MUKADIMAH
KEWUJUDAN Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjadi simbol iltizam kepimpinan negara mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan.
Malah Felda begitu dekat dengan orang Melayu dengan menjadi institusi daya tahan pada satu masa dulu.
Bagaimanapun, Felda tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu dan kontroversi sehingga dilihat sebagai sebuah institusi bermasalah terutama pada masa kini.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Pengerusi Felda, DATUK SERI AHMAD SHABERY CHEEK bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI dan MOHD. FIKRI FADZIL.
TEMPOH SEBULAN MASIH AWAL
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat Felda secara keseluruhan selepas lebih sebulan memegang jawatan sebagai Pengerusi?
AHMAD SHABERY: Sudah tentu sebulan terlalu awal untuk membuat gambaran menyeluruh. Lagipun, saya masih belajar tentang Felda dalam aspek korporat. Kita tahu core business (urus niaga utama) Felda berkaitan ladang dan pemprosesan kelapa sawit serta beberapa perniagaan lain yang hasilnya akan memberi kesan kepada keseluruhan warga peneroka Felda. Itu paling penting.
Ini termasuk untuk mereka yang sudah berkahwin, ada cucu dan sebagainya. Dalam erti kata lain Felda netizen atau Feldazen apabila dihitung secara keseluruhan. Mereka ini ada di mana-mana, namun jiwa, pengalaman serta fikiran ada di Felda.
RAKYAT TIDAK BERTUMPU DI BANDAR
Apakah agenda Felda seterusnya?
Saya melihat agenda paling besar adalah tentang rakyat dan warga itu sendiri. Felda tidak boleh dilihat hanya pada untung dan rugi, tetapi ia berkait soal bagaimana penyusunan masyarakat yang diilhamkan Felda.
Felda tidak sama sebagaimana Sime Darby Plantations, United Plantation atau syarikat lain. Kalau mereka rugi bolehlah tutup perniagaan. Felda tidak boleh begitu kerana ia ada sumbangan dalam aspek sosial yang besar ketika zaman Tun Abdul Razak Hussein yang saya kira masih relevan sampai sekarang.
Saya boleh berikan contoh. Awak lihat Thailand. Mereka ada tanaman getah tapi tiada entiti seperti Felda. Begitu juga Indonesia yang ada kelapa sawit tapi tiada Felda. Hubungan antara syarikat dan pekerja hanyalah majikan serta buruh.
Dalam konteks Felda, peneroka adalah pemilik tanah. Selepas itu kalau kita lihat negara seperti Thailand, ia tiada perancangan seperti pemetaan sosial sehingga berlakunya transmigrasi rakyat.
Penduduk di sana hanya pergi ke tempat yang dirasakan boleh memberi sumbangan ekonomi. Sebagai contoh di Thailand itu rakyatnya melihat Bangkok dan bandar lain untuk mengharapkan sumber ekonomi mereka. Begitu juga di Filipina di Manila dan Indonesia di Jakarta.
Sebab itu, lahirnya Felda yang jadi penghalang supaya orang tidak tertumpu pada satu bandar sahaja. Ia menjadi pembekal ekonomi kepada bandar kecil lain. Sebagai contoh Maran atau Bentong di Pahang dan Segamat di Johor. Felda adalah perancangan sosial yang lebih penting dan mempunyai objektif tersendiri pada masa itu. Sebab itu, saya katakan ia masih relevan.
Kalau Felda itu tidak mampu menjana kekuatan ekonomi, maka akan lahir generasi baharu dan meninggalkan Felda dalam keadaan lesu dan lengang. Sebab itu, ada saya sebutkan sebelum ini kalau boleh kita mahu lihat generasi Felda 5.0. Mungkin akan ada bertanya mengapa melangkau terus, tidak 3.0 atau 2.0?
Sebabnya, kita perlu bersedia mewujudkan suasana baharu untuk memenuhi keperluan generasi kelima yang ada pada hari ini.
Ertinya, kita perlu bersedia dengan lonjakan dan persiapan supaya mereka terus tinggal di sana (Felda). Contohnya, bagaimana generasi muda ini melihat Felda sebagai tempat adanya peluang baharu dengan kemudahan terbaik. Apakah pekerjaan baharu di samping yang sedia ada agar mereka tidak lari. Ini antara perancangan yang saya fikirkan.
Berapa lama tempoh diambil untuk merealisasikan agenda ini?
Kita mesti cepat dan sepatutnya dua ke tiga tahun kita sudah bergerak ke arah itu. Selain itu, Felda ini kita perlu melihat sendiri di sebalik keresahan peneroka.
Ini disebabkan mereka adalah pemilik tanah, tetapi prosesnya (pengurusan tanaman) mereka ada hutang sebabnya Felda membantu dalam aspek baja dan pemotongan buah. Apabila urusan sebegini pasti ada kos dan data akaun serta maklumat seperti baja, tempoh bekerja dan upahnya.
Isunya sekarang tentang bagaimana mendapat kepercayaan dalam kalangan peneroka bahawa semua itu dikendali secara telus dan boleh dipercayai. Jadi, ini terkait dengan teknologi pada zaman sekarang. Peneroka kadang resah sebab rasa hutang sudah bayar banyak, tetapi apabila dilihat dalam penyata kewangan hasil tidak memuaskan.
Sekarang sepatutnya ini tidak berlaku kalau perencanaan pendigitalan bermula sejak dulu lagi. Jadi, sekarang ini antara perkara yang turut diberi keutamaan pada masa sekarang.
KEDUDUKAN KEWANGAN FELDA
Bagaimana dengan kedudukan kewangan dan aliran tunai Felda setakat ini?
Saya tidak mahu dedahkan perkara dalaman Felda secara terperinci. Tidak dinafikan kita ada isu selepas penghapusan hutang peneroka. Hutang Felda dan hutang peneroka adalah dua perkara berbeza.
Pertamanya, apabila keputusan dibuat untuk menghapuskan hutang peneroka menyebabkan Felda tiada sumber pendapatan. Tetapi, ini isu lama dan keputusan sudah pun dibuat. Felda menghapuskan (hutang) tetapi pada masa sama Felda masih berhutang. Ada perkara Felda hutang dengan bank dan ia merupakan hutang yang perlu diselesaikan.
Kemudian yang kedua keputusan yang dibuat untuk Felda ambil alih FGV dahulu pun ada kosnya sendiri. Jadi, untuk selesaikan hutang yang banyak pada waktu itu diminta supaya Felda ambil wang daripada sukuk Islam, kadar bunganya tidak begitu tinggi.
Tetapi ini menyebabkan Felda mengalami masalah aliran tunai yang serius kerana apabila ambil sukuk, Felda kena bayar wang lebih kurang RM9.9 ke RM10 bilion.
Ini menuntut Felda untuk membayar pokoknya sahaja berjumlah RM1 bilion setahun. Ia perlu diselesaikan dalam tempoh 10 tahun. Bagaimana mahu diselesaikan? Berdasarkan kepada keputusan yang dibuat, kerajaan perlu beri pada Felda pinjaman.
Tetapi apa yang jadi isu (penangguhan pembiayaan sukuk Felda), ia keputusan yang dibuat tapi keputusan itu tidak jelas sebab saya tahu dan pernah berada dalam Kabinet.
Ada banyak perkara yang diluluskan Kabinet, tetapi kalau tiada hitam putih, keputusannya bergantung kepada kemampuan (kewangan ) Kabinet pada masa itu. Kerajaan pula kalau sumber kewangannya bermasalah, tidak boleh beri mengikut jumlah diminta. Contohnya, kalau janji RM1 bilion, mungkin kerajaan bagi separuh sahaja atau kurang. Ini selalu berlaku. Ada perkara yang kita perlu belanja dahulu dan kerajaan akan bayar kemudian.
Tetapi dengan Felda susah. Kalaulah komitmen Felda kena bayar RM1 bilion setahun, tiba-tiba kerajaan hanya mampu beri RM500 juta. Ertinya keadaan ini boleh mendesak Felda menekan peneroka atau tidak boleh berlembut.
Misalnya, ada ladang yang tanahnya subur dan ada tempat yang macam mana rajinnya peneroka itu, mereka tetap tidak boleh dapat hasil yang baik sehingga pendapatan kurang. Tetapi Felda akan tuntut (hutang) walaupun sedikit kerana segala keperluan seperti baja sudah dibekalkan. Cuma Felda fikir kalau potong jangan sampai RM1,200.
Kesannya, Felda akan mengalami kelesuan daripada segi kewangan selain aspek lain seperti kemudahan, pembangunan komuniti dan gaji kakitangan Felda sendiri.
Sebab itu, satu perkara yang melegakan kami apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji walau apapun berlaku pada kerajaan dan ekonomi, ia mesti memberikan sebanyak RM1 bilion kepada Felda untuk membayar hutang pokok. Ini melegakan. Kalau tidak bagaimana Felda hendak cari RM1 bilion?
Mungkin ada orang kata mengapa Felda ditolong dan dimanjakan? Bagi saya mudah. Felda tidak sama seperti Sime Darby Plantation atau syarikat ladang lain. Mereka tiada tanggungjawab sosial sebagaimana Felda. Kita tidak boleh kata, “tempat ini kalau tiada untung tutup sahaja” sebab peneroka tetap ada di situ dan mereka tidak tahu hendak ke mana.
Sebab itu, kerajaan perlu bantu dan ia bukanlah perkara baharu walhal tanaman lain pun dibantu kerajaan atau sektor lain termasuk perikanan. Jadi, ini yang perlu difahami dan kita perlu dilihat dalam perspektif berbeza.
PASUKAN KHAS
Sebelum ini ditubuhkan Pasukan Khas Menangani Isu FELDA diketuai Tan Sri Abdul Wahid Omar. Adakah ia masih lagi menjalankan fungsi-fungsinya?
Ia belum ditutup dan ia membantu untuk memantau cadangan dan beberapa perkara lain seperti soal sukuk dan isu untuk melestarikan Felda bagi jangka masa panjang.
Ia juga masih boleh diteruskan untuk membantu kami memandu arah Felda dan memenuhi perancangan akan datang. Saya tiada apa-apa keputusan dan akan terus berbincang dengan Wahid untuk terus bergerak ke depan.
LAMBANG KEGAGALAN?
Banyak yang melihat Felda sebagai lambang kegagalan dengan mencatatkan kerugian. Bagaimana mahu merubah persepsi tersebut?
Banyak perkara yang mesti dilihat sekarang. Sumber ekonomi negara bukan pada sahaja hasil dan barang. Kelapa sawit tidak boleh hanya dilihat pada kelapa sawit semata-mata. Sudah tentu ada naratif daripada sawit itu.
Kalau kita pergi ke kafe, ada banyak cerita bagaimana ia datang dan diproses. Ia membawa naratif kopi dan dikaitkan dengan rakyatnya pula. Saya bagi contoh mudah. Naratifnya kalau tidak dibantu petani yang menanam kopi ini, mereka akan tanam kokain sebagai ganti.
Jadi, kita perlu melihat ia dalam perspektif yang luas. Sejarah menunjukkan peneroka ini dulu datang dengan sehelai sepinggang. Lihat Felda ini menerusi pembentukan masyarakat, ada sekolah dan adanya anak yang berjaya. Malah ada setengah tempat yang lebih cantik seperti berada dalam sebuah taman. Mereka berada di kampung dalam taman.
Ini kejayaan, mengapa pula ada orang kata kegagalan? Itu belum lagi yang penduduk Felda mempunyai banglo, kemudahannya lengkap dan mempunyai jalan yang elok.
Sekarang saya tanya awak, negara manakah kita mengeskport minyak sawit yang terbesar? Paling banyak India. Mereka terima sawit kerana ia minyak paling murah dan kedua, paling tahan serta tidak mudah teroksida.
Kalau pemimpin India datang dan lihat Felda pun pasti berbeza dengan beberapa negara lain seperti Indonesia, Mexico atau Columbia. Di negara berkenaan ia dijana syarikat besar, tetapi kita dijana rakyat sendiri dan dapat merubah nasib mereka sejak mula-mula dibuka sehinggalah sekarang. Inilah naratif Felda. Jadi, adakah itu tanda kegagalan?
Kita perlu tanya balik berapa bilion yang diperlukan untuk membina masyarakat begini? Ini pelaburan jangka panjang untuk perubahan masyarakat.
KERAJAAN TANGGUNG FELDA
Sampai bila kerajaan harus ‘menanggung’ Felda?
Kalau dilihat pada perjanjian itu 10 tahun. Pada saya tiada apa-apa dengan tempoh tersebut. Kerajaan bagi pinjaman kepada petani dalam sektor padi tiada tempoh. Itu pun RM1 bilion. Ada ke orang mengadu? Subsidi benih padi dan pada pesawah, ada yang cakap tidak cukup dan minta tambah lagi. Kita tahu padi tidak boleh sikit-sikit (baja dan benih) kerana kesannya akan menyebabkan rakyat lapar. Sudah tentu ada orang salah faham cakap ini sawit dan orang tidak makan buah ini sebagaimana padi.
Tetapi kita lihat Felda adalah penyumbang ketiga dalam hasil eksport (sawit) kepada negara luar dan menjadi sebahagian hasil negara. Bila menyumbang hasil tanaman untuk eksport, kalau berlaku sesuatu misalnya kalau mata wang kita diserang dan orang main pasaran saham.
Dulu sewaktu George Soros beli dan jual semula ringgit sehingga menyebabkan mata wang kita jatuh. Jadi, cara bagaimana ringgit mahu dipertahankan? Kita pada masa itu perlu perlu cari wang luar masuk. Caranya dengan meningkatkan eksport dan antara paling penting pada masa sekarang ialah sawit.
Jadi, kalau kita tidak membantu peneroka atau orang dalam bidang sawit ini bagaimana ia dapat mata wang? Awak bayangkan kalau ringgit jatuh dan semua barang import mahal.
Sebab itu, kita mesti ada kekuatan daripada segi eksport termasuk sawit. Salahkan kerajaan bantu mereka.
Selain itu, kita perlu ingat naratif Felda ini merupakan satu jenama besar dan berjaya merubah masyarakat dan landskap negara. Bayangkan, kalau mereka hilang pendapatan sebab kita tidak bantu berapa banyak bandar berhampiran akan mati?
Kalau kerajaan tutup sahaja Felda, ia akan mematikan rantaian ekonomi di bandar. Ia bukan satu jumlah sebesar mana dan kita dalam masa sama turut memberi sumbangan kepada sektor lain juga.
Pandangan Datuk Seri terhadap generasi muda Felda hari ini?
Generasi muda bagi saya perlu bersama saya dan akan cuba memahami mereka. Kita perlu bergerak bersama. Mereka juga sebenarnya aset besar Felda yang bukan hanya sawit atau getah semata-mata. Kita mesti lihat bakat dalam Felda. Sebab itu, mula-mula saya masuk jumpa beberapa kumpulan belia untuk merancang beberapa program nanti dengan melibatkan belia.
JAMINAN MAKANAN
Bagaimana Datuk Seri melihat peranan Felda dalam memastikan keterjaminan makanan di negara ini?
Keterjaminan makanan daripada segi takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan hanya dilihat daripada berapa banyak makanan yang kita keluarkan.Kalau kita tengok daripada segi ranking dunia, antara negara ASEAN yang paling tinggi (keterjaminan makanan) Singapura kedudukannya naik berbanding negara lain seperti Thailand atau Vietnam. Tetapi Singapura tanam apa?
Seandainya kita fikir tentang keterjaminan dalam aspek berapa banyak kita hasilkan produk, ia salah. Ia sebenarnya adalah kemampuan rakyat (affordability) memiliki makanan dan apakah makanan itu sentiasa ada (availability).
Singapura ada dua perkara yang membuatkan dia mampu dan makanan sentiasa ada. Pertama, pendapatan rakyat dan kedua mata wang tinggi. Jadi, semua boleh diimport dan boleh buat perundingan dengan negara lain.
Mereka belajar untuk import dari pelbagai negara. Mata wang mereka kuat menyebabkan nilai jadi murah. Availability sebab negara kecil. Kontena sampai sahaja di pelabuhan, makanan semua boleh dipasarkan terus kepada seluruh negara.
Kita berbeza sebab negara kita besar. Itu belum masuk sampai ke pedalaman. Daripada ranking, kita tidaklah begitu buruk. Dalam soal ini, saya tidak katakan kita jangan tanam apa-apa. Kita mesti seimbangkan. Jadi, keterjaminan makanan tidak semestinya dilihat daripada jumlah makanan yang kita keluarkan.
Tetapi saya tidak nafikan kalau bilangan import kita terlalu tinggi itu tidak baik dan kita sedang bergerak ke arah itu melalui beberapa usaha seperti projek ternakan kambing dan lembu. – Mingguan Malaysia










