ada satu tanggungjawab terabai. Bukan kerana tidak mahu, tetapi kerana masa dan tenaga terhad. Kita pun manusia, kadang-kadang tidak sempat beza mana satu tugas lebih penting. Sekarang beliau diberi tanggungjawab menjaga negara. Ini amanah besar. Bukan semua orang boleh jadi menteri.

Tugas kami di peringkat cabang pula untuk membantu. Kami sokong beliau dengan menjaga kawasan (cabang), supaya apabila beliau perlu sokongan jentera, kami sedia bantu. Beliau tidak perlu risau hal-hal kecil. Bukan sebab beliau tidak peduli, tetapi kerana beliau tidak cukup masa dan kekurangan masa ini bukan kelemahan.

Masalah dalam masyarakat kita diajar, untuk seseorang menang, orang lain mesti kalah. Tetapi ini satu kesilapan. Kita semua sebenarnya boleh menang, cuma dalam bentuk dan bahagian berbeza.

Di mata saya, Nik Nazmi tidak kalah. Beliau seorang menteri dan ahli Parlimen dan tanggungjawabnya besar. Saya yakin beliau pun sering tidak tidur malam memikirkan masalah rakyat dan negara.

Saya hanya Ketua Cabang, peranan saya kecil. Tetapi mahu bantu jaga kawasan dan rakyat yang perlukan perhatian. Saya juga terbuka bekerjasama dengan pasukan beliau yang bertanding dan kalah. Kita semua dalam PKR, mari kita bekerjasama, bukan bermusuhan.

Kita tidak perlu politik jenis “aku benci kau” atau membuka aib orang hanya kerana mahu menang. Tidak perlu ungkit cerita lama atau burukkan orang dengan kata-kata seperti “boleh percayakah orang ini?” atau kaitkan dengan kisah lama yang media sensasikan.

Datuk cakap peranan sebagai ketua cabang kecil. Bukankah ia asas kepada pembangunan kepemimpinan sehingga ke jawatan yang lebih besar?
Inilah beza PKR dengan parti politik lain. Walaupun anda hanya ahli biasa, anda masih berpeluang bertanding jawatan tertinggi, termasuk Presiden semasa pemilihan parti. Kalau parti lain, biasanya kena ikut hierarki. Tunggu sampai sampai ‘ranking’ tertentu.

Sebagai ketua cabang, tugas utama saya menjaga cabang, bukan menentukan siapa jadi ahli Parlimen. Ramai ingat ketua cabang boleh pilih calon, tetapi sebenarnya keputusan akhir pimpinan tertinggi tentukan khususnya Presiden. Kami hanya boleh mencadang, tetapi keputusan muktamad tetap di tangannya.

Ramai ahli parti bermula dari bawah, ada meniaga, ada kerja biasa sebelum masuk politik, sebab mereka nampak ruang untuk buat perubahan. Saya pun begitu. Saya ‘pelawak profesional’, pengarah filem profesional dan juga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM). Tetapi, saya tetap boleh sertai PKR. Apa pun latar belakang, sama ada pengarah, mekanik, tukang sapu atau pemandu lori, jika anda ada niat berkhidmat, PKR terbuka.

Ada berhubung dengan Nik Nazmi selepas menang? Ada ucapan tahniah?
Tiada. Saya tiada masalah berjumpa. Saya berharap kami berdua boleh bekerjasama. Memandangkan beliau ialah Ahli Parlimen Setiawangsa dan menteri, kami tetap akan bertembung pada bila-bila masa dan di mana jua.

KPI
Ada petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh beberapa hari atau bulan pertama selepas menang pemilihan?
Saya percaya kempen bertemu rakyat sangat penting. Kita perlu bertemu dengan seramai mungkin ahli mendengar masalah mereka. Politik bukan hanya membuat janji, tetapi mendengar dan mencari penyelesaian. Sebagai ahli politik, kami ialah pusat khidmat rakyat. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik untuk parti dan rakyat. Walaupun saya masuk sebagai ketua cabang untuk membantu, saya juga sedar keputusan ada di tangan ‘bos’.

PELAWAK PROFESIONAL
Datuk rasa terhina digelar ‘pelawak profesional’ oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli?
Tidak sama sekali. Tetapi, apabila seseorang menggunakan istilah ‘pelawak profesional’ sebagai sindiran, ia menunjukkan ada anggapan merendahkan. Disebut ‘pelawak profesional’, orang ketawa kerana masih ada stigma terhadap individu dari industri hiburan masuk politik.

Perkara ini sama juga berlaku kepada artis lain seperti Altimet. Kami sering dipandang rendah hanya kerana latar belakang dari dunia hiburan. Walhal, sejak dahulu lagi, ahli politik memerlukan artis untuk tarik perhatian rakyat. Tetapi, apabila sampai bab kuasa, mereka tidak mahu beri mungkin sebab takut kami lebih menonjol.

Sebab saya sudah lama dalam industri hiburan dan nampak banyak perkara perlu diperbaiki yang mendorong saya masuk politik. Kami sudah cuba berjuang dari luar, berjumpa menteri demi menteri, tetapi hasilnya tidak memuaskan. Tiada sistem kukuh untuk bantu penggiat seni dapat pendapatan stabil. Tiada perlindungan atau struktur bantu mereka jadi lebih profesional dan dihargai.

MUAK SIKAP AHLI POLITIK
Ada beberapa ahli politik lama, malah ahli Parlimen dan Kabinet tewas dalam pemilihan. Apakah itu menunjukkan akar umbi tolak mereka kerana muak dengan sikap ahli politik yang tidak berpendirian dan sering menjanjikan sesuatu yang manis?
Saya tidak boleh bercakap bagi pihak semua yang mengundi. Akar umbi menilai berdasarkan kerja. Mereka tanya, “Dia buat kerjakah tidak?”

Kalau rasa tidak nampak hasil, mereka akan beri peluang kepada orang lain pula. Mungkin mereka tidak pasti saya mampu atau tidak, tetapi, apabila tidak yakin, mereka pilih untuk tukar. Ini bukan bermaksud benci, tetapi satu bentuk ekspresi rasa tidak puas hati, jadi, mereka mahu cuba orang baharu.

Saya tidak kata semua kerja saya sempurna. Tetapi, saya akur dengan pilihan rakyat. Jika saya tidak buat kerja dan mereka tidak rasa saya membantu, mereka ada hak untuk tidak sokong saya.

Namun, saya mohon, beri saya peluang buat kerja dan bantu saya untuk bantu anda.

‘GAM’ ARTIS BERPOLITIK
Jika amalan kerajaan terdahulu senarai hitam artis berpolitik, apakah politik Malaysia sekarang lebih terbuka menerima penglibatan pemain industri seni dan hiburan dalam arena politik seperti di Indonesia?
Saya tidak pasti sama ada Malaysia sudah capai tahap seperti di Indonesia menyaksikan artis berpolitik diterima secara meluas. Kita kena belajar terima perbezaan. Kita boleh tidak setuju dengan seseorang, tetapi jangan sekat rezeki atau tutup peluangnya hanya kerana pandangan politik berbeza. Politik sepatutnya tidak mengganggu seni dan seni tidak patut dipergunakan untuk politik semata-mata.

Kerajaan PN sekat karya Afdlin?
Dahulu, saya aktif dalam industri filem dan pernah menang pelbagai anugerah. Tetapi, selepas menyertai politik, khususnya selepas Langkah Sheraton, semua kerjasama saya dengan kerajaan (Perikatan Nasional) ketika itu dihentikan. Saya terus disekat, seolah-olah kerana saya sertai parti tertentu dan tidak layak lagi berkarya.

Saya percaya, seni adalah untuk rakyat. Ia ‘makanan minda’ membantu rakyat berfikir tentang isu mungkin tidak disebut secara terbuka. Apabila seseorang artis disekat hanya kerana pandangan politiknya, ini menunjukkan pemikiran masyarakat masih sempit.

Dahulu, ada juga isu artis dituduh sokong parti tertentu. ‘Artis PH (Pakatan Harapan)’, ‘artis PN’ (Perikatan Nasional)” dan sebagainya. Tetapi, kena faham, artis adalah produk. Kadang-kadang mereka pakai baju parti tertentu kerana dibayar untuk kempen, bukan kerana sokong parti itu sepenuhnya. Ini cuma kerja, bukan pendirian politik. Bukan semua artis berpolitik atau fanatik.

Tetapi yang berpolitik selalunya dipandang negatif oleh netizen kita yang sangat ekstrem. Tidak ada ‘tengah-tengah’. Kalau suka, suka habis. Kalau benci, benci habis. Hanya kerana seseorang pakai baju parti lain, terus dibenci.

TIMBALAN PRESIDEN PKR
Datuk sokong siapa menjadi Timbalan Presiden PKR? Adakah Datuk pasukan Nurul Izzah Anwar atau Mohd. Rafizi?
Saya lebih cenderung lihat Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara dahulu, Nurul Izzah masih muda tetapi terpaksa memikul tanggungjawab besar.

Beliau membesar dalam keadaan mencabar dan terpaksa cepat matang. Kekuatan dalaman dan ketabahannya luar biasa.

Saya akui, mungkin Nurul Izzah tidak sehebat Mohd. Rafizi dari segi strategi atau kepintaran politik. Tetapi, saya mementingkan rasa. Maksudnya, adakah seseorang dapat memahami perasaan rakyat di bawah – segala perit, susah dan gembira? Bolehkah beliau rasa denyut nadi rakyat?

Nurul Izzah lebih kuat dalam aspek itu, iaitu empati dan kepekaan terhadap rakyat. Walaupun Rafizi sangat bijak dan tulang belakang penting dalam PKR, saya percaya Nurul Izzah ada nilai berbeza yang sangat penting dalam kepimpinan parti.

Begitu juga dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, seorang pemimpin yang konsisten. Walaupun pernah tidak pegang jawatan, beliau tetap setia dan terus beri komitmen kepada parti.

Siapa pun antara Nurul Izzah dan Mohd. Rafizi, saya hormat kedua-duanya kerana masing-masing ada perjuangan dan sumbangan tersendiri.

Pendapat Datuk tentang parti politik anak-beranak?
Contoh mudah begini, sebagai pelakon dan pengarah, saya pernah arahkan satu filem dan pilih anak saya sendiri untuk berlakon. Waktu itu, orang mula cakap, “Afdlin kroni, sebab panggil anak sendiri.” Tetapi saya mahu tanya, kalau anak saya memang berbakat dan mampu berdiri atas kaki sendiri, salahkah saya beri peluang?

Sama juga dengan Nurul Izzah. Beliau bukan seseorang menumpang nama semata-mata. Apabila ayahnya dipenjara, beliau bangkit bantu ibunya dan memperjuang keadilan. Dari situ lahir kekuatan diri yang luar biasa.

Saya bukan kata dia sempurna. Nurul Izzah dan Rafizi, dua-dua ada kelebihan dan kekurangan. Orang akan tetap bercakap. Tetapi yang penting, saya percaya kedua-duanya penting untuk PKR.

Cuma, sekarang, saya mahu lihat pula apa yang Nurul Izzah boleh lakukan jika diberi peluang menjadi timbalan presiden. Kalau bagus, kita teruskan. Kalau tidak bagus, kita tukar. Jadi, isu “parti anak-beranak”? Saya tidak nampak ini satu masalah.

Kementerian yang disukai
Jika Datuk antara Jemaah Menteri dalam kerajaan, apakah kementerian Datuk mahu terajui?
Jika saya terajui kementerian dan menjadi menteri suatu hari nanti, saya ingin memimpin sama ada Kementerian Komunikasi atau Pelancongan. Kekuatan saya adalah menggabungkan dua parti mencipta sinergi perniagaan atau situasi menang-menang.

Jika cuma ada dua pilihan, politik atau seni dan hiburan. Pilih mana satu?
Kemungkinan besar saya akan berehat dalam dunia seni. Untuk hal ini, ia berkaitan dengan pengurusan dan bagaimana cara saya menguruskan diri. Sebelum ini, saya buat filem dan kerja seni untuk mencari rezeki dan untuk membahagiakan orang. Saya sangat gembira apabila melihat orang ketawa atau menangis menonton filem saya. Membahagiakan orang dan membantu membuka minda mereka adalah perkara saya suka dalam industri seni.

Saya masih boleh buat filem, tetapi saya rasa lebih suka memberi sumbangan dalam politik. Saya juga ada projek filem mengenai politik yang mahu saya buat, yang menggambarkan situasi politik Malaysia. Cerita ini tentang empat rakan yang tiba-tiba menyertai empat parti politik berbeza dan ia menggambarkan dinamik politik Malaysia.

‘KASIHAN PADA PENYOKONG MANCHESTER UNITED’
Ada yang cakap, Datuk sudah tidak lagi muat naik tentang Liverpool di media sosial. Sudah hilang minat dengan Liverpool?
Semua benda dalam rumah saya ada kaitan dengan Liverpool. Tetapi, saya tidak muat naik sebab saya kasihan pada peminat Manchester United (ketawa). Kalau saya cakap, mereka macam orang yang sudah jatuh, kita pula yang tambah lagi. Jadi, lebih baik saya senyap dan menang secara rendah diri sahaja.

Ada juga cakap Datuk suka kutuk kelab bola sepak lain?
Sebenarnya, saya tidak kutuk. Saya ada rancangan dinamakan “Kami Geng Bola”. Dalam rancangan ini, saya, Hilmi Ashley (peminat Manchester City) dan Nizam Jentik-Jentik (peminat Manchester United) setiap minggu bincang bola sepak.

Konsep rancangan ini kami saling roasting atau kutuk-mengutuk. Kalau pasukan seseorang kalah, dia kena masuk ‘gua’ dan kami kutuk dia. Walaupun kami kutuk-kutuk, kami tetap ada perikemanusiaan. Kalau pasukan Arsenal kalah 15 mata, kami tetap tidak sampai hati kutuk teruk sangat. Kami tetap senyum dan jaga perasaan kawan-kawan.

Datuk tetap berhati kering apabila orang kecam Datuk. Tidak begitu?
Saya okay sahaja, kena ada hati yang kering. Saya sudah pilih untuk hidup sebagai seorang figura awam. Muka saya selalu ada di media. Apa yang saya cakap pun akan diputar belit dan jika seseorang tidak suka, mereka akan cuba tanam kebencian kepada orang lain. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×