Menu Rahmah mampu bertahan sampai bila? - Utusan Malaysia

Menu Rahmah mampu bertahan sampai bila?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ADA pihak yang menyokong dan tidak kurang yang menentang langkah kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sehingga melihat ia sebagai bersifat populis semata-mata.
Malah timbul pelbagai persoalan terhadap inisiatif ini seperti kemampuan untuk bertahan di sebalik kenaikan harga barangan dan keuntungan yang diperoleh bagi peniaga kecil.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Pengarah Urusan Mydin, DATUK ALI AMEER MYDIN bagi mendapatkan penjelasan beliau.Turut membantu, jurufoto, FARIZ ROSADIO.

SAMBUTAN MENU RAHMAH
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana sambutan Menu Rahmah berdasarkan pemerhatian Datuk?
AMEER ALI: Sebetulnya, Menu Rahmah ini adalah satu inisiatif yang bukan sahaja untuk golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi untuk pertengahan (M40) dan juga mereka berpendapatan tinggi yang mungkin ada masa-masa tertentu memerlukannya.
Ia membantu mendapat makanan dengan nutrisi lengkap pada harga berpatutan bagi mereka yang memerlukan.
Menu Rahmah ini bukan semua menu yang ada di sesebuah kedai itu berharga RM5. Ia hanya satu menu sahaja dan kita tukar-tukar setiap hari. Ada masa ayam atau ikan dengan nutrisi lengkap pada kos RM5.
Apa yang saya nampak ramai yang cari menu ini sebab murah dan kita sendiri ada terfikir apa akan jadi pada menu lain kalau Menu Rahmah diperkenalkan?
Selepas dua minggu apa yang saya nampak bukan saja di Mydin tetapi di tempat lain pun berlaku situasi sama iaitu daripada 100 pelanggan hanya 20 sahaja yang ambil Menu Rahmah. Ini maknanya apa? Pelanggan yang datang mengambil barangan atau menu lain. Pelanggan berbelanja beli barang selain Menu Rahmah.
Lagipun kita perlu ingat ini bukan paksaan dan ia telah dijelaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi memastikan semua rakyat dapat makan. Kita tidak untung tetapi dalam masa sama kita tidak rugi.

HANYA PENIAGA BESAR MAMPU?
Ramai beranggapan hanya perniagaan skala besar mampu berbuat demikian. Jadi boleh Datuk kongsikan kos bagi menghasilkan menu ini?
Ramai peniaga cakap macam mana hendak dapat untung kalau jual harga RM5? Saya bagi contoh kos pengeluaran selepas melihat sendiri data. Kita tengok seperti nasi putih kosnya hanya 30 sen sahaja dan ini kos untuk nasi yang sudah siap dimasak. Kalau ada orang kata salah, boleh jumpa saya.
Selepas itu, kita boleh lihat ayam yang kini harganya RM9.40 sekilogram.Di Mydin harganya RM8.90 dan kita genapkan saja RM9. Kalau ia dipotong lapan, kos setiap seketul RM2.25 sen.
Ditambah dengan rempah dan bahan lain, kosnya menjadi RM2.65 sen. Untuk sayur seperti kacang panjang pula 64 sen dan minuman botol adalah 40 sen. Jadi semuanya tidak sampai RM4. Kalau termasuk kos pembungkusan adalah RM4.20 sen.
Ayam atau ikan semua sama.Tapi kalau kita masukkan sekali kos seperti sewa, operasi pekerja dan elektrik, semua sedia maklum ia akan jadi lebih.
Tapi kita perlu ingat. Kita bukan jual Menu Rahmah sahaja. Untuk kos operasi kita tampung daripada hasil jualan barang lain. Walaupun hendak dikatakan untung tidaklah untung sangat dan begitu juga rugi, niat yang ikhlas untuk membantu insya-Allah akan diberkati.

PENIAGA KECIL TERBEBAN
Menu Rahmah bunuh peniaga kecil?
Itu satu anggapan yang salah sama sekali. Dulu pun orang cakap kalau Mydin buka, kedai runcit tutup. Sebenarnya, Menu Rahmah ini bagai sinergi. Sebab apa? Kalau orang mahu beli menu ini di Mydin bukan senang. Bayangkan perlu beratur, cari parking dan ambil masa. Kalau orang ke gerai di luar sekejap sahaja. Jadi mana yang senang?
Kita mahu jadi faktor penarik sahaja.Kadang-kadang orang malas hendak beli di Mydin dan mereka mahukan perkara yang mudah. Jadi mereka ke gerai tepi jalan.
Tengoklah Masjid India. Berderet kedai emas sebab ada kepelbagaian. Begitu juga di pasar malam. Justeru peniaga kecil jangan takut. Mari kita sama-sama bekerja. Saya sendiri sudah beri contoh kos dan ia sangat logik. Saya bercakap bukan sebab saya jual barang.
Lagipun banyak barang dalam Menu Rahmah ini barang kawalan. Memang betul orang cakap sayur mahal. Tapi bukan semua. Kobis contohnya, sekarang sudah turun harga. Jadi kita kena pandai-pandailah.

Mampukah Menu Rahmah bertahan sekiranya harga barang terus meningkat?
Apabila kita lancarkan sahaja menu ini, ada cakap ini semua hanya hangat-hangat tahi ayam. Tapi saya jamin untuk tiga bulan pertama, stabil.
Selepas itu, ia bergantung kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kalau tiada kenaikan harga barang kita boleh kekalkan Menu Rahmah ini selama-lamanya. Mana tahu seandainya harga barang turun, kita pun mungkin boleh turunkan harga Menu Rahmah.

Adakah terdapat jaminan kualiti harga Menu Rahmah dijaga walaupun harga murah?
Kalau di Mydin kita tahu kualitinya. Kalau kita tukar dan kurangkan kualitinya, orang tidak akan beli dan rugi.
Kita perlu ingat selain untuk membantu, Menu Rahmah ini juga satu bentuk perniagaan. Kalau tiada inisiatif ini boleh jadi orang tidak pergi ke kedai. Ia salah satu strategi pemasaran.
Lagi satu, kita jangan lupa generasi muda mereka bukan hanya fikir pasal harga tapi mereka selalu tanya apa yang kita semua buat untuk masyarakat? Jadi kita jangan cakap pasal untung sahaja sebab akan ada orang bertanya apa sumbangan kita.

NAIKKAN GAJI MINIMUM
Sebagai pemain dalam sektor peruncitan, bagaimana kerajaan mampu mengimbangi kenaikan gaji dengan peningkatan harga barangan?
Sebetulnya begini. Kita ‘pegang’ asas gaji minimum lama. Pada saya ia kesilapan dalam melaksanakan polisi. Kita bayar gaji minimum RM1,500 dan graduan juga memperoleh jumlah yang lebih kurang sama sahaja.
Saya masih ingat kira-kira 40 tahun lalu ketika saya mula-mula bekerja gaji saya RM1,400. Katakanlah harga rumah di Bangsar RM200,000 pada masa itu dengan rata-rata gaji di paras RM1,400. Akan tetapi kini harganya sudah jadi berapa?
Di Amerika Syarikat ketika saya bekerja di restoran, saya dapat US$2 satu jam dan sekarang sudah jadi US$15. Kita? RM1,400 naik pun hanyalah RM2,000 sahaja. Sebabnya, kerajaan bergantung kepada syarikat dan pelabur. Kalau naik gaji yang tinggi mereka tidak melabur.
Malah saya sebenarnya setuju sekiranya gaji minimum dinaikkan, tetapi bukan sekaligus. Biarlah kenaikan itu sikit RM100 misalnya daripada langsung tidak naik.
Lagi satu sekiranya ada diumumkan kenaikan gaji minimum, kerajaan tidak boleh beritahu dalam tempoh yang singkat. Sepatutnya 12 bulan lebih awal supaya syarikat ada perancangan. Kalau peniaga pula boleh ubah kos dan produktiviti.
Cari robot atau guna aplikasi di telefon bimbit sebagai ganti kepada pekerja. Itulah apa yang dikatakan efisien. Sekarang pun di restoran sudah gunakan robot atau aplikasi. Produktiviti juga perlu ditingkatkan dalam masa sama.

Jangkaan terhadap kuasa beli pengguna dalam keadaan ekonomi mencabar?
Situasi memang mencabar tapi adakalanya kita banyak sangat negatif. Cuba kita pergi medan selera dan kompleks beli-belah banyak yang penuh.
Begitu juga destinasi seperti Langkawi pun penuh dan tempahan rumah inap memberangsangkan. Kita bernasib baik terima bantuan.Sebelum ini memang sukar. Tapi sekarang keadaan bertambah pulih dan pada saya kita tidaklah berdepan saat sukar dalam tempoh lima bulan. Yang penting jangan pinjam daripada ah long.

KEKURANGAN STOK MENTAH
Kekurangan stok beberapa bekalan mentah untuk musim perayaan sudah menjadi kebiasaan. Apa langkah sewajarnya bagi mengekang masalah ini?
Masalah bekalan terutama ayam memang selalu berlaku. Apa yang saya boleh syorkan kepada kerajaan, kalau ada pembekal besar yang berniat tidak baik, adalah wajar ‘pegang’ mereka.
Dalam erti kata lain sekat permit eksport mereka kalau bekalan tidak cukup. Sebab apa? Kita sudah tahu core structure (struktur teras).
Sebulan mereka mesti boleh bekal satu juta ayam sebagai contoh. Kalau mereka ada lebih, baru boleh eksport ke negara luar.Itu baru betul. Ini tidak. Mereka eksport tetapi bekalan di sini tidak cukup.
Selepas itu dapat subsidi kerajaan lagi. Pada saya eksport is not right, its privilege (eksport bukan hak tetapi keistimewaan). Saya faham eksport ini juga sumber pendapatan, tetapi dalam masa sama perlu pastikan di ‘rumah’ juga mencukupi.
Di samping itu, kerajaan jangan terlampau banyak sangat budi bicara. Mereka ini kartel yang terdiri daripada empat hingga lima pihak. Dulu harga ayam di Malaysia antara paling murah sekali. Tapi sekarang Thailand lebih murah.
Masih sempat untuk kerajaan beritahu berapa juta stok ayam yang diperlukan untuk musim perayaan nanti. Masih ada masa lagi.
Satu lagi masalah yang dihadapi adalah telur import. Mengapa permit import (IP) tidak diberikan sahaja kepada pihak yang memenuhi syarat untuk bawa masuk telur dari luar. Kalau dapat IP atas Mydin sendiri contohnya, harga boleh lagi murah. Sekarang kami jual 41 sen sebutir telur import. Tapi kita boleh jual 35 sen sebiji seandainya import sendiri.
Sebetulnya, IP ini kalau ikut piawaian dan peraturan, semua pihak boleh dapat kalau membuat permohonan. Yang penting ada tempat simpanan dan cold room (bilik sejuk). Ini termasuklah telur yang perlu dimasukkan dalam chiller (peti sejuk).
Kalau dihantar sampai ke Johor pun kita akan pakai chiller truck. Yang peliknya mengapa tidak beri IP pada pelbagai pihak yang layak?
Kerajaan perlu telus untuk buka kepada persaingan. Siapa ada kemampuan dan kebolehan beri sajalah mereka untuk buat.
Saya tidak katakan beri pada Mydin. Tetapi beri pada semua. Kalau tidak boleh mewujudkan monopoli.
Peliknya sebab sampai sekarang kerajaan tidak beritahu apa-apa selepas dua ke tiga bulan.
Kalau ayam import, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan paparkan nama pembekal ayam di Thailand yang dapat sijil halal dan memenuhi piawaian. Untuk telur tiada pula.

‘Harga patut’ antara RM6-RM7 Menu Rahmah

Mampukah rata-rata peniaga kecil memperkenalkan Menu Rahmah di sebalik kenaikan harga barang?
Dengan pendapatan yang tidak menentu, ada alasan yang kukuh untuk mereka sukar menyokong hasrat kerajaan itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang DIpertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, DATUK MOHAMAD ABDULLAH memberikan perspektif beliau pula.

MINGGUAN MALAYSIA:Adakah Menu Rahmah betul-betul membantu rakyat secara keseluruhan?
MOHAMAD: Menu Rahmah ini sebenarnya satu usaha baik yang diperkenalkan oleh kerajaan. Tapi untuk peniaga kecil yang hasilnya berdasarkan cara jualan harian agak sukar.
Bagi peniaga besar memang tiada masalah sebab mereka ada kaedah sistematik untuk mendapatkan barangan meniaga.
Daripada segi pembayaran dan penghantaran semua ada cara tersendiri untuk peniaga besar. Tapi peniaga kecil sebaliknya dan mereka terpukul.

Bagaimana kerajaan boleh bantu peniaga kecil bagi memperluaskan inisiatif Menu Rahmah?
Mungkin kerajaan boleh beri kemudahan dengan membenarkan peniaga kecil membeli barang tertentu pada kadar harga subsidi untuk mereka yang mahu menjual Menu Rahmah.

Mampukah Menu Rahmah kekal di sebalik kenaikan harga barang?
Kalau kerajaan beri ‘modal’ (subsidi) daripada segi bahan asas seperti ikan ayam, minyak, saya rasa ia boleh dipertahankan terutama untuk rakyat.
Kerajaan pun perlu ingat peniaga kecil juga rakyat. Kami memberi perkhidmatan dan sumbangan dengan cara lebih besar terutama kepada penduduk B40 yang tinggal di flat.
Inisiatif ini perlu diperluaskan dengan cara lebih baik. Bayangkan, kalau kata ada B40 yang tinggal di satu-satu kawasan dan Menu Rahmah dijual agak jauh.
Jadi, berbaloikah mereka ke sana membeli menu ini? Sebab itu, saya katakan ia bagus tetapi perlu dengan penambahbaikkan. Kalau tidak banyak rugi daripada untung.

Berapakah harga patut yang boleh dikenakan peniaga kecil untuk Menu Rahmah?
Harga patut antara RM 6 ke 7 berdasarkan harga semasa barangan keperluan. Ini untuk pastikan peniaga kecil pun mampu menjual Menu Rahmah sebab bukan semua yang mampu jual pada kadar RM5.

Apa harapan terhadap pengenalan Menu Rahmah?
Perluaskan kepada kawasan yang ramai golongan B40. Kalau tidak mana mungkin mereka mahu bergerak ke satu tempat yang jauh semata-mata untuk membeli Menu Rahmah. Berbaloikah? – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.