Misi Everest saya sifatkan antara hidup dan mati - Khalid - Utusan Malaysia

Misi Everest saya sifatkan antara hidup dan mati – Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
NAMA Malaysia sudah terpahat di Gunung Everest sejak 1997 lagi. Selepas itu, banyak lagi misi lain seperti ekspedisi Kutub Utara tercipta demi mengharumkan nama Malaysia.
Gunung tertinggi di dunia ini begitu istimewa dan dekat dalam kalangan rakyat Malaysia selepas banyak misi lain dilakukan sebelum ini.
Terbaharu, empat pendaki berlepas ke Kathmandu, Nepal memulakan misi Malaysia Everest ME 2023. Namun, salah seorang pendaki, Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia manakala seorang lagi hilang.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Penasihat Persatuan Kembara Negara (PKN) TAN SRI KHALID YUNUS bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto, AFIQ RAZALI.

MINGGUAN MALAYSIA: Tan Sri masih aktif mendaki gunung?
Khalid: Alhamdulillah. Saya masih aktif dengan aktiviti fizikal yang sudah menjadi salah satu perkara yang wajib saya buat hampir setiap hari.
Naik turun tangga Batu Caves antara regim kesihatan yang saya amalkan sekarang. Selain itu, saya masih aktif dengan aktivit pendakian. Setahun sekali biasanya saya bersama rakan-rakan Persatuan Kembara Negara (PKN) akan mendaki gunung luar negara. Cuma apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, ia sedikit terganggu. Insya-Allah mungkin tahun ini kita akan bersambung semula.

Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan sukan luar dan ekstrem pada zaman sekarang dalam konteks di negara ini?
Kalau kita lihat, sukan ini semakin berkembang pesat. Sudah banyak kelab dan persatuan sukan luar ini ditubuhkan.
Istilah outdoor ini maknanya ada yang ekstrem dan yang setakat separuh lasak sahaja. Jadi, apa yang saya boleh simpulkan, aktiviti sukan ini memang sentiasa berkembang. Kalau dulu pada satu ketika termasuk zaman saya, sukan ini tidak terlalu kelihatan sebagaimana sukan lain. Yang banyak dimainkan sukan-sukan seperti bola sepak atau badminton contohnya dan bukan mendaki gunung atau berakit meredah jeram (white water rafting) mahupun rock climbing. Sekarang sudah berbeza dan semakin banyak yang terlibat dalam sukan ini.
Akan tetapi dalam masa kita mengatakan sukan luar dan lasak ini berkembang , kita perlu memberi perhatian dan mengambil berat soal keselamatan dan kesan negatif daripada aktiviti ini.

Maksud Tan Sri kesan negatif?
Maksud saya risiko. Apabila kita cakap mendaki gunung, tidak kira sama ada gunung rendah atau tinggi, kita perlu ‘hormati’ gunung itu atau dalam erti kata lain aspek persiapan meliputi keselamatan dan latihan diberi fokus.
Prinsip kedua, apabila mendaki gunung, sudah tentu kita nak mendaki dengan selamat dan pulang juga dengan selamat.Persiapan amat penting dan sangat dititik beratkan.
Persiapan untuk mendaki gunung di Malaysia tidak sama kalau mahu tawan puncak di luar negara. Ada perbezaannya. Kita mesti selalu ingat mendaki ini risikonya tinggi. Pada saya bukan semua orang boleh pergi, mesti ada persiapan yang cukup dan amat penting. Ia dibuat dengan menyeluruh.

PERSIAPAN MENDAKI
Apakah perkara yang perlu diambil kira apabila ada pihak yang mahu melaksanakan misi-misi untuk seperti pendakian Gunung Everest, Kutub Utara atau apa sahaja aktiviti sukan ekstrem termasuk yang dilaksanakan atas nama Malaysia?
Pertama sekali, sudah semestinya latihan. Saya bagi contoh. Semasa kami pergi mendaki Gunung Everest pada 2007, kami berlatih tiga tahun. Tiada hari tanpa latihan pada masa itu dan semuanya dibuat untuk memberi ketahanan fizikal dan mental. Latihan pula menyeluruh sama ada latihan di gimnasium, larian atau pendakian dalam atau luar negara.
Selepas itu, ada dibuat pemeriksaan kesihatan untuk menentukan kelayakan seseorang sebelum latihan bermula. Dan proses ini berterusan sehinggalah individu tersebut memulakan pendakian.
Dalam tempoh itu juga, kita bawa pendaki mendaki gunung di luar negara. Kita bawa mereka ke Mont Blanc di Perancis dan Gunung Aconcagua di Argentina serta di Scotland untuk memberi pendedahan kepada pendaki tentang mendaki di gunung yang tinggi dengan kandungan oksigen yang nipis ditambah cuaca ekstrem.
Selepas itu, apabila tarikh semakin hampir, kita akan bawa ke gunung yang berhampiran Everest. Kita buat pra ekspedisi sebelum bertolak ke Everest Base Camp (EBC). Masa itu, kami pergi bulan Mei sebab musim sejuk tidak dibenarkan.
Itupun duduk di sana hampir dua bulan untuk sesuaikan diri kita dengan iklim di sana. Dalam tempoh itu, kami sudah mula mendaki sehingga ke kem satu dan kemudian turun. Selepas itu berulang alik ke kem dua dan bermalam sehari. Begitulah rutin kami pada masa itu.
Perlu diingat, selain latihan dan persiapan rapi, kami turut membawa dua doktor pakar untuk memantau kesihatan pendaki. Di samping itu, prosedur, alatan dan pakaian juga amat memainkan peranan untuk sampai ke puncak dalam keadaan selamat.

MISI HIDUP DAN MATI
Pernah Tan Sri berdepan detik cemas semasa misi pendakian Gunung Everest?
Sebagai ketua pendaki, selalu saya katakan sama ada naik dan turun dengan selamat serta dapat pulang ke negara asal atau naik kemudian tidak turun-turun. Saya katakan begitu kerana misi ini melibatkan hidup mati.
Saya sendiri pernah terkena snow blind. Ia terjadi disebabkan kecuaian saya juga yang membuka kaca mata hitam sewaktu mendaki. Walhal telah diberitahu untuk tidak membuka kaca mata sewaktu di kawasan pergunungan disebabkan silau yang terhasil daripada salji.
Pada masa itu, saya buka sebab cuaca cantik. Mujur tidak buta dan ada doktor pakar bersama-sama. Sebagai maklumat, apabila seseorang terkena snow blind ini, langkah rawatan perlu dilaksanakan segera. Kalau tidak akan buta selama-lamanya.
Di samping itu, saya masih ingat ada satu ketika saya terkena penyakit akut ketinggian (AMS) ketika berada hampir di puncak Everest. Penyakit ini menyerang kepada seseorang yang berada di ketinggian lebih 2,000 meter akibat terlalu letih.
Kemudian air dalam badan kita bergerak dan menuju kepada dua tempat satu otak atau paru-paru. Kalau ke otak, peluang pendaki untuk hidup tipis.
Kalau kena pada paru-paru risiko tinggi sebagaimana saya kena pada masa itu. Tapi masih ada peluang lagi.
Mujur pada masa itu ada juga doktor dari United Kingdom (UK) yang turut menjadi pendaki. Dia berikan suntikan ubat khas dan dia beri saya satu jam. Kalau tidak pulih dalam tempoh tersebut, memang saya tiada harapan.

Selepas lebih 20 tahun kejayaan pertama dicatatkan pendaki Malaysia di Gunung Everest, wajarkan misi sebegini menerima dana atau bantuan kerajaan dengan mengambil kira situasi ekonomi dan sebagainya?
Situasinya begini. Walaupun ia dimulakan dengan inisiatif kerajaan, tetapi kerajaan hanya boleh membantu ikut kemampuan sahaja.
Kalau kerajaan fikir tidak boleh bantu, mereka (pendaki ) perlu cari ikhtiar sendiri. Mungkin cari penaja. atau menerima bantuan pihak swasta. Lagipun, belanjanya besar.
Lagipun pada pandangan saya, ini adalah ekspedisi. Ia mesti ada matlamat khusus dengan signifikan yang kuat.
Apa yang mendorong sesuatu ekspedisi itu dibuat? Saya pergi untuk misi pertama sempena sambutan kemerdekaan 50 tahun dan disambut ke di Gunung Everest. Kemudian misi perdana dengan latar belakang demi negara dan bangsa, bukannya untuk mencari nama.
Ekspedisi ini maknanya sesuatu yang besar, ada matlamat khusus seperti mana Datuk Abdul Malik Mydin merentas Selat Inggeris atau Datuk Azhar Mansor mengelilingi dunia. Itu barulah ekspedisi. Pada ketika itu pun orang tidak buat lagi.
Kalau kerajaan mahu bantu, elemen kepentingan bangsa dan negara mesti ada. Maksudnya, apabila sampai Gunung Everest rakyat bangga. Bukan semata-mata ada niat lain. Lebih-lebih lagi dalam ledakan media sosial ini.
Sebabnya, ada yang mahu melaksanakan misi semata-mata untuk membina persoanaliti atau populariti. Jadi masyhur.
Justeru dengan mengambil kira situasi ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit, pada saya ia wajar dihentikan. Mungkin untuk sementara waktu. Lagi pun ia bukan keutamaan kerajaan.
Tidak perlu memberi tajaan. Kerajaan hanya memulakan sahaja inisiatif ini, kemudian rakyat ikut. Dulu orang tidak tahu cara-cara untuk memulakan pendakian. Sekarang, senang semua maklumat di hujung jari. Kalau ada yang mahu pergi juga itu terpulang. Mereka boleh cari banyak inisiatif lain.

MISI EVEREST MASIH RELEVAN
Selepas lebih 20 tahun, relevankah lagi misi menakluk Gunung Everest dengan bermatlamat mengharumkan nama Malaysia?
Misi pertama bermula 1997 kemudian 2004, 2007, 2011 dan ada beberapa lagi misi lain selepas itu.
Saya lihat sekarang sudah tiada eksklusif. Seperti saya katakan tadi, ekspedisi mesti ada satu-satu matlamat khusus. Buat demi agama, bangsa dan negara, bukannya untuk ‘saya’ atau sesiapa sahaja.

Berapa kos kebiasaannya untuk mendaki Gunung Everest dan persediaan yang diambil?
Kosnya amat tinggi dengan persediaan amat rapi.

DILEMA SUKAN LASAK
Apakah terdapat dilema sukan lasak dan outdoor di Malaysia? Adakah terlalu bersifat perniagaan dan bersifat keuntungan?
Sebenarnya tidak begitu. Ia bukan dilema, tetapi daripada struktur sukan secara keseluruhan. Di dunia ini apa yang menjadi fokus adalah acara dalam Sukan Olimpik.
Ambil Malaysia sebagai contoh. Kita ada Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan ia bergabung di peringkat antarabangsa.
Jadi, bawah organisasi olimpik ini ada 43 jenis sukan sahaja dan yang ini kerajaan memberi fokus untuk dipertandingkan di peringkat tertinggi.
Tapi untuk sukan luar ini, ia ada organisasi sendiri sehingga di peringkat antarabangsa. Lagipun, sukan ini lebih berbentuk rekreasi

Harapan Tan Sri terhadap sukan lasak di negara ini?
Harapan saya sudah semestinya mahu ia berjaya dalam erti kata mengembangkan setiap aktiviti sampai ke peringkat antarabnagsa.
Sebagai contoh white water rafting. Kita perlu cari jalan untuk masuk pertandingan dalam satu-satu disiplin sukan seperti ini.
Selain itu, mesti ada kelab dan persatuan untuk setiap aktiviti yang boleh mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan dan akhirnya kita boleh menjadi tuan rumah kepada satu-satu pertandingan. Itu matlamat utama. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN