Niat saya hanya mahu tingkatkan industri pelancongan, ekonomi

Niat saya hanya mahu tingkatkan industri pelancongan, ekonomi negara

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
NAMA Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), DATUK SERI TIONG KING SING banyak kali menjadi sebutan, malah beliau tidak terlepas daripada dikecam ekoran beberapa kenyataan yang dibuatnya.

Beliau yang kerap menggunakan perkataan ‘kongkalikong’ nampak tenang menjawab isu kontroversi berkaitan papan tanda pelbagai bahasa dan pelancaran sambutan Tahun Baru Cina yang ‘panas’ dan menjadi bualan ramai.

Ketika menjawab soalan daripada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, ahli Parlimen Bintulu dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu terbuka mendedahkan niat baik disebalik cadangan dan tindakannya hanya semata-mata untuk membantu meningkatkan industri pelancongan dan memulihkan ekonomi negara.

Malah dalam wawancara yang turut disertai jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR dan juruvideo KAMARUL KAMARUDIN, beliau berharap rakyat Malaysia lebih terbuka dan berpandangan ke hadapan supaya negara ini lebih dikenali seluruh dunia.

SEKTOR PELANCONGAN BERTAMBAH BAIK
Kita cuba sedaya upaya tambah baik kelemahan yang ada untuk meningkatkan jumlah pelancong daripada luar negara.

Jumlah pelancong dan pelawat antara Januari hingga November tahun ini ialah lebih 34 juta orang. Dari jumlah itu, sebanyak 22.5 juta adalah pelancong dan 11.7 juta orang pelawat.

Kita sudah berbincang dengan sekretariat ASEAN berhubung pelancong yang masuk ke negara tetapi tidak menginap walaupun mereka berbelanja seperti makan dan membeli-belah di sini.

Mereka juga setuju bahawa golongan ini juga perlu dikira dalam kategori pelancong. Perkara sama berlaku di Bahrain.

Bagi memastikan Malaysia terus kekal bersaing dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand dalam menarik penerbangan antarabangsa ke negara ini, Tourism Malaysia telah berkolaborasi dengan syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa melalui pemberian insentif Geran Stimulus Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC). Usaha ini berjaya meningkatkan kesalinghubungan udara ke Malaysia melalui penerbangan sewa khas, peningkatan frekuensi penerbangan dan pertambahan laluan baharu.

Selain itu, kemudahan yang dilaksanakan kerajaan seperti Pelan Liberalisasi Visa oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula 1 Disember 2023 juga terbukti berkesan dan merupakan game changer (perubahan) dalam meningkatkan ketibaan pelancong khususnya daripada pasaran China dan India.

Secara perbandingan, tempoh Disember 2022 hingga November 2023 dan Disember 2023 hingga November 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 132.7 peratus daripada pasaran China dan 71.7 peratus daripada India.

10 PASARAN UTAMA NEGARA
Bagi tempoh Januari sehingga November 2024, jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia adalah seramai 22.4 juta orang, iaitu peningkatan sebanyak 26.1 peratus. 10 pasaran utama yang menyumbang bilangan pelancong antarabangsa adalah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Korea Selatan, Taiwan, Filipina dan Australia. Kerana itu, saya tegaskan kita perlu bekerjasama.

Kita minta China bantu mempromosi Malaysia. Bukan Malaysia sahaja lakukan perkara ini tetapi negara-negara Arab juga secara agresif meminta bantuan China berkempen untuk industri pelancongan mereka. Semua tahu China adalah sebuah negara yang ‘kuat’ berbelanja. Bila mereka banyak berbelanja, negara kita juga yang untung, ekonomi pun boleh berkembang. Inilah ‘kawan’ kita di sebelah sana, yang ramai tidak faham.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Kedah minta bantuan kita untuk promosi Tahun Melawat Kedah 2025 tetapi jika mereka terus dengan gaya begini, rasis sebegini, siapa mahu datang? Sebelum ini, keluar di TikTok berkaitan minta orang China jangan datang ke Malaysia kerana kita negara yang rasis.

Jika begitu, siapa lagi mahu datang? Kita sepatutnya menyambut mereka dengan tangan terbuka. Kita patut ucap selamat datang. Saya buat ini bukan kerana saya berbangsa Cina tetapi sedar negara itu mempunyai pasaran yang besar kerana penduduknya juga besar, kira-kira satu bilion lebih orang.

Apabila mereka datang ke sini (Malaysia), pastinya akan berbelanja di pusat membeli-belah dan sebagainya. Tempoh hari, saya lihat bagaimana warga Singapura berbelanja di pasar malam di Johor. Ramai rakyat mereka datang ke sana walaupun hanya untuk beberapa jam sahaja tetapi mereka pulang dengan barangan daripada sini. Mereka berbelanja di pusat membeli-belah di Johor.

Peniaga pun gembira kerana mereka boleh jana pendapatan. Mereka selalunya menggunakan tiga atau empat kali kad kredit dalam beberapa jam itu bagi seorang pengunjung. Yang untung siapa? Kita (Malaysia) juga. Jadi, tidak adil jika tidak kira mereka sebagai pelancong hanya kerana tidak bermalam di negara ini.

Inilah yang kita harapkan. Apa yang penting, kita mahu tingkatkan ekonomi negara. Ambil satu lagi contoh, jika pelancong turun di lapangan terbang London (Lapangan Terbang Heathrow) pastinya mereka akan berbelanja. Inilah yang kita mahu lihat.

Janganlah semua perkara dikaitkan dengan politik. Jika berterusan begini, kita tidak akan berjaya termasuklah sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun hadapan.

Cukuplah, semua orang akan takut jika kita berterusan bersikap begini, terus mainkan isu agama. Orang Arab pun tidak suka, mereka kata negara kita tidak terbuka.

PULIH PASCA COVID-19
Kita sudah pulih sepenuhnya bahkan lebih daripada jangkaan. Prestasi pelancongan asing kini hanya kurang 6.8 peratus daripada paras prapandemik pada 2019. Industri pelancongan menyumbang 15.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 berbanding 13.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Ini bermakna perkembangan ekonomi kita sudah baik melibatkan semua sektor pelancongan negara. Isu perkauman yang dimainkan ketika ini boleh merencatkan perkembangan ekonomi itu.

TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
Kita akan bantu yang mana boleh tetapi peranan besar perlu dilakukan oleh negeri. Setiap negeri perlu menaik taraf industri pelancongan mereka. Kita masih berbincang dengan Kementerian Ekonomi untuk memperoleh peruntukan bagi menaik taraf infrastruktur di setiap negeri.

Sidang Kemuncak ASEAN akan menjadi platform untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026. Ketika ini kita akan memberikan yang terbaik sama ada dari segi makanan, layanan mesra, infrastruktur dan sebagainya supaya mereka dapat hebohkan kecantikan dan keunikan Malaysia di negara mereka.

Kita ambil contoh Thailand, kenapa ramai suka ke sana? Kerana orang mereka ramah dan mesra. Mereka cipta makanan jalanan di lorong-lorong yang sudah diubah suai, pusat membeli-belah juga menarik. Kita pula ada Petaling Street tetapi sayang ia ‘mati’ pada waktu malam. Jadi ini kita perlu tambah baik supaya pelancong mempunyai aktiviti pada waktu malam.

PASTI CAPAI SASARAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
Antara langkah yang diambil oleh MOTAC dan agensi di bawahnya ialah bekerjasama dengan pelbagai media arus perdana tempatan dan antarabangsa. Kerjasama ini melibatkan platform televisyen, radio, xiaohongshu (platform media sosial), media cetak selain daripada media-media seperti TikTok, Instagram dan Facebook.

Kita juga menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa, agensi dalam talian (OTA), rangkaian hotel antarabangsa dan platform pembayaran yang mempunyai pangkalan data pelanggan bagi membolehkan promosi serta tawaran pakej pelancongan domestik dan antarabangsa dapat dilaksanakan secara berfokus.

Selain itu, merangka dan melaksana program promosi secara penukaran pantas yang dapat menarik perhatian pelancong untuk terus memilih percutian ke Malaysia dengan pakej dan insentif bersama rakan agensi pelancongan di negara pasaran terutama daripada negara-negara ASEAN.

TINGKAT PENGALAMAN PELANCONG
Yang penting, kita perlu pastikan pelancong merasa aman dan harmoni di negara ini. Sikap mesra rakyat perlu ditunjukkan kepada pelancong.

PELANCONG CINA CAKAP BURUK TENTANG MALAYSIA
Ia masih dalam siasatan kami. Kami juga mahu tahu mengapa terjadi sedemikian. Saya sedang buat ‘kerja rumah’ untuk mencari jawapan mengapa kejadian seperti ini berlaku sebelum memberi sebarang komen. Dalam masa sama, saya juga sudah meminta bantuan China mendapatkan maklum balas daripada agensi pelancongan.

Kerana itu, saya minta rakyat faham, jangan menghina mana-mana pihak kerana ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan. Pelancong banyak pilihan, jika tidak ke Malaysia, mereka boleh pergi Indonesia, Thailand, Jepun, Korea atau mana-mana negara di ASEAN dan Asia.
Kerajaan, kementerian sudah bekerja begitu keras untuk membangunkan industri pelancongan. Bahkan pertukaran mata wang kita juga sudah jatuh semula kerana orang luar melihat kita tidak bersatu.

KEKAL PERTAHAN PELBAGAI BAHASA DI PAPAN TANDA
Apa salahnya kita promosikan pelbagai bahasa. Tindakan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) seharusnya mengambil langkah diplomasi untuk menyelesaikan isu berkenaan supaya hubungan dengan pihak kementerian tetap terjalin dengan baik.

Saya kata, kita perlu mempromosikan bahasa yang pelbagai, ada dua bahasa. Apa salahnya? Tetapi kita tengok, DBKL terlalu kasar dan ia memberi gambaran yang sangat teruk. Bangsa lain akan terkejut dan ia akan menjejaskan sektor pelancongan negara.

Kenapa tidak boleh hantar notis 14 atau 21 hari terlebih dahulu? Kenapa tidak melalui pegawai kita untuk adakan libat urus? Saya rasa kalau kita ada libat urus secara dalaman, pastinya banyak perkara boleh diselesaikan dengan mudah.

TANGANI PERSEPSI
Cuma segelintir rakyat yang berfikiran begitu (sering kaitkan dirinya dengan China). Mereka mungkin sengaja wujudkan salah faham atau memang tidak mahu faham apa-apa. Mereka seolah-olah mahu mencari isu politik dan agama. Seolah membayangkan kita ini ekstremisme.

Apa yang saya buat untuk menambah baik industri pelancongan. Saya tidak mahu dikaitkan dengan politik atau isu agama, saya hanya mahu fokus perniagaan dan ekonomi negara. Itu sahaja.

Saya tegaskan supaya biar mempunyai pelbagai bahasa. Negara Arab juga sudah menggunakan papan tanda pelbagai bahasa. Di Korea juga ada papan tanda dalam bahasa Melayu. Papan tanda pelbagai bahasa ini bertujuan memudahkan pelancong.

Jadi, kita perlu buka minda dan hati menerima pembaharuan tetapi isu sekarang mendapat bantahan.

Malaysia ini seperti ketinggalan. Kenapa kita tidak boleh belajar daripada kejayaan negara-negara luar? Sekarang ini banyak pelancong Cina Muslim daripada China ke Dubai dan Arab Saudi.

SAMBUTAN TAHUN BARU CINA DI MALAYSIA
Seperti saya kata tujuan utama untuk minta China bantu mempromosi industri pelancongan dan meningkatkan ekonomi Malaysia. Lagipun pada acara itu, mereka akan bawa peralatan sendiri dari China untuk persembahan.

Bahkan, semasa pelancaran itu mereka juga akan bawa media tempatan daripada China, mereka akan buat siaran langsung ke negara mereka untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi percutian sempena Tahun Baru Cina di seluruh negara itu.

Lagipun China merupakan negara ketiga tertinggi mencatat kedatangan pelancong ke negara ini dan sudah pasti mereka juga banyak berbelanja di Malaysia. Jadi, inilah salah satu cara kita mengucap terima kasih (kepada mereka) kerana memperkenalkan Malaysia ke China.
Untuk makluman juga, ramai juga Cina Muslim yang menetap di China melancong ke Malaysia dan ia membantu mempromosi industri halal negara.

Tahun ini kita pilih China, untuk tahun hadapan dan seterusnya, pastilah kita memilih negara lain pula. Setiap tahun kita akan memilih negara lain. Sebelum ini kita menggunakan media sosial untuk mempromosi Malaysia. Sebanyak 56 pempengaruh media sosial dipilih daripada sembilan negara untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama ke seluruh dunia. Program anjuran khas negeri Melaka ini juga diadakan bersempena Kempen Tahun Melawat Melaka 2024.

Ini juga kami akan lakukan lagi dengan memilih pempengaruh daripada negara lain.

TUKAR PORTFOLIO, LETAK JAWATAN
Isu biasa, kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Dia suruh saya letak jawatan, apa salah saya buat? Kita tanya semula, semasa beliau menjadi timbalan menteri, apa dia buat? Perubahan apa dia buat? Janganlah jadi seperti orang yang mencari seekor tikus di tengah-tengah hutan.
Saya terbuka dan menerima apa-apa cadangan yang baik dan bernilai, beritahu kelemahan saya supaya boleh ubah tetapi jangan cakap perkara yang tidak betul. Parlimen adalah tempat untuk menjawab isu-isu bagi menjelaskan kepada rakyat.

KARAKTER CETUS KONTROVERSI
Saya sama sahaja sejak di Kelab Ahli Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), mana ada berubah. Sama macam isu KJ (Khairy Jamaluddin), ada dua isu yang saya bising iaitu mengenai rokok. Satu dunia tidak boleh buat (mengharamkan penjualan rokok), bagaimana mahu buat? Bolehkah rakyat di negara ini tidak merokok?

Adakah kita mahu kurangkan jumlah perokok atau mahu halang aktiviti merokok? Jika mahu buat undang-undang jangan sampai seperti mahu mendenda orang. Lebih baik ajar rakyat daripada kecil, sejak prasekolah, biar guru didik bahawa rokok tidak baik untuk kesihatan. Usaha ini perlu diteruskan berperingkat sehingga sekolah menengah, jadi pelajar ini akan serap tentang bahaya merokok dan akhirnya menjauhi aktiviti ini.

Isu kedua, tentang vaksin Covid-19 yang tular. Saya tanya dia, adakah kamu mendapatkan fakta tentang apa yang berlaku selepas pengambilan vaksin? Ini masalahnya apabila tidak betul-betul membuat kajian sebelum membeli mana-mana vaksin.

Sebelum ini, beliau merupakan seorang menteri dan sebahagian daripada kerajaan, jadi jangan cuba bermain dengan isu politik. Jika ada perkara yang beliau benar-benar tidak puas hati, datanglah berjumpa dengan saya dan kita boleh berbincang. Jika tidak, berikanlah cadangan yang lebih membina dan berguna untuk negara.

Jadi, awak perlu tengok semula diri sendiri sebelum memberi komen kepada orang lain. Tidak perlu tunjukkan diri itu juara atau hebat. Kita tidak boleh ada budaya sebegini, iaitu budaya merendah-rendahkan orang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN