Rakyat kata kita gila politik, sampah kalau bergaduh lagi - Utusan Malaysia

Rakyat kata kita gila politik, sampah kalau bergaduh lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MEMIKUL tanggungjawab berat dan menjadi tumpuan rakyat bukan satu perkara mudah bagi sesebuah agensi serta individu yang mengetuainya.
Apatah lagi dalam situasi mencabar pada masa kini lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup. Malah, memegang tampuk dalam agensi penting membuka ruang kepada banyak kritikan termasuk bermotifkan politik.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemurah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut dibantu, Jurufoto SHIDDIQIEN ZON dan Jurukamera, KAMARUL KAMARUDIN.

PENCAPAIAN SETAKAT INI
MINGGUAN MALAYSIA: Sudah lebih dua bulan dilantik sebagai menteri di kementerian ini. Bagaimana Datuk Seri melihat pencapaian setakat ini?
SALAHUDDIN: Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu dan meminta saya membantu beliau dalam aspek kos sara hidup rakyat, saya agak terkejut. Biasanya kementerian yang terlibat ada dalam 11 atau 12 kementerian di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Tetapi Anwar cakap kementerian ini bukan baharu cuma ada penambahan iaitu kos sara hidup. Jadi sepanjang malam sewaktu balik dari Pulai, Johor saya termenung panjang. Sewaktu dengan nama lama iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dulu pun saya tahu ia mempunyai banyak tangungjawab dengan isu sensitif
Hari-hari bermain dengan emosi rakyat, harga bekalan dan pelbagai isu kepenggunaan. Urusan yang setiap saat dan minit berhadapan dengan rakyat. Jadi sangat berat.
Bagaimanapun, hari ini saya berada di kementerian agak teruja dan semakin bersemangat untuk teruskan tugas kerana ia bukan satu beban sebagaimana hari pertama. Setakat ini, kami tiada masalah untuk beroperasi dan yakin bahawa kami mampu untuk mendepani setiap isu pengguna.

Dengan peningkatan harga barang, mampukah kementerian yang diterajui Datuk Seri menangani isu kos sara dalam situasi masa kini?
Daripada segi tanggungjawab, saya sahut cabaran ini. Kita tahu ada harga barang keperluan asas yang memang tidak boleh turun sebab kita mengamalkan pasaran bebas. Tapi kita boleh mendidik atau mengurus kenaikan kos sara hidup itu dengan menurunkan atau buat adjustment (perubahan) pada harga barang lain.
Dan kita tahu apabila barang naik, memang tidak mungkin ia boleh diturunkan lagi. Bagaimanapun, kita boleh mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri. Kita minta kerjasama dan tanggungjawab mereka.
Pemain industri semestinya mengaut keuntungan menerusi perniagaan dan sistem yang ada di negara kita. Mereka dalam masa sama boleh memulangkan sebahagian kecil keuntungan tersebut.
Sebagai contoh tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi kebajikan tahunan pada masa-masa tertentu. Selain itu, mereka boleh menawarkan harga berpatutan kepada rakyat. Jadi inilah sebahagian cara kita dan pemain industri menyumbang untuk mengimbangi masalah dan emosi rakyat.
Saya masih ingat, dulu semasa zaman Pakatan Harapan (PH) harga ayam RM7.90 dan sekarang sudah naik mencecah lebih RM9. Ini sumber protein yang murah dan sudah tentu menjadi isu.
Begitu juga harga telur yang naik beberapa sen kebelakangan ini. Jadi apa kita boleh buat? Kita imbangi menerusi jualan harga murah di beberapa peruncit yang saya telah maklumkan menerusi sesi libat urus.
Di samping itu, untuk sektor-sektor lain seperti kepenggunaan, saya sudah berbincang dengan agensi di bawah kementerian ini untuk mengambil tindakan sewajarnya. Sebagai contoh, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Saya galakkan semua pemain industri untuk mematenkan produk mereka. Nama, resipi dan logo. Kita bagi geran RM2 juta pada mereka.

MENU RAHMAH SAMPAI BILA?
Setakat ini sejauh mana inisiatif Menu Rahmah mampu kekal di sebalik kenaikan harga barang?
Sebenarnya ‘payung besar’ adalah inisiatif Payung Rahmah. Bukan sekadar makanan. Kita ada Bakul Rahmah, Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan Kafe Rahmah. Ini antara inisiatif di bawah payung tersebut.
Jadi, sudah tentu apabila ada satu-satu program, akan ada yang menyokong dan menentang. Buat itu salah, buat ini salah. Saya telah adakan sesi libat urus dengan pihak lain bersama banyak persatuan peniaga kedai makan dan peruncit termasuk Mydin.
Apa yang jelas, program di bawah inisiatif Payung Rahmah ini tiada paksaan dan ia melibatkan persefahaman, komunikasi dua hala dan bukannya arahan kementerian.
Selain itu, ia tidak melibatkan duit kerajaan. Pegawai saya sudah meneliti reaksi orang ramai di media sosial. Ada yang bersifat politik, ada yang kita dengar mahu tolong rakyat tapi semua pandangan ini kita ambil kira.
Setakat lebih dua minggu apa yang boleh katakan ia bukan program ‘syok sendiri’. Ada yang bertanya sejauh mana ia boleh bertahan kerana ia bukan ada undang-undang atau akta. Ada pula yang kata ia bukan penyelesaian ekonomi secara tuntas. Semua itu saya faham.
Saya cakap inisiatif ini boleh bertahan kalau dikoordinasi dengan baik menerusi sesi libat urus berterusan dalam suasana harmoni dengan pemain industri tanpa ada sebarang paksaan.
Kalau dilihat dalam menu ini ada bahan asas ikan atau ayam, beras serta sayur. Beras tidak naik harga setakat ini. Ayam pula kita letak harga lantai. Tapi ada industri seperti di pasar raya boleh jual kurang RM1 lagi. Seekor ayam kira-kira RM20 boleh potong lapan bahagian.
Lainlah kalau ayam itu naik sampai RM15 sekilogram daripada harga asal. Sudah tentu Menu Rahmah tidak boleh tahan lama.
Satu lagi untuk sayur pula kita boleh gunakan sayur murah, bukannya brokoli atau sayur mahal. Jadi isunya kenapa tak boleh nak kekalkan (menu Rahmah)? Justeru saya nampak ada dua sudut pandangan positif iaitu sama ada boleh bertahan atau tidak selagi mana sesi libat urus itu masih harmoni tanpa ada sebarang unsur tekan menekan

Mampukah Menu Rahmah bertahan?
Setakat ini saya beri jaminan kepada Kabinet, ia tidak akan libatkan dana kerajaan dan kita pun tidak berjanji dengan industri. Tetapi begini, macam industri sawit, perikanan, kedai makan dan sektor pembuatan, mereka ada beberapa cabaran dan masalah.
Apa yang mereka tidak berpuas hati? Masalah untuk mendapatkan pekerja. Saya tanya kepada pihak industri sawit, bolehkah turunkan harga minyak (sawit)? Mereka kata boleh tetapi beri cukup pekerja asing. Jadi Kabinet putuskan kita selesaikan isu infrastruktur dahulu (sebelum ke perkara lain) dan mudahkan perkara ini.
Walau apa pun, untuk pemberian subsidi daripada segi kos (untuk Payung Rahmah) tidak sebab kita sudah beri banyak (subsidi) kepada rakyat.

JAMINAN TIADA KENAIKAN HARGA
Apakah jaminan untuk musim perayaan nanti dalam memastikan tiada kenaikan harga, isu sorok dan pencatutan?
Itu memang tugas kementerian hari-hari. Kalau kita lihat sebelum ini orang marah pasal ayam, tapi sekarang harga ayam sudah stabil dan cukup bekalan.
Telur pun sudah hampir pulih. Insya-Allah dalam sebulan dua lagi ada penurunan. Sayur walaupun ada beberapa jenis yang mahal, harga cili merah sekarang sudah turun jadi RM15 berbanding RM25 sebelum ini. Harga sayur boleh naik dan turun. Kalau naik pun pada musim hujan. Tapi kalau harga ayam dan telur naik memang sukar turun sebab ada faktor kosnya. Jadi, kita tampung dengan benda lain seperti Jualan Rahmah.
Justeru, bekalan sayur menjelang Aidilfitri berdasarkan fakta di kedua kementerian iaitu kementerian saya dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, ia cukup. Bekalan telur juga hampir cukup.
Yang harga barang lain memang hari-hari ada pemantauan. Menjelang musim perayaan nanti, kita lihat semacam tiada masalah. Kalau ada kenaikan disebabkan faktor tertentu pasti ada tindakan.

Kenaikan harga sayur yang dikatakan naik 160 peratus. Adakah pihak kementerian sedar perkara ini?
Itu sudah dijawab panjang sebelum ini oleh kementerian terlibat. Tapi bagi pihak kementerian saya sendiri, isu ini berkaitan rantaian bekalan dan pengeluaran.
Rantaian ini susah hendak sebut sebab di peringkat bekalan ia membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.Apabila sudah sampai di peringkat pertengahan, barulah ia melibatkan kementerian kita. Cuma peranan kita jangan biarkan harga melampau. Apabila bekalan cukup harga pun baik. Jika tidak sebaliknya berlaku.

BAJET 2023
Harapan Datuk Seri terhadap pembentangan Bajet 2023?
Saya telah mengadakan libat urus beberapa kali dengan Kementerian Kewangan. Sasaran kami mahu menyantuni golongan miskin tegar.
Itu antara peranan kementerian dan biar kita fokus pada perkara ini. Bagaimanapun, ini bukan bermakna tiada masalah bagi golongan pertengahan (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20). Mereka juga pengguna.
Malah ada golongan M40 yang menjadi B40 disebabkan tanggungan mereka. Sebagai contoh gaji RM5,000 dengan dua anak untuk mereka yang tinggal di ibu negara tidak sama dengan mereka tinggal di Perlis.
Mungkin Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dan kementerian bertanggungjawab perlu lihat balik pengkelasan itu kerana keadaan berubah.
Bagi pihak kementerian, saya sudah beritahu Kabinet bahawa kita fokus kepada miskin tegar. Setakat Disember lepas, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (IPU) Jabatan Perdana Menteri telah keluarkan senarai iaitu terdapat lebih 127,000 isi rumah tergolong dalam miskin tegar.
Dalam tempoh tahun ini, kita sasarkan untuk memberi bantuan kepada 30 daripada mereka atau 37,000 miskin tegar.
Daripada senarai ini, kita akan mohon peruntukan untuk membantu mereka dengan satu bakul barangan bernilai RM100. Kita akan hantar ke rumah miskin tegar sebulan sekali tanpa gagal ini ini bukan sekali sahaja.

POLITIK
Bagaimana perasaan Datuk Seri apabila bersama UMNO membentuk kerajaan. Tiada rasa janggal?
Jawapannya mudah sahaja. Dulu sebelum ini kita kata macam-macam. ‘Hoi ya hoi’ dan sebagainya. Saya masih ingat lagi sewaktu saya berceramah di Pulai pada hari-hari terakhir menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), saya gunakan isu UMNO menyeleweng dan isu membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kita berkempen dan memang betul-betul kita lawan.
Bagaimanapun, selepas PRU15 saya letakkan pada perimeter yang jelas. Adakah rakyat mahukan PRU lagi? Kenapa kita kawan dengan Ahmad Zahid? Kerana lepas PRU15, tiada parti yang dapat majoriti.
Pada masa itu pula kita dalam pemulihan daripada pandemik Covid-19, ekonomi tidak menentu dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun. Jadi, adakah kita hendak gaduh? Apa rakyat tengok nanti?
Mereka akan beranggapan kita semua gila politik, sampah dan bukan lagi pejuang. Pada saya kenapa kita terima (penyatuan) kerana kita hendak tubuhkan kerajaan.
Dalam kalangan DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah), kalau kami cukup kami tidak bawa pihak lain (bersatu bentuk kerajaan). Jadi apa pertimbangannya? Kita bentuk kerajaan cepat dan ekonomi mesti dipulihkan.
Kalau kata Ahmad Zahid ada kes mahkamah, biarlah mahkamah menentukan. Kalau beliau bersalah, nanti masa itu kita bincang balik kedudukan beliau. Mungkin Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pikul tanggungjawab. Lagipun ini isu dalaman yang boleh diselesaikan.

Tidakkah ia bakal memberi kesan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti?
Kalau lihat pada prinsip untuk dipertahankan memang kita tidak mahu. Tapi semata-mata hendak pertahankan prinsip, adakah kita mahu lihat rakyat lapar dengan keadaan ekonomi tidak menentu?
Nak berkelahi boleh tapi sampai bila sedangkan PRU15 sudah berlalu dan rakyat sudah buat keputusan. Beginilah. Kalau cukup penggal tanpa ada gangguan atau ‘langkah-langkah’ sebagaimana Langkah Sheraton, kita tenang sahaja.
Cuma PRN ini satu petunjuk dan kita hadapi dahulu. Ia satu pemarkahan sebagaimana kita masuk universiti.

Berkenaan lantikan politik yang turut dikaitkan dengan Datuk Seri?
Itu tidak saya sengajakan sebab kebetulan Suhaizan Kaiat merupakan Ketua Kawasan Pulai dan mahu dia jadi Setiausaha Politik.
Suhaizan pun bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor manakala Sulaiman pula bekerja di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) sebelum ini dan semasa saya memegang jawatan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dia jadi Setiausaha Sulit Kanan (SUSK).
Tapi mereka tidak duduk di pejabat yang sama. Walau apapun, saya sentiasa memerhati kalau berlaku tanda-tanda atau mungkin dua beradik ini membuat perancangan begitu atau begini, saya memberi jaminan saya tidak izinkan. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN