MUKADIMAH
TENANG bersahaja setiap jawapan diberikan ketika diasak dengan pelbagai soalan lebih-lebih lagi isu kemelut UMNO yang berlaku ketika ini.
Malah ketika dicuit tentang perselisihannya dengan beberapa pemimpin UMNO, beliau masih mampu memberikan penjelasan dengan terperinci.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Naib Presiden UMNO, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB yang juga bekas Perdana Menteri bagi mendapatkan perspektif beliau terhadap parti.
Turut membantu Jurufoto, FARIZ RUSADIO dan jurukamera, MOHD. FIKRI PADIL.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana kehidupan Datuk Seri selepas bukan lagi Perdana Menteri?
ISMAIL SABRI: Kalau tengok saya sekarang agak kurang bercakap soal politik atau soal parti ketika mahu membentuk kerajaan, terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Saya mengambil sikap berdiam diri.
Sesekali lepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ada juga buat teguran sedikit. Tapi secara keseluruhannya, saya berehat selepas begitu lama tiada masa untuk berbuat demikian, tiada waktu untuk diri sendiri dan juga untuk keluarga.
Jadi selepas PRU15 lalu, saya ambil peluang itu untuk bersama-sama keluarga dan diri sendiri. Sesekali saya pergi berjogging dan berjumpa rakan yang sebelum ini berkecil hati sebab mahu bertemu, tetapi saya pula tiada kesempatan.
PRN akan diadakan nanti. Apakah jangkaan Datuk Seri untuk UMNO lebih-lebih lagi berlaku penggantungan dan pemecatan beberapa individu berpengaruh?
Saya lihat perkembangan ini tidak sihat pada parti. Sepatutnya parti melakukan perubahan besar dan mendekatkan diri dengan rakyat terutamanya.
Sekarang ini kita mesti sedar bahawa pengundi yang menguasai jumlah majoriti pengundi di negara kini terdiri golongan muda. Jadi, mesej yang jelas perlu diberikan kepada pengundi muda supaya mereka mempunyai harapan pada parti kita. Harapan yang baharu.
Petunjuk dan tanda aras mesti bersesuaian dengan idealisme mereka. Orang muda idealistik daripada segi pemikirannya. Mereka bercakap soal hak asasi, soal keterbukaan dan hak ketelusan dalam parti di samping hak untuk menyuarakan pandangan.
Itu orang muda. Saya sendiri pernah menjadi orang muda. Waktu saya dalam Pemuda UMNO pun saya bersuara dengan bebas.
Begitu juga ketika saya menjadi presiden persatuan pelajar di Universiti Malaya (UM). Kita mengkritik kerajaan secara terbuka. Itulah pemikiran orang muda.
Tetapi apa yang berlaku kita undur ke belakang. Kita memberi petanda yang salah kepada mereka. Iaitu parti UMNO tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini.
Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pemimpin yang dipecat UMNO seperti Khairy Jamaluddin. Beliau terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar.
Sebab itu, saya kata mereka ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli. Orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka.
Individu berpengaruh yang dipecat dan digantung adalah mereka yang terbuka pada parti. Kalau petanda sebegini kita tunjukkan pada mereka, maka tiada harapan baharu pada parti. Sudah semestinya sukar untuk kita menarik minat orang muda.
Jangan lupa PRN akan datang, orang muda ramai. Golongan berusia 18 tahun akan didaftarkan secara automatik.
Kita akan hadapi masalah sama dalam PRU15 baru-baru ini yang akhirnya ditolak orang muda dan golongan profesional. Sebab kita tak nampak apa tawaran baharu yang diberikan sebelum dan selepas PRU15 kalau kita dengan cara dan nada sama. Jadi, tiada apa yang hendak diharapkan pada UMNO lagi. Kalau dulu kita ditolak, tiada sebab mereka mahu ubah dan tolak UMNO sekali lagi.
MANA SALURANNYA?
Ada mengatakan kritikan terhadap parti perlu dibuat dengan saluran yang betul. Pandangan Datuk Seri?
Mana salurannya? Kalau ada saluran pun dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT). Kalau bahagian berapa kali setahun mesyuarat? Ada bahagian yang mesyuarat tiap-tiap bulan, ada yang mesyuarat dua bulan dan ada yang tiga ke empat bulan sekali. Jadi bila masa hendak mengkritiknya?
Perlu diingat, ahli UMNO bukan setakat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau di peringkat bahagian. Ahli kita termasuk di peringkat akar umbi. Di peringkat cawangan. Ada sesetengah cawangan, enam bulan sekali pun tidak mesyuarat.
Jadi mahu cakap dekat mana? Alasan ini tidak
boleh digunakan. Takkan hendak tunggu setahun ketika mesyuarat agung cawangan baru boleh cakap? Pada saya, mana-mana parti politik perlu benarkan ahli bersuara.
PUAK DALAM PARTI
Pada pandangan Datuk Seri apakah unofficial reason kepada semua pemecatan dan langkah penggantungan sebelum ini?
Bagi pandangan peribadi saya, seperti saya kata tadi mereka mengkritik parti secara terbuka. Kedua, mereka mungkin menjadi ancaman atau pencabar kepada segelintir pihak. Kalau kita lihat, mereka yang dikeluarkan bukan daripada kumpulan tertentu.
Biarlah kita terus terang kononnya dalam bahasa klise dan seronok didengar, tiada kumpulan dalam parti. Yang ada kumpulan UMNO sahaja. Itu klise. Tidak boleh kita nafikan memang ada puak tertentu dalam parti.
Dan kalau kita lihat mereka yang diambil tindakan bukan mereka yang ada dalam kumpulan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Jadi, bagi saya tujuan lain adalah untuk sekat sebelum ke pertandingan (pemilihan). Kalau tidak mengapa terlalu tergesa-gesa pecat dan gantung mereka?.
Kenapa tak tunggu lagi? Kalau dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO, mungkin empat ke lima bulan sedangkan pertandingan berlaku dalam tempoh tiga
bulan. Kalau mereka tidak dipecat, mereka akan tawarkan diri bertanding dalam pemilihan UMNO. Khairy sebagai contoh. Beliau tawarkan diri sebagai Naib Presiden.
Ada yang mahu bertanding sebagai presiden atau timbalan presiden tapi perkara ini tidak berlaku. Jadi, sebelum pemilihan berlaku beberapa orang digantung daripada parti.
PEMBERSIHAN UMNO
Presiden mendakwa pemecatan dan penggantungan ini untuk membersihkan parti daripada pihak yang mensabotaj UMNO. Namun tindakan ini tidak dilakukan terhadap lima ADUN UMNO yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Reaksi Datuk Seri?
Sudah nampak double standard (berat sebelah). Yang di Sabah, secara terbuka ingkar arahan parti. Seluruh DUN di Sabah ikut keputusan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah iaitu tidak menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sama ada sebagai Ketua Menteri dan kerajaan. Tapi lima orang ADUN ini ingkar.
Sepatutnya mereka automatik gugur dan sewaktu dalam mesyuarat MT pun, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin tanya bagaimana dengan lima orang tadi?
Ahmad Zahid kata kita akan bincang di Sabah. Namun sehingga kini tiada tindakan. Jadi, ini satu perkara mengelirukan.
Kalau ikut perjanjian, UMNO Sabah ada autonomi. Maknanya, Bung Mokhtar boleh pecat atau gantung sesiapa sahaja. Tapi dalam soal ini tiada. Kita pernah putuskan dalam mesyuarat MT bahawa Perhubungan UMNO Negeri boleh ada jawatankuasa disiplin sendiri dan boleh mengambil tindakan disiplin di peringkat negeri.
Kalau tidak berpuas hati boleh merayu kepada peringkat pusat. Sebab itulah, ada berat sebelah daripada segi hukuman. Janji kepada Perhubungan UMNO Negeri Sabah dan tindakan yang dilihat juga sangat keliru. Yang ini boleh buat dan yang ini tiada. Ini menunjukkan seolah-olah kita tidak tahu apa yang kita sedang buat.
Pada pandangan Datuk Seri adakah cukup sekadar pengaruh Presiden semata-mata tanpa ada pengaruh individu lain (yang dipecat) untuk rebrand UMNO?
Orang sama yang mengetuai UMNO dalam PRU15. Maknanya apa? Kita menjual produk sama oleh jurujual yang sama. Seperti saya katakan tadi, tiada perubahan untuk orang muda.
Kalau dulu barang dijual tidak laku kerana tidak menarik daripada segi produk dan jurujual, sekarang apa bezanya dengan orang yang masih sama menjual dan produk berkenaan?
Adakah wajar mereka yang dipecat mencabar keputusan tersebut di mahkamah?
Saya mencadangkan supaya mereka membawa kes ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana dalam Perlembagaan UMNO, siapa bawa kes ke mahkamah, keahlian akan tergugur dengan sendiri.
Apabila keahlian tergugur sendiri, mereka tiada hak untuk bawa UMNO ke mahkamah. Mereka tiada locus standi untuk membawa kes ke mahkamah. Sebab itu, bagi saya rujuk pada RoS. Kalau tidak puas hati dengan RoS, baru rujuk RoS kepada mahkamah.
SIAPA WAJAR PIMPIN UMNO
Pada pandangan Datuk Seri siapakah wajar memimpin UMNO pada masa sekarang?
Biar ahli parti tentukan. Ahli parti kita ada tiga juta dan yang mengundi lebih 200,000 sewaktu pemilihan di peringkat bahagian.
Perlembagaan UMNO kita sudah pinda. Bukan dipilih perwakilan yang terdiri daripada kira-kira 2,000 sewaktu PAU di Kuala Lumpur.
Kita bawa ke peringkat akar umbi iaitu di peringkat bahagian. Wakil cawangan akan jadi ahli di mesyuarat bahagian.
Maknanya ketua cawangan contohnya lima orang, dia mewakili suara akar umbi di cawangan. Sebab itu, Perlembagaan UMNO sudah cantik dan bawa akar umbi untuk buat pemilihan.
Sebab itu, dalam Perlembagaan UMNO, dia sebutkan ahli. Mengikut Fasal 6.2.2, ahli berhak memilih dan dipilih pemimpin parti. Dia tidak kata presiden atau timbalan presiden. Itu hak ahli. Yang buat keputusan di peringkat PAU 2,000 lebih sahaja.
Perlembagaan UMNO merujuk kepada ahli yang dijamin dalam perlembagaan. Sekarang hak tersebut dirampas dalam keputusan PAU baru-baru ini iaitu mereka tiada hak untuk memilih. Siapa yang berhak memimpin UMNO, ahli yang boleh tentukan.
BEKAS PM DISISIHKAN?
Apa perasaan Datuk Seri sebagai bekas Perdana Menteri dan dilihat seolah-olah tersisih dalam UMNO?
Saya agak kecewa. Tapi saya tidak tunjukkan kekecewaan. Saya Perdana Menteri UMNO. Untuk perkukuhkan UMNO, daripada 30 menteri Kabinet, 14 daripadanya BN termasuk Perdana Menteri.
Jadi hampir separuh daripada Kabinet untuk kita perkuatkan parti. Walaupun kita hanya ada 42 kerusi di Parlimen, tetapi dalam Kabinet kita hampir ada separuh.
Tapi saya ditekan kepimpinan UMNO sendiri seolah-olah saya bukan menteri UMNO. Setiap apa yang berlaku, berlaku tekanan yang terlalu kuat. Saya tidak nafikan mana cadangan-cadangan yang bagus daripada barisan kepimpinan, saya setuju.
Namun, kalau ada yang kata kenapa saya tidak gunakan saluran yang betul (untuk berdepan tekanan), saya akan kata balik mengapa tidak guna saluran betul untuk memberi arahan kepada saya? Ini tidak mesyuarat MT setiap bulan, tapi ‘bantai’ saya dalam surat khabar.
Orang nampak saya macam bukan pemimpin dalam UMNO. Hari ini apa yang hendak dibanggakan sangat? Hanya satu Timbalan Perdana Menteri campur lima menteri lain. Ada yang kata inilah satu pencapaian besar kepada kita (UMNO).
Sedangkan saya, 14 menteri BN termasuk PM. Dan hari ini, tiada siapa yang komen tentang kerajaan. Dulu saya dalam UMNO pun dikritik secara teruk.
Tetapi hari ini pemimpin parti lain disanjung. Walaupun kita dalam parti sama, kita ‘dilanyak’ seperti kita dalam pembangkang.
Sekarang kalau kita perhatikan, ada yang ‘lambung’ sehingga perkara tidak munasabah yang dilakukan kerajaan sekarang pun kadang-kadang dipertahankan.
Dahulu apabila saya dikritik, saya ingat saya yang dipertahankan dan ada yang jadi perisai, tapi sebaliknya berlaku. Mereka pula sertai dan serang saya. Memang saya terasa. Namun saya fikir, kerajaan dan parti itu berbeza.
KENAPA BUBARKAN PARLIMEN AWAL?
Tapi kenapa Datuk Seri bubarkan Parlimen lebih awal dan mendengar cakap Presiden sedangkan boleh tunggu sehingga cukup penggal?
Saya orang parti. Ramai orang bantai saya kononnya saya tidak ikut arahan parti pada masa itu.
Kita tahu betapa besarnya kuasa perdana menteri. Tapi saya tidak gunakan kuasa kalau bertentangan dengan arahan parti. Sebagai contoh, ketika PAU khas membuat keputusan meminda Perlembagaan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti iaitu selepas PRU15 perkara itu diputuskan MKT dan dibawa ke PAU.
PAU sebulat suara bersetuju. Saya tidak perlu gunakan kuasa saya pada masa itu. RoS pada masa itu masih lagi anggap pemilihan tidak boleh lagi tangguhkan.
Pandangan RoS pada ketika itu, UMNO tak boleh sambung kali kedua.Jadi saya minta agar ia dibincang dengan Peguam Negara kalau ada apa-apa yang parti lakukan.
Kalaulah saya dikatakan tidak mahu ikut arahan parti, saya biarkan supaya tidak perlu ada penangguhan.Selepas itu saya boleh bertanding presiden sebab ketika itu saya berkuasa sebagai Perdana Menteri. Tapi saya tidak buat sebab saya tidak mahu pentingkan diri sendiri.
Malah saya hormati keputusan MKT dan keputusan PAU khas agar ia ditangguhkan selepas PRU15.
Kemudian apabila ada desakan mahu awalkan segera PRU15, konon lepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, kalau kita buat PRU kita boleh menang.
Namun dalam laporan saya terima daripada agensi mengatakan kita kalah. Saya kata dalam mesyuarat MT, setakat ini kita kalah. Wanita UMNO laporkan 35 kerusi kita menang maksimum. Saya turut beritahu kalau kerusi kelabu putih campur putih, UMNO hanya dapat 60 kerusi sahaja. Mungkin kita menang 35 atau 38 kerusi sahaja.
Dalam mesyuarat MT saya berkeras sehingga tinggikan suara. Saya cakap “ok kalau mahu awalkan PRU15 juga, kita semua perlu bertanggungjawab kalau kalah,”. Saya tahu memang kita tidak boleh menang
Tapi laporan yang dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan kata kita menang dan boleh dapat 112 kerusi. Saya cakap saya ada agensi laporkan.
Selepas itu, Ahmad Zahid cakap waktu dia Menteri Dalam Negeri, kadang-kadang agensi pun buat silap dalam laporan. Selepas itu, saya kata tidak mengapalah kalau ini kehendak parti, kita teruskan.
Walhal pembangkang sendiri jumpa saya kata jangan bubar PRU sehingga habis penggal. Maknanya kerajaan tidak terbubar sebab pembangkang sokong saya termasuk boleh buat undi percaya di Parlimen supaya saya kekal.Tapi bagi saya apa maknanya saya Naib Presiden UMNO dan dalam kerajaan tapi bergantung nyawa kepada pembangkang untuk terus jadi Perdana Menteri sedangkan UMNO tidak boleh terima?
Jadi sebab itu kenapa saya tidak tunggu sehingga cukup penggal. Saya orang parti ikut apa yang parti putuskan.
Sehingga mesyuarat terakhir pun saya masih cuba yakinkan supaya jangan adakan PRU15. Pada masa itu, macam -macam rumus kata kalau saya tidak buat PRU15 saya akan dipecat atau beberapa orang UMNO tarik diri daripada menyokong kerajaan saya.
Kalau lima orang tarik diri kerajaan tumbang pada masa itu. Kalau itu keputusan UMNO takkan saya tidak peduli?
Tapi seperti saya katakan, saya orang UMNO. Biar saya tiada jawatan pun asalkan orang UMNO hormat saya walaupun ada yang sebaliknya. Bayangkan, kalau saya pentingkan diri buat apa saya berhenti jadi perdana menteri?
Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan Ahmad Zahid?
Saya tiada apa-apa, cuma tidak pernah jumpa secara peribadi
Datuk seri akan pertahankan jawatan sebagai Naib Presiden?
Saya belum tahu lagi sama ada mahu bertanding atau tidak. Yang pasti saya beritahu orang Bera saya akan bertanding sebagai Ketua Bahagian. Sebab orang Bera datang jumpa saya beritahu, kalau saya tidak mahu bertading sebagai ketua bahagian, semua cawangan di Bera tidak akan adakan mesyuarat. Saya kata jangan sebab saya sayang pada UMNO.
BERSARA ATAU LOMPAT PARTI
Dengan apa yang berlaku kepada UMNO, pernahkah Datuk Seri mahu bersara atau lompat ke parti lain?
Parti lain tidak mungkin. Saya nasihatkan kepada kawan-kawan yang dipecat atau gugur, jangan masuk parti lain. Jangan buat keputusan ketika marah. Bertenang dahulu.
Saya tahu ramai kawan-kawan dapat tawaran waktu PRU15 untuk be
rtanding mewakili pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN). Kalau mereka bertanding di bawah PN mereka sudah tentu menang dan sekarang sekarang ada dalam Parlimen.
Pada saya kalau nak bergaduh atau bergasak biarlah dalam parti. Setakat ini ok. Saya sendiri dah kata kalau saya tak mahu sakit hati sangat pun saya akan berehat dalam politik. Tapi setakat ini tak terfikir mahu lompat. Kekal dalam UMNO dan teruskan perjuangan.
Saya akan kekal sebagai Ketua Bahagian Bera tapi kalau saya kalah saya akan berhenti. Tapi di peringkat nasional saya sedang fikirkan untuk kurangkan bebanan kerja.
ANWAR LEBIH MENYERLAH
Ada pandangan melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih menyerlah dan diterima pelbagai pihak terutama di peringkat antarabangsa? Pandangan Datuk Seri ?
Saya tidak mahu dibandingkan dengan beliau. Tapi panggilan dari luar negara hari-hari atau menerima surat, itu perkara biasa. Kalau ada lantikan baharu memang itulah yang biasa berlaku.
Tapi bezanya saya tidak jadikan itu sebagai publisiti. Malah, sewaktu saya mula menjadi perdana menteri dan Seri Perdana baru siap, saya buat keputusan tidak duduk di rumah tersebut sebab saya ada rumah sendiri.
Begitu juga dengan kereta kalis peluru RM1.5 juta saya tolak sebab makan di warung pun tiada siapa hendak kacau. Jet peribadi mewah yang mereka mahu naik taraf dengan har
ga RM32 juta pun saya kata dalam keadaan sekarang orang susah nak makan. Jadi saya tolak. Bukan hari-hari saya pakai.
Sebenarnya banyak yang saya buat tapi tidak perlu ceritakan pada orang ramai. Pada saya, ini bukan satu perkara yang perlu dihebohkan.
Harapan terhadap UMNO?
Saya harap siapapun pegang UMNO, mesti buat perubahan drastik dan tidak terpisah dengan kehendak rakyat terutama orang muda.
Perlu ada imej dan tawaran baharu serta tidak boleh terpisah dengan golongan muda kerana kalau PRU15 golongan muda sekarang penuhi saluran lima dan enam, mereka nanti akan pindah ke saluran tiga dan empat. Jadi,kalau kita tak ubah, waktu mereka saluran lima dan enam sudah tolak kita bila mereka pindah ke saluran tiga atau empat, mereka tetap tolak kita.
Jangan lupa kita akan ada pengundi baharu saluran lima dan enam. Kalau dulu 4. 5 juta terus ke saluran 3 dan 4 dan ditambah lagi 4.5 juta di saluran 5 dan 6 ini makna sembilan juta. Kalau kali ini tolak kita awal lagi kita kalah. Sebab itu, saya kata perlu beri harapan.– Mingguan Malaysia










