Lindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual

Lindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR setiap minggu, media melaporkan berita mengenai kanak-kanak menjadi mangsa jenayah seksual, termasuk amang dan pengantunan seksual. Mangsa bukan sahaja kanak-kanak perempuan, malah semakin ramai kanak-kanak lelaki.

Lebih menggerunkan, pemangsa pula bukan individu asing yang menunggu di lorong gelap. Mereka terdiri daripada orang dewasa yang berada dekat dengan kehidupan mangsa, misalnya saudara-mara, jiran, guru, warden asrama, rakan kepada ibu bapa, pasangan ibu atau bapa, malah individu yang diberikan amanah menjaga kebajikan kanak-kanak.

Beberapa tahun belakangan ini, pelbagai laporan media memaparkan hakikat yang menyedihkan. Ada warden asrama dipenjarakan kerana meliwat dan mencabul pelajar. Ada guru dihukum kerana melakukan amang seksual terhadap murid. Ada mekanik, buruh, tukang cuci dan teman lelaki kepada ibu mangsa didakwa atau disabitkan kesalahan.

Kes-kes seperti ini membuktikan hakikat pemangsa seksual tiada satu wajah yang khusus. Mereka boleh datang daripada pelbagai latar belakang, pekerjaan atau kedudukan dalam masyarakat.

Atas sebab itulah usaha melindungi kanak-kanak tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada polis, mahkamah atau kerajaan semata-mata.

Perlindungan sebenar bermula dalam keluarga, diperkukuh di sekolah dan disokong oleh masyarakat.

Pada pandangan saya, hanya apabila ketiga-tiga pihak ini memainkan peranan secara serentak, barulah peluang pemangsa mendekati mangsa dapat dikurangkan.

Peranan pertama ibu bapa ialah membina hubungan yang dipenuhi kepercayaan dengan anak-anak. Ramai kanak-kanak memilih untuk berdiam diri selepas menjadi mangsa kerana takut dimarah, tidak dipercayai atau dipersalahkan.

Berdasarkan laporan berita, ada mangsa diugut pemangsa. Ada pula yang tidak memahami perbuatan yang dialami sebenarnya merupakan jenayah.

Untuk makluman, mengikut undang-undang, kanak-kanak ialah individu berumur di bawah 18 tahun.

Memandangkan pelbagai jenayah seksual sering berlaku, maka ibu bapa perlu membiasakan diri berbual dengan anak setiap hari, bertanya tentang pengalaman mereka di sekolah, tuisyen, rumah saudara mara dan media sosial.

Anak-anak perlu yakin ibu bapa akan mendengar tanpa terus menghukum. Hubungan mesra sering menjadi benteng pertama yang menghalang jenayah daripada berterusan. Ini kerana pemangsa biasanya mencari mangsa yang tidak berkongsi cerita dengan ibu bapa.

Peranan kedua ibu bapa ialah memberikan pendidikan keselamatan seksual mengikut tahap umur anak. Masih ada ibu bapa menganggap topik ini terlalu sensitif atau memalukan. Hakikatnya, sikap berdiam diri hanya menguntungkan pemangsa.

Kanak-kanak perlu tahu tubuh badan mereka merupakan hak mereka sendiri. Mereka perlu memahami bahagian sulit yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa, kecuali dalam keadaan tertentu seperti rawatan perubatan dengan kehadiran ibu bapa.

Mereka juga perlu diajar, mereka berhak berkata “tidak”, menjerit, melarikan diri dan segera memberitahu orang dewasa yang dipercayai jika berlaku sentuhan yang membuatkan mereka berasa tidak selesa.

Peranan ketiga ibu bapa ialah memantau kehidupan anak-anak secara menyeluruh, termasuk di alam digital.

Hari ini, ramai pemangsa memulakan jenayah melalui media sosial, permainan dalam talian dan aplikasi sembang atau ‘chat’. Mereka mengambil masa membina kepercayaan sebelum memanipulasi mangsa.

Justeru, ibu bapa perlu mengetahui aplikasi digunakan anak-anak, individu yang dihubungi dan kandungan mereka tonton. Pemantauan ini bukan bermaksud mengongkong, sebaliknya membimbing supaya anak-anak mampu menggunakan teknologi secara selamat.

Sekolah pula menjadi tempat kedua yang paling banyak dihabiskan oleh kanak-kanak. Oleh sebab itu, sekolah dan guru memikul tanggungjawab sangat besar. Peranan pertama ialah memberikan pendidikan perlindungan diri secara berterusan.

Pendidikan ini tidak boleh sekadar menjadi ceramah tahunan atau program bermusim. Sebaliknya, perlu diselitkan dalam pelbagai aktiviti sekolah supaya murid memahami hak mereka terhadap tubuh sendiri, mengenali taktik yang sering digunakan pemangsa dan mengetahui saluran membuat aduan.

Peranan kedua sekolah dan guru ialah mewujudkan persekitaran yang benar-benar selamat. Guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku murid. Murid yang tiba-tiba menjadi pendiam, takut bertemu individu tertentu, prestasi pelajaran merosot atau sering tidak hadir ke sekolah mungkin sedang menghadapi masalah lebih besar.

Peranan ketiga ialah membentuk nilai saling menghormati dalam kalangan pelajar. Pendidikan bukan sekadar melahirkan murid cemerlang dalam peperiksaan, malah juga manusia yang menghormati maruah orang lain.

Pelajar perlu memahami hakikat usikan berunsur seksual, sentuhan tanpa keizinan, penyebaran gambar yang memalukan atau ugutan melalui media sosial bukanlah gurauan.

Semua perlakuan itu ialah satu bentuk keganasan yang boleh meninggalkan kesan trauma sepanjang hayat.

Walaupun ibu bapa dan sekolah memainkan peranan penting, namun masyarakat tidak boleh terus menjadi pemerhati. Peranan pertama masyarakat ialah menghidupkan semula budaya mengambil berat terhadap keadaan sekeliling.

MELINDUNGI kanak-kanak daripada pemangsa seksual menjadi tanggungjawab bersama antara ibu bapa, sekolah dan masyarakat.

JAGA TEPI KAIN ORANG

Ada pihak sinis mengatakan kita tidak sepatutnya menjaga tepi kain orang. Namun, dalam isu keselamatan kanak-kanak, sikap itulah yang perlu diubah.

Jika jiran melihat seorang kanak-kanak sering dibawa masuk ke rumah seseorang dalam keadaan mencurigakan, terdengar tangisan berulang kali atau menyedari perlakuan orang dewasa yang melampaui batas terhadap kanak-kanak, mereka tidak boleh memilih untuk menutup mata.

Tindakan melaporkan perkara yang mencurigakan bukan mencampuri urusan peribadi, sebaliknya usaha menyelamatkan nyawa dan masa depan seorang kanak-kanak.

Peranan kedua masyarakat ialah berhenti menyalahkan mangsa. Terlalu kerap kita mendengar soalan seperti mengapa mangsa tidak melawan? Mengapa baru sekarang membuat laporan? Atau mengapa ibu bapa membiarkan anak keluar?
Soalan-soalan seperti ini hanya menambahkan penderitaan mangsa. Tumpuan sepatutnya diberikan kepada pelaku jenayah, bukannya kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi.

Peranan ketiga masyarakat ialah menyokong usaha pendidikan dan pencegahan secara berterusan.

Persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah ibadat pelbagai agama, perpustakaan awam dan pelbagai organisasi masyarakat boleh menganjurkan ceramah, bengkel serta kempen kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak. –UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN