MUKADIMAH
HAMPIR semua bercakap mengenai kos sara hidup, terutamanya selepas kita memasuki era pascapandemik Covid-19.
Malah kajian demi kajian serta kaedah turut diketengahkan pelbagai pihak bagi menangani isu yang membelenggu semua lapisan masyarakat di negara ini. Terbaharu, buku panduan Belanjawanku untuk Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023 turut dilancarkan dengan penyediaan anggaran perbelanjaan bagi kategori tertentu.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan KU SYAFIQ KU FOZI menemu ramah Pengarah Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), PROFESOR EMERITUS DATUK DR. NORMA MANSOR bagi mendapatkan mendapatkan perspektif beliau.Turut membantu jurufoto SHIDDIEQIIN ZON.
IMPAK KEPADA RAKYAT
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana hasil dapatan buku panduan Belanjawanku ini betul-betul memberi impak kepada rakyat Malaysia?
NORMA: Buku ini kami bangunkan bersama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memberikan pengetahuan kewangan kepada rakyat Malaysia. Salah satu sebabnya, kita nak tunjukkan bahawa masalah bankrap dalam kalangan rakyat Malaysia tinggi selain mempunyai sifat suka berhutang. Ditambah pula dengan gaji yang tidak begitu meningkat mengikut kos sara hidup masa kini sejak 20 sehingga 30 tahun lalu.
Paling membimbangkan apabila kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan bahawa hanya satu daripada tiga rakyat Malaysia yang celik kewangan, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran untuk menabung dalam kalangan rakyat kita terlalu rendah.
Namun begitu, dalam masa sama, ia juga bukanlah alasan untuk tidak merancang kewangan peribadi. Jadi sebab itu adanya buku dan aplikasi ini agar rakyat boleh merancang kewangan dan kesejahteraan hidup.
Di negara maju pun memang ada kaedah seumpama ini yang dipanggil rujukan bajet untuk dijadikan panduan dan ia bukannya satu arahan .
Adakah buku panduan dan aplikasi ini pertama kali diperkenalkan di Malaysia?
Ya dengan buku pertama dilancarkan pada 2019. Metodologi sama seperti keluaran pertama diterbitkan. Model ini diadaptasi sebagaimana di negara lain seperti (negara-negara) Eropah, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Australia. Tapi untuk Malaysia, kami sekumpulan dengan pakar-pakar lain yang dijemput Bank Negara Malaysia (BNM), KWSP, AKPK dan ahli akademik bekerjasama untuk menentukan objektif atau jenis belanjawan peribadi yang kita mahu laksanakan di Malaysia.
Dari situlah kemudiannya kita mendapat definisi perbelanjaan minimum yang kami cadangkan dalam buku berkenaan supaya rakyat Malaysia boleh mempunyai kehidupan bermatlamat atau kehidupan wajar.
Adakah dapatan dalam buku panduan Belanjawanku ini boleh digunakan sebagai rujukan kepada kerajaan untuk melaksanakan gaji progresif atau menetapkan paras garis kemiskinan (PGK) yang baharu?
Kita ada tiga jenis data. Pertama, PGK. Selepas itu, kita juga ada paras gaji minimum dan sekarang ini kita ada buku panduan Belanjawanku. Tiga data yang diperkenalkan ini tiada masalah sebab mempunyai tujuan dan matlamat yang berbeza. Sebab itu, angkanya pun berbeza. BNM juga sebelum ini telah perkenalkan gaji kehidupan wajar.
Cuma apabila kita melangkah atau bergerak ke arah menjadi negara maju, kita perlu ada garis panduan atau yang sejajar dengan tahap pembangunan kita yang menunjukkan seseorang itu hidup dalam negara maju.
Jadi, kita tidak sekadar mengukur dari segi makan, minum dan tempat tinggal sahaja tanpa memasukkan perkara lain sebagaimana dalam panduan Belanjawanku, seperti simpanan dan (keperluan) sosial. Sedangkan, ini semua mustahak apabila kita bergerak ke arah negara maju.
Kalau gaji minimum pula sebenarnya hanyalah pendapatan minimum. Tidak semestinya itu yang perlu dibayar atau yang boleh dibayar oleh majikan.Selalunya majikan akan membayar lebih daripada ketetapan tersebut di negara maju sebab (paras) minimum ini hanya sekadar cukup untuk perkara asas.
Di samping itu, apa yang membezakan Belanjawanku adalah perbelanjaan di bandar yang berbeza-beza. Bandar yang kita tidak ada hanya Kangar (Perlis) dan (Wilayah Persekutuan) Labuan. Dengan adanya bandar dan angka berbeza ini, ia dapat membantu seseorang membuat keputusan sekiranya mahu pindah ke bandar lain. Manfaatkah (kalau berpindah) pada seseorang atau tidak?
TIDAK LOGIK
Apabila diterbitkan buku panduan Belanjawanku ini, ada yang marah terutama di media sosial dengan menyifatkan ia sebagai tidak logik. Pandangan Prof ?
Ini panduan kami dan sasaran juga kepada sesiapa yang mahu belajar dan memperkasakan pengetahuan mereka, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi, iaitu di peringkat profesional, tidak mengapa kerana gaji mereka mencecah RM3,000 dan lebih. Lagipun kita ada aplikasi yang mempunyai angka dan pengiraan terperinci dalam Belanjawanku. Kita boleh ikut kedua-duanya (panduan Belanjawanku atau rule of thumb). Maknanya kita ada pilihan yang mana satu yang kita nak ikut.
Sama ada gaji lebih tinggi atau gaji lebih rendah daripada apa yang ditetapkan dalam panduan ini, mereka boleh ubah mana-mana aspek perbelanjaan. Contohnya, jika gaji mereka lebih rendah, mungkin simpanan terpaksa dikurangkan, walaupun kami berharap jangan kurangkan simpanan sebab sebaiknya simpanan perlu ada 30 peratus daripada gaji.
Dapatan daripada panduan Belanjawanku menyatakan kenaikan hanya RM60 sahaja daripada 2019 kepada 2023, sedangkan berlaku inflasi dan kenaikan beberapa barangan. Komen Prof?
Kita perlu ingat, kalau ikut peraturan negara lain pun kita tidak boleh mengambil situasi tertentu sebagai rujukan kepada perbelanjaan, iaitu musim perayaan dan ketika musim jualan murah.
Selepas itu perlu juga dilihat apa yang berlaku dengan mengikut situasi semasa. Dulu tiada pas bulanan pengangkutan awam, sekarang sudah ada. Jadi, ada berlaku penjimatan. Selain itu, ada benda lain yang memang menyebabkan berlaku faktor mengapa pertambahan itu tidak berlaku tinggi. Ada yang naik dan ada turun.
NAIK GAJI MINIMUM
Dengan peningkatan kos sara hidup, adakah ini merupakan masa sesuai kadar gaji minimum dinaikkan?
Saya berada dalam jawatankuasa gaji minimum. Untuk menentukan kenaikan gaji dan sebagainya, memang kita perlu buat kajian. Ada pasukan teknikal dan banyak perkara perlu diambil kira sebelum gaji minimum dapat dinaikkan.
Contohnya, adakah perniagaan betul-betul sudah keluar daripada masalah Covid-19?
Dalam masa sama, adakah dengan adanya kenaikan ini akan menyebabkan pengangguran kerana perniagaan terpaksa tutup? Kemudian daripada segi pertumbuhan ekonomi pula bagaimana? Adakah berlaku peningkatan kemahiran dan apa-apa sumbangan yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti? Paling diharapkan kenaikan harga barang juga tidaklah tinggi. Kadang-kadang gaji meningkat ini juga boleh mewujudkan inflasi, kalau peningkatannya tidak seiring dengan produktiviti.
SUBSIDI BERSASAR
Bagaimana pandangan Prof berhubung pemansuhan kategori pendapatan (B40, M40, T20) untuk pemberian subsidi bersasar?
Pendapat saya ini adalah sesuatu yang baik kerana pengukuran yang sebegitu (pemberian subsidi mengikut kategori pendapatan) tidak semestinya menunjukkan keadaan sebenar bagi satu-satu golongan. Contohnya, golongan berpendapatan tinggi (T20) gajinya RM10,000, anak ramai dan tinggal di Kuala Lumpur dibandingkan gaji yang sama duduk di Alor Setar. Sudah tentu ada perbezaan. Justeru pada saya, boleh diberikan perlindungan sosial yang berbentuk sejagat (universal). Bantuan tunai lebih baik daripada memberikan bantuan yang berbentuk subsidi seperti minyak petrol atau minyak masak.
Percayalah, kita bercakap dengan siapa pun termasuk ahli ekonomi akan mengatakan bahawa subsidi minyak petrol dan sebagainya memberikan manfaat lebih kepada golongan berpendapatan tinggi berbanding mereka yang berpendapatan rendah.
Maknanya subsidi berbentuk tunai lebih bermanfaat?
Ya, betul. Subsidi tunai diberikan kepada golongan sepatutnya. Memang dah terbukti lebih baik. Di negara-negara maju, itu yang dilakukan sebab tidak mampan jika diberikan subsidi minyak atau petrol. Walaupun subsidi ini membantu kepada pengawalan inflasi, tetapi daripada jangka masa panjang, duit seringgit yang dibelanjakan lebih memberi impak lebih besar.
Jadi kita kena pertimbangkan jenis intervensi yang kita boleh buat. Sudah ada contoh negara lain buat pelaksanaan yang berbeza daripada cara kita sekarang.
Itu menunjukkan bahawa ia (subsidi petrol) sesuatu yang tidak berkesan.
Apakah pandangan prof berkenaan konsep pendapatan asas sejagat (UBI) apabila bantuan tunai dilaksanakan?
UBI membolehkan semua orang mendapat jumlah tertentu dan ada peringkatnya. Contoh berapa jumlah yang sesuai, adakah sebanyak RM2,000 untuk semua orang ?
Masalahnya, adakah kita ada dana untuk menyediakannya (UBI)? Mungkin juga boleh diberi rendah sikit iaitu RM1,000 tapi perbelanjaan tetap besar sedangkan kita boleh lihat kepada perlindungan sosial yang kami cadangkan kepada kerajaan dengan melihat kepada kitaran kehidupan. Contohnya orang tua.
Dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pendapatan untuk orang tua adalah sesuatu yang wajib kerana apabila sudah tua dan tidak boleh bekerja, mereka memerlukan bantuan. Lagipun mereka tetap ada memberi sumbangan (pembinaan negara). Jadi, kami cadangkan kepada kerajaan supaya memberikan pencen sosial kepada semua rakyat Malaysia dan bukannya penjawat awam sahaja. Sebabnya, pencen ini dapat digunakan semasa bersara tanpa bergantung kepada KWSP semata-mata. Negara lain seperti Thailand dan Vietnam pun ada. Di Thailand diperkenalkan pada 1998. Semua rakyat di sana terima (pencen sosial) tidak kira kaya macam mana pun.
Yang tidak terima hanyalah penjawat awam sebab mereka sudah ada pencen (kerajaan). Tetapi pencen sosial ini tidak banyak. Sekarang mungkin dalam 600 baht sahaja atau dalam RM60 setiap bulan. Apabila menerima jumlah ini setiap bulan, sekurang-kurangnya mereka boleh merancang untuk membayar bil atau membeli keperluan .Begitu juga di Vietnam dengan penerimaan jumlah yang sama.
Sepatutnya Malaysia seperti itu dan ia lebih mudah kerana kita ada kad pengenalan. Tapi sekarang bantuan untuk orang tua akan dilihat dan diperiksa di setiap rumah (oleh agensi tertentu). Penilaian akan dibuat. Kalau ada televisyen tidak boleh walhal ia dibelikan anaknya.
Selain itu, kita boleh berikan kepada kanak-kanak sebab semasa mereka lahir sehingga umur tiga atau empat tahun itu adalah masa yang paling mustahak untuk perkembangan minda.
Kami cadangkan juga supaya kerajaan memberikan bantuan setiap bulan. Mungkin RM100 untuk membeli keperluan nutrisi. Negara maju memang ada semua ini. Malah paling penting semua dapat. Semuanya menggunakan kad pengenalan dan wang terus disalurkan pada akaun bank. Kos pun murah. Kalau nak buat bersasar pun boleh tapi buat pengecualian untuk orang kaya sahaja. Bukan pergi rumah orang miskin nilai mereka layak atau tak.
Berapa kadar pencen sosial yang patut diberikan kepada golongan bersara?
Kami cadangkan RM150. Tapi sekarang ada yang mencadangkan RM400 sebulan.
Selain itu, kerajaan perlu pergi kepada pelbagai peringkat menerusi pelaksanaan pencen pelbagai lapisan. Sebagai contoh untuk yang paling bawah kerajaan bayar dalam amaun tertentu.
Kemudian mereka yang mencarum KWSP. Kita cadangkan agar sebahagian dijadikan sebagai sistem pencen. Duit tersebut boleh ambil sebahagian (secara lump sum) manakala selebihnya dijadikan pencen (beri secara bulanan).
Biar nanti ia diuruskan KWSP atau agensi lain. Lapisan ketiga adalah Skim Persaraan Swasta (PRS). Ia boleh dipecahkan lagi supaya dapat dibezakan beberapa jenis pelaburan lain. Mungkin Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji dan mereka yang memiliki rumah sewa diletakkan di lapisan ketiga.
Berapa tahun lagi untuk kita bergerak ke arah itu?
Harapnya biarlah kerajaan boleh lakukan sekarang.
INDEKS KESEJAHTERAAN
Di mana indeks kesejahteraan Malaysia untuk lima tahun akan datang?
Seandainya perangai kita masih seperti sekarang ( tiada kesedaran aspek kewangan) dan polisi pun macam sekarang, kita berdepan kesukaran kerana ageing very fast (tempoh penuaan berlaku pantas). Kita akan berdepan dengan pelbagai isu. Tidak mustahil ia menjadi satu bencana untuk lima tahun akan datang. Ditambah dengan kadar hutang yang tinggi dalam kalangan individu.
Ditambah isu kesihatan lagi. Lagipun masalah penyakit bukan berjangkit (NCD) sentiasa berlaku peningkatan.
Takkan kerajaan perlu sentiasa memberi jaminan apabila negara dan rakyat dalam bencana. Itu bukan kerja kerajaan. Kerja kerajaan sepatutnya sentiasa menyediakan persekitaran supaya ekonomi boleh berkembang. Lepas itu kenakan cukai (kepada industri dan orang kaya) serta beri semula kepada golongan yang susah (bantuan). Kalau ada yang kata “Eh kenapa asyik beri ikan bukan kail?” Kita boleh jawab “Orang tersebut tidak boleh mengail dah nak buat macam mana?” Orang tua yang berada kategori ini.
Apa yang paling kritikal untuk kita lakukan sekarang?
Saya rasa tidak boleh nak pilih kerana ia berkait. Saya sebagai ahli ekonomi faham mengenai sistem. Kalau awak tidak buat salah satu ia akan terkesan kepada benda lain pula. Semua perlu bergerak seiring. Kesihatan, ekonomi dan juga pelbagai kemudahan lain. – MINGGUAN MALAYSIA










